i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 11 August 2020

Penyelidik UTeM Hasilkan UTeMShield Dan PlexiBox Lindungi Jentera Petugas Hadapan dari Jangkitan Virus Pandemik COVID-19

Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif dan menghulur bantuan melalui kepakaran penghasilan UTeMShield dan PlexiBox yang berupaya melindungi para petugas barisan hadapan khususnya petugas perubatan daripada jangkitan virus COVID19 yang semakin kritikal pada masa kini.

Inisiatif penyelidikan ini bukan saja menepati keperluan bekalan Face Shield dan Intubation Box yang amat diperlukan kini malah turut mengenengahkan kepakaran penyelidik di institusi pengajian tinggi Negara dalam menggunakan teknologi 3D printing (cetakan 3D), SLS Printed dan Laser Cutting (potongan laser) bagi proses pembuatan produk perlindungan ini.

UTeMShield merupakan alat pelindung muka yang dicipta oleh penyelidik UTeM diketuai oleh Naib Canselor UTeM sendiri Datuk Wira Profesor Dr Raha Abdul Rahim bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim dan barisan penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal , Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Komputer , Pusat Kecemerlangan UTeM (COE) , Pusat Pembuatan Termaju (AMC) dan di sokong oleh Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) .

Rekabentuk rangka utama UTeMShield ini dihasilkan susulan perbincangan dan maklumbalas bersama pegawai perubatan dari Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar di Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Ini adalah bagi memastikan Face Shield yang direka memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dengan kekuatan utama dua mesin pemotong laser, 1000 unit UTeMShield dapat dihasilkan dalam sehari . Selain itu, beberapa mesin cetakan 3D dan SLS Printed  turut digunakan bagi menampung jumlah bekalan yang dihasilkan.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, “Produk ini telah dicipta hasil perbincangan bersama pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ia dihasilkan khusus bagi mengekang risiko jangkitan kepada petugas bukan sahaja dari jentera petugas hadapan dari KKM, namun kesemua jentera petugas hadapan yang lain yang turut terlibat seperti petugas dikalangan anggota keselamatan dan pekerja di kaunter hadapan”.

Satu lagi produk penyelidikan UTeM yang dicipta untuk disumbangkan kepada KKM adalah PlexiBox merupakan peralatan Intubation Shield yang melindungi pegawai perubatan dan petugas kesihatan semasa prosedur intubasi terhadap pesakit yang dijangkiti COVID 19 dijalanan. PlexiBox ini akan disumbangkan untuk kegunaan oleh pegawai perubatan dan petugas kesihatan di Poliklinik dan Hospital Sekitar Melaka.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!