i@UTeM
UTeM Mail
Saturday, 15 May 2021

UTeM ungguli MTE 2021 dengan merangkul 20 pingat dan 2 anugerah khas

Melaka – Kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mengungguli Malaysia Technology Expo (MTE) Virtual 2021 dengan merangkul 20 pingat dan 2 anugerah khas.
 
MTE 2021 Virtual menyaksikan kumpulan pencipta inovasi dari seluruh dunia mengenengahkan hasil ciptaan produk inovasi mereka yang berimpak global dengan lebih 500 penyertaan telah berlangsung secara atas talian pada 22 hingga 26 Mac lalu.
 
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, ini merupakan salah satu kejayaan besar buat kami pada suku tahun pertama 2021 ini apabila kesemua 20 produk inovasi UTeM yang menyertai pertandingan ini berjaya merangkul pingat.
 
Jelasnya, kejayaan ini menjadi rantaian lonjakan jenama UTeM dan pengiktirafan berprestij kepada kumpulan penyelidik yang telah beraksi cemerlang serta komited menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi dunia.
 
“Kecemerlangan ini juga turut menzahirkan impak keberadaan UTeM yang memberikan sumbangan langsung kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan konsep TUNAI iaitu Technology at University Advancing Industry and Community,” ujar Dr Raha dalam kenyataannya baru-baru ini.
 
UTeM mencatatkan kejayaan cemerlang di MTE 2021 dengan pungutan pingat keseluruhan dengan 9 pingat emas, 9 pingat perak dan 2 pingat gangsa.
 
UTeM memenangi anugerah khas menerusi produk Intelligent Wearable Device for Blind Person yang diketuai Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kassim yang memenangi Special Foreign Award daripada International Federation of Inventors’ Association (IFIA).
 
Produk kedua yang memenangi anugerah khas yang dikenali Best Category Award pula menjadi milik produk inovasi LiFWeE diketuai Dr Zulkeflee Abdullah dan menariknya kedua-dua produk ini turut berjaya merangkul pingat emas.
 
Tujuh lagi pingat emas yang telah dimenangi UTeM adalah menerusi produk C2L diketuai Ts. Dr. Mohd Azli Salim dan ECOCO 2.0 - Green Solid Desiccant From Young Coconut Waste for Desiccant Dehumidifier diketuai Norain Idris.
 
OPTIDR-Simulator diketuai Ts. Dr. Mohamad Fani Sulaima, Diabetic Retinopathy Consultation System (DRCS) diketuai Ts. Dr. Sarni Suhaila Rahim, Precision Agriculture Recommender System (PARS) diketuai Prof. Madya Gs. Dr. Asmala Ahmad.
 
Dua produk lagi adalah HRPL: 6Lowpan Protocol Algorithm for IoT Smart Home System diketuai Dr. Nurul Azma Zakaria dan Automated Lightning Detection System for Flash Flood Monitoring diketuai Dr. Mohd Riduan Ahmad.
 
Sembilan pingat perak dimenangi menerusi produk I'm Pay (Islamic Marketplace Payment Gateway), Bicycle Storage Holder (BISH), Protecc - Innovating Care Through AI, Catchbus Malaysia, Double Brown, HVAC Virtual Laboratory (HV-Lab), Multi Function Detect and Count (D&C), 1-Step Alarm Flooring dan Visitor Screening and Sanitizing Station.
 
Sementara itu 2 pingat gangsa pula telah dimenangi menerusi produk Water Based Photovoltaic Thermal (Pvt) With New Dual Oscillating Absorber dan Boron Cutting Tool (BCT).
 
MTE 2021 Virtual itu merupakan anjuran PROTEMP Exhibition and Conferences dan disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan beberapa kementerian berkaitan.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!