Jawatankuasa Khidmat Masyarakat, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama dan khidmat runding dari Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia’ (Projek Iqra') telah menganjurkan Projek Shopping Raya 2019, baru-baru ini.

Program tahunan anjuran kali ke-5 ini telah bermula dari tahun 2015 lagi dan sama seperti tahun sebelumnya diadakan di Pasaraya Mydin MITC dan untuk kali ini, pihak FTMK telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Duyong bagi menyaring penerima manfaat yang terlibat dan buat kali pertamanya bagi tahun ini, terdapat penerima manfaat dari dua buah keluarga mualaf.

Pengarah Program, Ts. Dr. Zeratul Izzah Mohd Yusoh berkata, antara objektif program ini bertujuan untuk membantu membeli persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk anak anak yatim, fakir miskin, mualaf dan asnaf di bawah jagaan rumah kebajikan dan komuniti setempat.

Jelas beliau, Projek Shopping Raya tersebut disertai seramai 12 orang ahli Jawatankuasa Khidmat Masyarakat FTMK dan 37 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan dari pelbagai Pusat Tanggungjawab di UTeM malahan terdapat juga penyertaan orang awam sebagai sukarelawan kepada 40 penerima manfaat yang terdiri dari golongan asnaf daripada Sekolah Kebangsaan Duyong dan 15 penerima manfaat yang terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf dari sekitar negeri Melaka.

Kata beliau, uniknya menerusi program ini kami sendiri membawa anak-anak yatim dari golongan miskin serta asnaf dan mualaf bersama-sama dengan para sukarelawan pergi membeli belah pakaian sempena sambutan Syawal.

“Selain memberi anak-anak yatim ini merasai kemeriahan membeli persiapan berhari raya, program ini membuka peluang kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti kerja amal dan merapatkan ukhuwah dengan golongan yang kurang berkemampuan ini”, ujarnya mengakhiri temubual.

Pelbagai hebahan telah dibuat beberapa minggu sebelum program berlangsung bertujuan untuk memaklumkan warga UTeM dan juga masyarakat luar tentang program ini untuk kutipan dana di mana kos kempen ini ditampung sepenuhnya dari sumbangan derma dari warga UTeM dan orang ramai.

Sementara itu, Dekan FTMK, Gs. Dr. Othman Mohd turut mengulas dan berharap dengan adanya program ini maka dapatlah meringankan beban keluarga anak-anak yatim, asnaf dan mualaf yang terlibat serta dapat memeriahkan sambutan hari raya buat mereka.

Ujarnya lagi, program tersebut turut telah membuka peluang kepada orang ramai untuk melakukan kerja amal di samping mendekatkan jurang antara anak-anak yatim, asnaf dan mualaf dengan orang ramai dan menjadi platform agar masyarakat sentiasa bersatu hati dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 14 March 2019

034061446