i@UTeM
UTeM Mail
Monday, 03 August 2020

UTeM Santuni Keperluan Pembelajaran Era Revolusi Industri 4.0

Usaha untuk mendidik pelajar institusi pengajian tinggi dalam era Revolusi Industri 4.0 kini adalah satu tugas yang amat mencabar bagi pendekatan pembelajaran dan pengajaran (PnP) perlu cepat berubah bersesuaian dengan perubahan teknologi yang pantas bagi keberkesanan dalam P&P.

Kedua-dua pensyarah dan pelajar perlu disedarkan dengan keperluan untuk berubah dan menerima pakai pendekatan heutagogy yang mana pembelajaran pelajar adalah berarah-kendiri, fleksibel, berpusatkan pelajar dan sepanjang hayat.

Mengapa pendekatan heutagogy diperlukan? Ini adalah kerana zaman ini adalah zaman bebas pengetahuan dan kemahiran justeru tiada halangan untuk seseorang mengetahui sesuatu tentang data dan maklumat, pengetahuan kini terlalu mudah diperolehi.

Semua hanya di hujung jari lalu kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang pelajar yang berkesan dalam era ini telah berubah secara dramatik kerana pelajar berubah dari penerima pasif kepada penganalisis dan pensintesis.

Menurut Taksonomi Bloom, tahap ini sukar dan jarang dicapai dalam pendidikan formal namun dalam era ini ianya telah  menjadi kemahiran penting untuk graduan terus hidup dan mampu bersaing selepas menamatkan pengajian.

Dalam revolusi ini, pengajar tidak lagi boleh merasakan bahawa mereka merupakan pakar tunggal yang mempunyai maklumat atau pengetahuan tersebut kerana dengan adanya teknologi terkini, pelajar mempunyai peluang untuk berada di tahap yang sama dan tidak mustahil untuk berada di tahap yang lebih tinggi dari pengajar sekiranya pengajar tidak sedar dan tidak mahu berubah.

Dahulu, visi pembelajaran sepanjang hayat hanya igauan pendidikan di tahun 90an, tapi kini ia berpotensi untuk dicapai berbanding dahulu tidak mudah untuk mencapai maklumat, tahap kemahiran, dan ketrampilan.

Rata-rata sistem pendidikan dan latihan di negara kita dibangunkan untuk memenuhi keperluan revolusi industri yang mana sumber manusia disediakan dan dilatih untuk memenuhi suatu model ekonomi dan sistem sebegini lebih menekankan kepiawaian dan prestasi, bukan pembelajaran, kreativiti atau inovasi.

Dalam era revolusi industri 4.0, sistem pendidikan yang diperlukan adalah sistem yang bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang belajar sepanjang hayat tapi berkebolehan dengan mempunyai set kemahiran yang menyeluruh yang menyediakan mereka untuk mampu menangani perubahan pantas.

Heutagogy mengembangkan prinsip-prinsip pembelajaran dewasa dengan prinsip pembelajaran berpusatkan pelajar, pembelajaran berarah-kendiri, menghasilkan pelajar berkebolehan menyeluruh untuk menangani keadaan yang biasa dan tidak biasa, boleh memuhasabah diri secara holistik, pembelajaran gelung kembar yang memerlukan keterlibatan psikologi serta tingkah-laku dan pembelajaran dan pengajaran yang tidak linear. 

Di tahap ideal, melalui pendekatan heutagogy, pembelajaran adalah tidak linear yang mana pelajar dan pengajar boleh berunding menentukan keperluan pembelajaran, proses pentaksiran dan hasil pembelajaran.

Justeru tanpa heutagogy, pelajar tidak disediakan untuk mampu bersaing di alam pekerjaan era revolusi industri 4.0 kerana elemen rekabentuk yang heutagogic melibatkan eksplorasi (explore), mencipta (create), berkolaborasi (collaborate), berhubung (connect), berkongsi (share), dan bermuhasabah (reflect) perlu dimasukkan dalam aktiviti pembelajaran pelajar samada secara bersemuka dan atau secara e-pembelajaran.

Matlamat pendekatan heutagogy adalah menghasilkan pelajar yang berkebolehan, kreatif dan mampu menentukan sendiri (self-determined learners). Matlamat akhirnya adalah untuk menghasilkan pelajar yang mampu menetapkan matlamat sendiri, menguruskan pembelajaran sendiri, komited kepada pembelajaran sepanjang hayat, dan memperoleh perubahan pengalaman sebagai hasil dari pembelajaran tersebut.

