Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (PPNC-JIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Kelab IEM-UTeM Student Section telah menganjurkan program tahunan berimpak iaitu Infineon Week@UTeM 2019 yang berlangsung selama 3 hari bermula dari 23 sehingga 26 April 2019 yang lalu.

Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM, Prof. Ts. Dr. Goh Ong Sing berkata, penganjuran Infineon Week@UTeM 2019 antara contoh dapatan hasil daripada kerjasama strategik bersama industri yang mana dahulunya dikenali sebagai Program i-CoE UTeM-Infineon hasil output menerusi pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UTeM dan Infineon sejak tahun 2011 lagi.

Jelas beliau, pelbagai pengisian menarik dan berimpak dilaksanakan menerusi program sebegini antaranya, sesi lawatan industri oleh pelajar dan tenaga pengajar UTeM, sesi taklimat kerjaya dan alumni UTeM yang sedang berkhidmat di Infineon Melaka, sesi temuduga bagi pengambilan pekerja dan permohonan latihan industri serta pertandingan poster projek tahun akhir pelajar.

Menurut beliau, bagi penganjuran kali ke-8 pada tahun 2019 ni, beberapa program utama telah dikelolakan seperti lawatan ke Kilang Infineon Melaka di Batu Berendam, Melaka dengan penglibatan seramai 40 orang pelajar Kelab IEM-UTeM Student Section dan pensyarah UTeM, Ceramah Kerjaya & Forum Teknikal, Sesi Temuduga dan Sesi Temubual Bersama Alumni serta Pertandingan Poster/Produk Projek Sarjana Muda.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Infineon Week@UTeM 2019 telah berlangsung padahari terakhir bertempat di Dewan UTeM 1, Kampus Teknologi UTeM yang dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti dan I-COE PPNCJIM, Profesor Madya Dr. Mohamad Zoinol Abidin Abd Aziz serta Pengarah Pusat Perhubungan Industri, PPNCJIM UTeM, Prof Madya Dr Kok Swee Leong.

Manakala pihak Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. pula dihadiri oleh Presiden dan Pengarah Urusannya Lee Chee Hong serta beberapa pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.

Dalam majlis penutup tersebut telah diserikan dengan penyampaian hadiah bagi Pertandingan FYP Poster Competition dan penyampaian replika cek Hadiah ‘US Patern File Grant Award’. 

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib mengharapkan agar aktiviti berimpak sebegini terus disemarakkan serta mengukuhkan jambatan penghubung UTeM dengan pihak Infineon serta rangkaian industri global.

Katanya lagi, program sebegini juga turut membantu dalam meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan (GE) pelajar-pelajar UTeM dan meningkatkan lagi program-program pembangunan penyelidikan antara UTeM dan rakan industri strategik.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 14 March 2019

033400612