Warga kerja Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sepakat dan muafakat bekerjasama bergilir-gilir menggerakkan program memasak dan menyediakan juadah berbuka puasa kepada lebih seribu orang pelajar sepanjang bulan puasa ini.

Program tersebut merupakan antara yang telah dirancang dan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pengisian program Ihya’ Ramadan bagi tahun 1440 Hijrah bertempat di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal. 

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, program Ihya’ Ramadan yang berlangsung ini diharapkan dapat membudayakan sifat mahmudah dalam diri setiap warga universiti di samping memupuk sifat saling membantu antara satu sama lain termasuklah golongan yang memerlukan.

Jelas beliau, pelbagai aktiviti utama sebagai pengisian  Ihya’ Ramadan telah dirancang bagi meningkatkan kefahaman serta penghayatan warga universiti mengenai hikmah dan juga kelebihan bulan Ramadan di samping memupuk rasa prihatin dan silaturahim warga universiti. 

Ujarnya, turut tidak ketinggalan adalah acara tahunan UTeM pada bulan Ramadan iaitu Majlis Iftar bersama Tun Canselor UTeM merangkap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob di samping pembukaan kaunter kutipan Zakat Fitrah sepanjang hari bermula dari 1 Ramadan sehingga pagi 1 Syawal.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon mengulas lanjut mengenai Ihya’ Ramadan menyatakan bahawa antara aktiviti lain yang turut diadakan bagi Ihya Ramadan adalah Tazkirah Ramadan pada setiap hari selepas solat zuhur, Tadarus Al-Quran harian sebelum solat zuhur, program penyediaan dan memasak juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan dan Iftar Jama’i Harian dan Sahur Harian yang berlangsung sepanjang Ramadan.

Tambah beliau lagi, 10 malam terakhir turut diserikan dengan program Qiamullail dan Aktikaf Perdana serta Sahur Jama’i, program Khatam Al-Quran (Quran Hour), Ceramah Nuzul Al-Quran dan penyerahan sumbangan hari raya.

Sama seperti tahun sebelumnya, program ini melibatkan kesemua Pusat Tanggungjawab Universiti (PTj) dan sukarelawan yang terdiri daripada Badan atau Persatuan Kebajikan dalam UTeM seperti Badan Kebajikan Kakitangan UTeM (BaKUTeM), Persatuan Pegawai Akademik (UTeMASA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAKTIS), Kesatuan Kakitangan Am UTeM (KEKUTeM), Puspanita UTeM, Pengurus Asrama, Badan Dakwah & Rohani, UTeM (BADAR) dan Jawatankuasa Kolej Kediaman Siswa / Siswi (JAKSIS).

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 20 June 2019

036123519