i@UTeM
UTeM Mail
Sunday, 18 April 2021

UTeM menyerlah di pentas dunia : “Memperhebat Strategi, Memperkasa Legasi”

Menuju ke arah prestij tinggi dan terus menyerlah di pentas dunia maka seluruh warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diajak bersama merealisasi tema perutusan Naib Canselor bagi tahun 2021 ini “Memperhebat Strategi, Memperkasa Legasi”.
 
Perutusan Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim telah diadakan secara atas talian pada pagi semalam selama 1 jam 15 minit menerusi Facebook rasmi UTeM dan diikuti lebih daripada 6,500 orang.
 
Mengulas mengenai perutusan tahun ini Dr Raha berkata, tema tahun ini adalah bersifat memacu potensi UTeM secara komprehensif di samping memperkasakan segenap dimensi kekuatan dan kelebihan yang telah dimiliki oleh universiti ini.
 
Jelas beliau, daripada aspek memperhebat strategi beliau menyeru seluruh warga UTeM menggembelingkan seluruh jentera agar mencapai 7 matlamat strategik UTeM 2021-2025 secara sepenuhnya yang terdiri daripada University of Choice dan Graduate of Choice.
 
Manakala 5 matlamat lagi adalah Solution Providers for Industrial and Societal Advancement, Competent and Robust Talent, Visible and Globally Prominent, Smart and Dynamic Campus serta Financially Sustainable.
 
Katanya, memperkasa legasi pula berkisar kepada keberadaan UTeM menzahirkan kepakaran yang dimiliki dengan memberikan impak dan manfaat besar kepada pihak industri dan komuniti.
 
“UTeM mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang penyelidikan dan inovasi dan hal ini memberikan refleksi langsung dalam memantapkan lagi ekosistem kemajuan komuniti serta industri global,” ujarnya.
 
Bercakap mengenai nilai organisasi, Dr Raha berkongsi antara intipati amanat Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini dan mengajak seluruh warga UTeM untuk mengamalkan konsep 5S yang disarankan iaitu speed, sinergy, solidarity, strategic dan standard.
 
Beliau turut menyeru agar seluruh tenaga akademik universiti ini agar sentiasa mempamerkan pakej kecemerlangan lengkap dan terus menyerlah menerusi konsep e-STAR yang iaitu extension, services, teaching and learning, admin dan research and development.
 
Dalam ruangan perutusan ini, Dr Raha turut merakamkan penghargaan dan pujian kepada seluruh warga UTeM daripada kalangan kakitangan dan penuntut yang telah mencapai banyak kejayaan dan kecemerlangan dalam pelbagai lapangan dan bidang.
 
Rangkuman kejayaan ini sekaligus telah melonjakkan jenama UTeM menyinar di peringkat nasional dan juga pentas dunia sepanjang lembaran tahun lalu dan sebelumnya.
 
Menyentuh mengenai situasi pandemik pada masa kini beliau menyarankan agar seluruh warga UTeM untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah diuar-uarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di samping membudayakan amalan 3W (wash, wear dan warn) dan mengelakkan konsep 3C (tempat sesak, tempat tertutup dan bercakap jarak dekat).

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!