Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperhebatkan budaya inovasi dan berfikir di luar kebiasaan dalam kalangan warga kerjanya samada kakitangan akademik dan pentadbiran menerusi platform penganjuran Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Selari itu, Pejabat Pendaftar, UTeM telah menganjurkan Konvensyen KIK kali ke-5 Peringkat UTeM bertempat di Auditorium Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal baru-baru ini bagi menzahirkan budaya kerja “berfikir di luar kebiasaan” untuk memberi perkhidmatan yang responsif, mesra dan cekap yang berteraskan ketelusan dan integriti di peringkat nasional mahupun merentas sempadan dunia.

Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim berkata, konvensyen KIK yang dijalankan oleh UTeM telah membantu menggalakkan warga UTeM berfikir di luar kotak iaitu cara berfikir dengan menggunakan perspektif baharu yang merupakan teras utama dalam pembangunan modal insan minda kelas pertama.

Ujar beliau lagi, menerusi corak fikiran luar kotak tersebut, idea yang muncul dapat diaplikasikan bagi membantu pihak pengurusan dalam menyelesaikan masalah di tempat kerja melalui inovasi yang dihasilkan dan seterusnya membuat penambahbaikan secara berterusan dan secara tidak langsung akan membuka minda warga UTeM bahawa kreativiti dan inovasi adalah salah satu cabang kejayaan dalam pekerjaan.

Katanya, setiap kumpulan telah mempersembahkan setiap projek yang dipilih mereka dan menerusi penilaian oleh Ketua Panel dan Panel yang terdiri daripada 3 orang juri berpengalaman iaitu wakil-wakil daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memilih pemenang yang berpotensi untuk mewakili universiti ke peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pengawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat berkata, program ini telah menyaksikan penglibatan sebanyak 6 kumpulan KIK daripada 6 Pusat Tanggungjawab UTeM yang mana johan telah menjadi milik Kumpulan Digital FKEKK dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) dengan projek mereka yang bertajuk "Tempoh Pengurusan Projek Pelajar Yang Lama" dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000.00 bersama plak kemenangan dan sijil penghargaan.

Ujar beliau, kumpulan Achieve dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dengan tajuk projek mereka, Sistem Tempahan Makmal dan Bilik Kuliah Kurang Efisyen telah muncul sebagai naib johan dan menerima wang tunai sebanyak RM2,000.00 bersama plak kemenangan dan sijil penghargaan di samping turut membawa pulang RM500.00 apabila turut memenangi kategori persembahan terbaik.

Kumpulan Top dari Pejabat Bendahari dengan tajuk projek mereka, Terimaan Bayaran Tidak Dapat Dikenalpasti Semakin Meningkat pula telah berjaya mendahului 3 kumpulan yang lain apabila berjaya mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah kemenangan berjumlah RM1,000.00 bersama plak kemenangan dan sijil penghargaan.

Sementara itu, 3 kumpulan lain yang pulang dengan hadiah sahuhati sebanyak RM500.00 bersama plak kemenangan dan sijil penghargaan adalah Kumpulan MISSing dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dengan projek Sistem Barang Hilang Dan Jumpa Secara Berpusat, Kumpulan FAME dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dengan projek Kesukaran Membuat Tempahan Mesin di Makmal FKP dan Kumpulan STeeKERS dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dengan projek mereka, Proses Pembelian Pelekat Kenderaan yang Lama.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 20 June 2019

036122161