i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 11 August 2020

FKP UTeM Anjur Program CSR Pelihara Alam Menerusi Kejuruteraan bersama Sekolah Sekitar Melaka

Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan program Bumi Hijau Melalui Pengkomposan Organik bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam, baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Korporat (CSR) FKP UTeM bertemakan "Kejuruteraan dengan Alam untuk Kemampanan" dengan penglibatan dan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Masjid Tanah.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sains & Matematik, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Ismail Alias. 

Program tersebut antara lain berobjektif menanam minat belia menerusi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau dikenali sebagai STEM dan perkaitan rapat dengan bidang kejuruteraan pembuatan.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) UTeM, Prof. Madya Dr. Zamberi Jamaludin berkata, antara pendekatan yang kami gunakan adalah menerusi program CSR dan pengisian unik yang berkaitan kejuruteraan serta penjagaan alam sekitar.

Jelas beliau, antara projek berkaitan yang turut dirancang dan dijayakan adalah hari kejuruteraan serta pertandingan reka bentuk tong komposit serta fabrikasi tong komposit yang berkaitan.

Ujarnya, turut dalam perancangan dan pelaksanaan adalah cara untuk membuat baja kompos yang diadakan bermula dari September 2019 sehingga Januari 2020 dan perkebunan organik yang bakal menysul bermula dari Februari sehingga Jun 2020.

Tambah beliau, empat sekolah di Melaka dijangka akan mengambil bahagian dalam program ini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad, Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar dengan penglibatan pelajar seramai enam puluh pelajar Tingkatan 1 dari keempat-empat sekolah tersebut.

Menurut beliau, empat tong sampah komposit telah direka dan dibina di Makmal Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UTeM dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Masjid Tanah, hasil dari rekaan sepenuhnya pelajar sekolah yang terlibat dan sebaik sahaja tong sampah komposit tersebut melepasi siri percubaan dan pengubahsuaian, pihak kami akan menyerahkannya kepada setiap sekolah untuk dikendalikan oleh mereka.

"Para pelajar akan dilatih untuk mengendalikan dan menggunakan sisa sampah di sekolah mereka untuk menghasilkan kompos dari sisa dapur yang dikumpulkan dari kantin sekolah mereka untuk tujuan aktiviti berkebun di sekolah”, ujarnya lagi.


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!