Seramai seribu seratus bakal haji telah mengikuti Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat negeri Melaka yang telah di adakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 22 dan 23 Jun 2019 lalu. 

Program KPH ini merupakan anjuran Tabung Haji (TH) Melaka dengan kerjasama UTeM melalui Pusat Edu Pelancongan yang dilantik sebagai Pengurus Acara dengan dibantu Pusat Islam UTeM, Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah diadakan di Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM sebagai lokasi utama kursus ini.

Menurut Pengarah TH Melaka, Amat Kassim Pait berkata, seramai seribu seratus bakal jemaah haji dari seluruh negeri Melaka telah menyertai bagi mendapatkan pendedahan praktikal berkaitan ibadah haji yang menjadi rukun Islam kelima umat Islam.

Jelas beliau, kursus yang dilaksanakan selama 2 hari 1 malam ini adalah yang terakhir anjuran TH sebagai simulasi praktikal dan pelengkap kursus-kursus haji yang dikendalikan TH sebelum ini dengan memberi penekanan amali ibadat seperti tawaf, sa’ie, wuquf, bermalam (mabit) dan melontar jamrah.

Ujarnya, pemilihan UTeM sebagai lokasi KPH pada kali ini dilihat dapat membantu para bakal jemaah haji untuk merasai dan menyelami situasi sebenar yang bakal ditempuh oleh mereka ketika di Tanah Haram kelak. 

Katanya, antara lokasi yang terpilih di dalam UTeM untuk amali ibadat ialah Masjid Sayyidina Abu Bakar (Masjidil Haram), Tapak Parkir Pusat Sukan UTeM (Arafah), Padang Ragbi (Muzdalifah) dan Tapak Parkir Dewan Besar (Mina).

Pengarah Program KPH merangkat Pengarah Pusat Edu Pelancongan UTeM, Professor Madya Dr. Haslinda Musa berkata, seramai 47 orang sukarelawan dari kalangan kakitangan dan pelajar UTeM telah menjadi penggerak utama sepanjang dua hari kursus yang melibatkan teori dan praktikal ini berlangsung. 

Jelasnya, antara keistimewaan KPH kali ini ialah para bakal jemaah haji digerakkan dengan menggunakan bas yang amat terhad bagi menggambarkan simulasi sebenar yang akan berlaku di Tanah Suci di mana setiap pergerakkan melibatkan elemen menunggu, emosi dan kesabaran tinggi. 

KPH juga turut mengadakan aktiviti gotong-royong perdana di setiap lokasi praktikal haji untuk menjaga aspek kebersihan sepertimana yang dituntut oleh Islam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim, berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi sebagai program tahunan bagi memperkenalkan UTeM sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam kepada komuniti setempat.  

Majlis perasmian KPH 1440H/2019M peringkat negeri Melaka telah disempurnakan oleh wakil Ketua Negeri Melaka, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Yang Berhormat Mohd Sofi Abdul Wahab, pada hari pertama kursus berkenaan di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 20 June 2019

034896362