i@UTeM
UTeM Mail
Saturday, 15 August 2020

Japan Day Anjuran UTeM : Ribuan Pengunjung Berpeluang Selami Keunikan Budaya Serta Kehebatan Sains Teknologi Negara Jepun

Warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta orang ramai berpeluang menyelami keunikan budaya serta  merungkai kehebatan teknologi, kejuruteraan serta sains negara Jepun menerusi Japan Day.
 
Japan Day ini merupakan anjuran Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dengan kerjasama TokushimaU - UTeM Academic Centre (TMAC) telah diadakan selama sehari bertempat di Dewan Canselor, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
 
Program ini juga turut berjaya meningkatkan lagi hubungan strategik Malaysia secara umumnya dan UTeM amnya bersama negara Jepun secara berterusan sekaligus dalam pelbagai aspek terutamanya dalam penyelidikan, akademik dan pertukaran budaya.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM sebagai universiti awam teknikal pertama di Malaysia sentiasa bersemangat dalam pembangunan sains dan teknologi terkini di samping komited dalam meneroka dan melaksanakan teknologi terbaharu bagi proses pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan inovasi.
 
Jelasnya, dengan kemunculan dan perkembangan teknologi dari sehari ke sehari, UTeM punyai cita-cita menjadi unik dengan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berorientasikan aplikasi melalui perkongsian pintar universiti dan industri.
 
Ulasnya, sedia maklum bahawa pencapaian cemerlang sains dan teknologi Jepun telah lama dikagumi dan ini merupakan penghormatan kepada UTeM untuk diberi peluang menjadi tuan rumah anjurkan Japan Day 2020.
 
Menurut beliau, pelbagai aktiviti turut diadakan pada Japan Day tersebut seperti bual bicara terbuka berkaitan pengajian di Jepun, bengkel Ikebana, pameran kereta, permainan tradisional Jepun, demonstrasi membuat sushi, pidato bahasa Jepun dan demostrasi pemakaian kimono dan yukata.
 
Program tersebut turut dihadiri oleh Director of Japan Information Service, Kedutaan Jepun, Mitsuhiko Sugita di samping lebih 3,000 orang pengunjung dari pelbagai peringkat umur dan bangsa  termasuklah kakitangan dan mahasiswa UTeM, pelajar-pelajar dari sekolah berdekatan serta  pelajar dan kakitangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta sekitar negeri Melaka.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!