Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Sabirin Ja’afar sebagai  Pro Canselor baharu UTeM, baru-baru ini.

Pelantikan tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun bermula pada 15 November 2019 sehingga 14 November 2022 bagi menggantikan mantan Pro Canselor sebelumnya Allahyarham Tan Sri Dr. Hadenan A. Jalil yang telah meninggal dunia pada 18 September lalu.

Pelantikan tersebut disempurnakan oleh Canselor UTeM, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob di atas persetujuan dan perkenan Menteri Pendidikan Malaysia serta selari dengan momentum UTeM ke arah kecemerlangan pendidikan teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia serta Revolusi Industri 4.0.

Dari segi pencapaian akademik,  anak kelahiran Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pencegahan Keganasan (POTA), Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1987.

Beliau berjaya memperolehi Ijazah Sarjana di University of Wales, Cardiff dalam jurusan Undang-undang Maritim pada tahun 1998 dan seterusnya melengkapkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Keselamatan Maritim dan Polisi di Greenwich Maritime Institute, University of Greenwich, London pada tahun 2007.

Sepintas lalu, pengalaman kerjaya beliau adalah sebagai Pegawai Undang-Undang, Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (1987-2011), Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (2014-2016), Profesor Etika dan Undang-undang, Universiti Teknologi Malaysia (2011- 2014), ahli Lembaga Pengarah PUNB (mulai 1 Januari 2019) serta ahli Lembaga Pengarah PKNM (mulai Jun 2018).

Beliau merupakan individu yang sangat aktif dalam memperjuangkan isu-isu bersabit pemuliharaan alam sekitar dan maritim yang mana beliau turut terlibat langsung bersama penduduk-penduduk pesisir pantai Pulau Pinang dalam isu penambakan laut dan isu perlombongan pasir di Sungai Linggi-Rembau di Melaka dan Negeri Sembilan.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau turut bergiat aktif menyumbang nasihat dalam aktiviti-aktiviti pertubuhan Seafarers’ Rights International (SRI) yang berpusat di London yang mana pertubuhan ini memperjuangkan kebajikan kelasi dan lain-lain pekerja di sektor maritim seperti nelayan seluruh dunia.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim mewakili seluruh warga universiti merakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan beliau untuk bersama menjayakan kelestarian pembangunan universiti ini dalam segenap aspek.

Beliau turut menyatakan pelantikan tersebut seiring dengan pemerkasaan prestij universiti ini dan bertepatan dalam mengangkat keunggulan dan keperibadian cemerlang warga UTeM.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 20 June 2019

040717442