Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam penghasilan produk inovasi menerusi penyelidikan yang dijalankan oleh barisan penyelidiknya.

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim berkata, antara produk inovasi yang telah dihasilkan oleh penyelidik UTeM adalah mesin pemotong ikan automatik bagi menyuntik peningkatan industri pemprosesan hasil laut Malaysia.

Jelas beliau, dapatan ini menzahirkan UTeM turut berperanan dalam menyumbangkan inovasi kepada sektor ini.

Katanya, dengan kepakaran dan teknologi inovasi yang telah dihasilkan oleh barisan penyelidik UTeM telah berjaya memudahkan proses pemotongan ikan dan berjaya menjimatkan masa.

Ketua penyelidik, Intan Mastura Saadon berkata, mesin ini berpotensi besar dalam meningkatkan kadar produktiviti pemprosesan ikan  setiap hari.

“Sebelum ini pemotongan ikan secara manual memerlukan masa satu minit untuk dipotong menjadi potongan filet kupu-kupu.

“Dengan mesin pemotong ikan ini berkemampuan untuk membelah ikan melalui dua cara potongan yang berbeza iaitu potongan filet biasa dan potongan filet kupu-kupu,” ujar beliau.

Projek ini dihasilkan bersama tujuh penyelidik lain iaitu Norain Idris, Emy Zairah Ahmad, Halyani Mohd Yassim, Noor Saffreena Hamdan, Amalia Aida Abdul Halim, Nurul Kausar Abd Majid dan Umi Hayati Ahmad.

Mereka berlapan adalah merupakan pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP), UTeM.

Menurut Intan, berdasarkan kajian awal, masa pemotongan dapat dikurangkan kepada lima saat setiap ikan jika menggunakan mesin ini lalu produktiviti proses pemotongan ikan dapat ditingkatkan sebanyak dua belas kali ganda daripada biasa.

Jelas beliau, dengan pengurangan masa memproses, jumlah tenaga kerja juga dapat dijimatkan di samping pemotongan ikan dengan menggunakan mesin ini adalah lebih kemas.

Katanya, ini adalah kerana mesin ini menggunakan pisau pembelah dengan kuasa motor yang berupaya membelah ikan dengan kelajuan tinggi.

“Pemotongan secara manual melibatkan sentuhan manusia yang lebih lama dan ini boleh menyebabkan berlakunya pencemaran terhadap ikan yang dipotong.

“Hal ini dapat dielakkan dengan memotong menggunakan mesin automatik ini kerana masa sentuhan dengan manusia adalah sangat minima,” ulas beliau lagi .

Projek pembangunan mesin pemotong ikan automatik ini telah mula dilaksanakan bermula dari bulan Januari 2019 dengan menggunakan dana penyelidikan Public-Private Research Network (PPRN) yang dianugerahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 20 June 2019

038448291