i@UTeM
UTeM Mail
Thursday, 17 June 2021

UTeM Berjaya Sempurnakan Operasi Pergerakan Pelajar Pulang Sambut Hari Raya Aidilfitri

MELAKA, 10 Mei: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyempurnakan operasi pergerakan pulang pelajarnya ke kediaman masing-masing sempena sambutan Aidilfdri kali ini.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, seramai 473 pelajar (data terkini) daripada 652 pelajar (data awal) telah digerakkan pulang dengan menggunakan perkhidmatan sebanyak 21 buah bas yang disediakan UTeM menerusi Op Pulang Hari Raya pada 7 hingga 10 Mei dan kembali ke kampus pula bermula 17 hingga 20 Mei.
 
Jelas beliau, perkhidmatan bas yang diselaraskan oleh UTeM terbahagi kepada empat zon utama iaitu Utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang), Tengah (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak), Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Selatan (Melaka, Negeri Sembilan dan Johor).
 
Katanya, penghantaran pertama adalah pada 7 Mei lalu ke zon Pantai Timur, 8 Mei ke Zon Tengah, 9 Mei Zon Utara dan yang terakhir pada hari ini 10 Mei adalah melibatkan pengahantaran Zon Selatan.
 
“Sistem Maklumat Pelajar UTeM sehingga kini mencatatkan telah menerima 3,500 permohonan daripada pelajar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan perayaan kali ini dan daripadanya mencatatkan seramai 1,672 orang pulang dengan kenderaan sendiri.
 
Sementara itu seramai 1,309 pelajar telah dijemput oleh ibu bapa mereka dan seramai 46 orang pulang dengan menaiki kapal terbang manakala terdapat seramai 592 orang pelajar yang pilih untuk kekal di kampus.
 
“Pelajar yang berjaya permohonannya hanya perlu mencetak surat pelepasan rentas negeri sehari sebelum perjalanan dan surat berkenaan telah dilengkapkan dengan sistem kod QR bagi tujuan kawalan dan pengesahan data pelajar, dengan sebahagian pelajar pulang dengan bas, kenderaan sendiri, dijemput oleh waris dan menggunakan perkhidmatan kapal terbang,” menurut beliau lagi.
 
Nurulfajar berkata, berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa menjadi keutamaan kepada kami yang mana saringan kesihatan dilakukan sebelum pergerakan bermula dengan pelajar yang tidak bergejala sahaja dibenarkan pulang.
 
Bagaimanapun pelajar yang tinggal di Sarawak dan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan pulang.
 
Kenyataan itu turut menegaskan pelajar yang terlibat dengan Op Pulang Hari Raya ke negeri atau daerah yang di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu membuat pengasingan kendiri selama enam hari di kediaman masing-masing.
 
“Apabila kembali ke kampus, pelajar perlu menjalani pengasingan selama 10 hari di kolej kediaman asal tetapi rumah/ bilik yang ditentukan oleh pengurusan kolej, dipakaikan gelang dan hanya dibenarkan bergerak dalam kawasan Kolej Kediaman yang ditetapkan sahaja,” tambahnya.
 
Katanya lagi, sepanjang proses menguruskan pergerakan pulang pelajar ini telah melibatkan seramai 82 orang sukarelawan pelajar yang tidak pulang beraya di kampung dan mereka ini telah membantu dalam menjayakan program ini.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak UTeM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kumpulan sukarelawan pelajar ini yang telah bertungkus lumus serta kumpulan petugas UTeM, kesemua pemandu UTeM yang terlibat, Polis Bantuan UTeM serta Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi (PPPK).

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!