i@UTeM
UTeM Mail
Monday, 03 August 2020

UTeM Wujudkan Kokurikulum Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) 2018

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kini mara selangkah lagi dalam usaha menubuhkan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) untuk mahasiswa dan mahasiswi bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.

Selaras itu maka siswa UTeM kini mempunyai alternatif dan cabang pilihan untuk mengikuti PALAPES bagi yang cenderung ke arah ketenteraan manakala yang berminat dalam kepolisian pula boleh meneruskan dalam kokurikulum Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) yang terdahulu dilaksanakan di universiti ini sebagai kokurikulum berpakaian seragam. 

Secara umumnya kokurikulum PALAPES bertujuan untuk melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di samping menyokong usaha kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk membentuk warganegara yang bersahsiah sempurna, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara.

Satu perbincangan terperinci telah dijalankan pada minggu lalu melibatkan delegasi ATM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Nor Afendi Mohamed Thufik bersama Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid dalam menentukan penempatan markas PALAPES yang dijangka mula dilengkapkan dalam jangka masa yang dirancang.

Menurut Dr Izaidin sewaktu ditemui di pejabat beliau menyatakan bahawa pengambilan kadet akan dimulakan pada bulan september 2018 kelak bagi pengambilan pelajar semester 1 sesi 2018/2019 dengan penempatan pelajar akan diselaraskan di kolej kediaman lestari UTeM bagi memudahkan pergerakkan dan pemantauan terhadap kadet yang terpilih.

Tambah beliau lagi, untuk pengambilan kali pertama, seramai 50 orang kadet akan dipilih menerusi temuduga dan ujian kecergasan jasmani bagi menentukan kelayakkan mereka untuk menyertai PALAPES siri pertama bagi UTeM.

“Kawasan markas yang disediakan oleh pihak UTeM juga mampu memuatkan kesemua anggota Angkatan Tentera Malaysia dengan jumlah seramai 2 orang pegawai dan 20 orang lain-lain pangkat bagi melatih kadet yang terpilih”, ujar beliau mengakhiri ulasan.

Seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh 3 tahun secara sambilan; di mana latihan biasa yang meliputi subjek-subjek berkaitan ketenteraan akan diadakan pada setiap hujung minggu dan latihan lanjutan juga latihan intensif juga akan diadakan setahun sekali secara sepenuh masa selama 3 minggu.

Program PALAPES kini merangkumi setiap cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu PALAPES Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara yang mana setiap pasukan PALAPES mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing yang telah ditubuhkan di 18 buah IPTA dan 1 IPTS.


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!