Seorang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mengharumkan nama negara apabila me­nerima pingat kecemerlangan dalam World Skills Competition (WSC) 2019 yang berlangsung di Kazan, Rusia baru-baru ini.  

WSC 2019 merupakan pertandi­ngan yang menguji tahap kemahiran para peserta dalam pelbagai bidang antaranya teknologi maklumat dan komunikasi, mekatronik, elektronik, masakan, teknologi fesyen, teknologi automotif, kimpalan, perpaipan dan pemanasan.

Mahasiswa UTeM Chuan Chuan You dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) terpilih untuk mewakili negara untuk WSC Kazan 2019 dalam ka­tegori “IT Software Solution for Business”.

Beliau juga telah memenangi pingat kecemerlangan di ASEAN Skills Competition (ASC Bangkok 2019) sebelumnya.

Pelajar ini merupakan graduan Diploma FTMK pada tahun 2019 dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Sains Komputer di FTMK dengan  pengkhususan Pengurusan Pangkalan Data (BITD).

Sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan tersebut, tiga pensyarah FTMK diketuai Yahya Ibrahim, Nor Mas Aina Md Bohari dan Maslita Abd Aziz telah dilantik sebagai jurulatih untuk memberi bimbangan dan latihan intensif kepada Chuan You.

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr. Raha Abdul Rahim ketika ditemui turut melahirkan rasa sukacita di atas pencapaian pelajar tersebut yang mencerminkan komitmen universiti itu dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dan berkompetensi tinggi.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada beliau dan para pensyarah FTMK selaku jurulatih yang telah berkorban masa serta tenaga bagi membimbing Chuan You dalam menghadapi pertandingan tersebut sehingga berjaya memperoleh pingat kecemerlangan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan tersebut merupakan satu kebanggaan buat seluruh warga universiti dan menjadi platform terbaik kepada UTeM untuk memberikan pendedahan dan pengalaman berguna kepada pelajarnya sekali gus dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sebanyak 27 negara daripada pelbagai benua termasuklah negara-negara seperti Switzerland, Jerman, Brazil, Colombia dan tuan rumah, Rusia telah menyertai pertandingan ini.

Tidak terkecuali negara-negara dari rantau Asia seperti Jepun, Korea, China, Macao, Hong Kong dan Taiwan turut mempamerkan kehebatan masing-masing di WSC Kazan 2019.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 20 June 2019

038450742