Sekumpulan mahasiswa dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menghasilkan produk inovasi penebat dalam saluran penghawa dingin bangunan komersil dengan menggunakan sisa buangan agro domestik.

Inovasi ini penting kerana berjaya mengurangkan masalah pelupusan sisa kelapa sawit dengan menggunapakai tandan buah kosong sekaligus menggantikan penebat dalam saluran pengudaraan penghawa dingin bagi bangunan komersial yang sebelum ini menggunakan bahan yang kurang selamat bagi penghuni ruang sesebuah bangunan.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim menyatakan bahawa projek ini adalah selari dengan proses pemerkasaan teknologi hijau yang kini menjadi amalan di serata dunia yang digelar sebagai “Green It! Duct Liner”.

Jelas beliau, dalam menghasilkan inovasi ini, mahasiswa yang terlibat akan digarap dengan pelbagai elemen ilmu, kepakaran dan praktikal  dalam konteks teknologi kejuruteraan yang mana turut melibatkan pengetahuan kimia, sains bahan dan rekabentuk sekaligus menjana kemahiran berfikir sebagai seorang teknologis yang menitikberatkan kemahiran penyelesaian masalah dan aplikasi.

"Di samping itu, projek penyelidikan ini juga turut memupuk sikap kerjasama serta kemahiran komunikasi dan hasil dari pembelajaran secara ‘hands-on’ sebegini turut menyokong kepada usaha menzahirkan realiti UTeM sebagai pelopor pendidikan TVET aras tinggi negara ini," katanya lagi.

 

Projek ini dijayakan oleh 3 orang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Sistem Penyejukan dan Penyaman Udara) iaitu Muhamad Afiq Shaharani, Nur Hidayah Faujan dan Zulia Syahira Zulkifly bersama dengan penyelia mereka Norain Idris yang merupakan pensyarah FTKPM UTeM.

Mengulas mengenai penghasilan inovasi ini, Norain Idris berkata,  penebat dalam saluran pengudaraan penghawa dingin yang kurang baik boleh mengakibatkan masalah pernafasan dan lebih serius lagi dibimbangi boleh mengakibatkan kanser bilamana disedut secara berterusan jika bahan tersebut terlepas dalam aliran udara dan dibawa terus ke ruang berpenghuni.

Katanya, menyedari Malaysia adalah antara negara pembekal dan pengeluar kedua terbesar kelapa sawit dunia selepas Indonesia dan sudah tentulah sisa kelapa sawit yang dihasilkan juga adalah banyak dan boleh ditukarkan menjadi inovasi yang boleh menyelesaikan masalah seharian serta menjana pendapatan melalui pengkomersilan produk tersebut nanti.

"Inovasi yang dihasilkan juga dijangka dapat membantu menyelesaikan masalah pelupusan sisa dan pencemaran kepada persekitaran yang lebih bersih dan nilai estetik yang lebih tinggi di samping turut membantu menyelesaikan masalah kesihatan penghuni sesebuah ruang atau bangunan secara spesifiknya masalah pernafasan kepada udara yang lebih sihat tanpa bahan berbahaya dalam udara," ulasnya lagi.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 20 June 2019

042541311