Namun ianya  bukanlah mudah untuk dicapai dalam masa yang singkat kerana ia melibatkan kesedaran, pembudayaan dan tindakan dari banyak pihak terutama pihak pengurusan institusi, pengajar dan pelajar, justeru ianya boleh dirancang dan dilaksanakan di peringkat awal lagi.

Menyedari keperluan ini UTeM melalui Pusat Sumber & Teknologi Pembelajaran (PSTP), Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa (TNCAA) telah mengambil inisiatif menyediakan bilik pembelajaran kolaboratif (CLeaR – Collaborative Learning Room) bagi menggantikan bilik kuliah konventional bermula semester 2016/2017 yang lalu.

Terdapat 4 jenis CLeaR yang telah diperkenalkan di UTeM seperti 3 CLeaR Lengkap, 5 CLeaR Asas, 8 CLeaR BYOD 1, dan 8 CLeaR BYOD 2. CLeaR adalah bilik kuliah yang dilengkapi teknologi PnP terkini dan diwujudkan khusus untuk membolehkan PnP secara inovatif, kreatif dan fleksibel untuk menggalakkan dan membudayakan pelaksanaan pembelajaran berpusatkan pelajar menggunakan pendekatan heutagogy.

CLeaR dilengkapi dengan kemudahan asas 60 iPad untuk pelajar di samping peranti streaming dan kemudahan persembahan oleh pelajar serta meja dan kerusi dalam CLeaR pula turut bersesuaian untuk aktiviti secara berkumpulan dijalankan di samping ianya dilengkapi dengan capaian Internet berkelajuan tinggi bagi memastikan persekitaran kolaboratif dapat dilaksanakan secara optimum.

Aktiviti pembelajaran yang memerlukan eksplorasi, mencipta, berkolaborasi, berhubung, berkongsi dan bermuhasabah dapat dilaksanakan dengan mudah samada secara bersemuka atau pembelajaran teradun.

Idea dan kandungan perbincangan akan mudah dikongsi dan hasil perbincangan dapat dikongsikan dan diputuskan secara bersama yang mana bagi CLeaR BYOD (Bring Your Own Device) pula, tiada tablet atau iPad disediakan untuk pelajar dan pelajar menggunakan peranti mudahalih masing-masing untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran berpusatkan pelajar dalam persekitaran pembelajaran heutagogic.

Walau dengan memiliki  kemudahan ini masih tidak menjanjikan matlamat pendekatan heutagogy dapat dicapai atau penghasilan graduan yang dapat memenuhi keperluan era revolusi Industri 4.0 kerana cabaran utama yang dihadapi adalah bagaimana untuk memastikan pengajar atau lebih sesuai dipanggil pemudahcara atau fasilitator melaksanakan PnP menggunakan pendekatan heutagogy dan pelajar juga mempunyai kesedaran tentang harapan (expectation) terhadap mereka, dan peranan baru mereka dalam melaksanakan pembelajaran.

Antara halangan utama yang dikenalpasti adalah pengajar dan pelajar telah selesa dengan persekitaran yang berstruktur dan tidak mahu berubah, pelajar telah biasa menjadi peserta pasif yang mengharapkan maklumat disuap dan menghafal untuk peperiksaan, pelajar berasa memadai dengan keputusan yang minima, pelajar gagal memahami gambaran sebenar kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, dan pelajar gagal memindahkan kemahiran serta nilai kepada satu sama lain.

Justeru itu, selain penyediaan kemudahan, PSTP dan Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (PPP) UTeM juga giat menjalankan bengkel untuk pembudayaan teknologi dalam PnP kepada pengajar dan pelajar yang mana pelaksanaan pendekatan heutagogy memerlukan literasi digital yang melibatkan 3 jenis literasi iaitu  literasi komputer termasuk peranti mudahalih, literasi maklumat dan literasi media.

Literasi ini bukan hanya diperlukan oleh pelajar dan pengajar jurusan komputer  teknologi maklumat sahaja bahkan semua jurusan pengajian termasuk kejuruteraan, pengurusan dan perubatan kerana untuk mencapai kejayaan serta matlamat yang dihasratkan bagi melahirkan graduan yang sedia berkebolehan dalam era revolusi industri 4.0 amat bergantung kepada perubahan pengajar kepada pengajar 4.0 iaitu pemudahcara berpendekatan heutagogic dan perubahan pelajar kepada pelajar 4.0 iaitu pelajar self-directed.

Penulis oleh : Prof Dr. Sazilah binti Salam, Pengarah, Pusat Sumber & Teknologi Pengajaran, UTeM (PSTP).


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!