i@UTeM
UTeM Mail
Thursday, 25 February 2021

UTeM Iktiraf Bakat dan Pencapaian TUAH

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengiktiraf bakat dan pencapaian mahasiswanya yang dikenali sebagai TUAH UTeM menerusi Majlis Anugerah Gemilang Universiti (AGU) 2019 yang diadakan pada 23 Disember lalu.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, AGU merupakan usaha pengurusan universiti melalui Pejabat HEP memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada mahasiswa UTeM yang telah bergiat aktif, mencapai kejayaan serta mengharumkan nama UTeM dalam aktiviti kokurikulum dan sukan di peringkat nasional dan global.
 
Jelasnya, AGU ini turut membuka peluang kepada mahasiswa untuk bersaing secara sihat dan terlibat secara langsung dalam aktiviti pembangunan sahsiah bagi melahirkan insan yang seimbang.
 
Ianya bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawan, inovasi, keusahawanan, pengucapan awam, dan lain-lain.
 
Dalam AGU 2019 ini anugerah pemimpin organisasi terbaik telah menjadi milik Muhammad Isa Ishak yang mewakili FETSA dan anugerah olahragawan UTeM pula dimenangi oleh Hamdanwahid Rinaldi yang telah mencapai banyak kemenangan menerusi sukan taekwando peringkat nasional dan antarabangsa.
 
Sementara itu, anugerah olahragawati UTeM pula menjadi milik Anis Amira Basri yang telah mencapai banyak kemenangan bagi sukan petanque di pelbagai peringkat manakala anugerah kelab atau persatuan terbaik pula dimenangi oleh Kelab Fasilitator Sahabat Siswa (FaSaSi).
 
Di samping itu, AGU 2019 turut mengiktiraf pencapaian aspek kepimpinan individu menerusi anugerah pemimpin program keusahawanan terbaik, pemimpin program kesukarelawan terbaik, pemimpin program sains teknologi dan inovasi terbaik, pemimpin program pembangunan sahsiah/intelek terbaik dan pemimpin program sukan terbaik.
 
Dalam aspek sukan turut diberi pengiktirafan bagi anugerah pasukan harapan, anugerah pasukan cemerlang, anugerah kelab cemerlang, anugerah pengurus cemerlang, anugerah olahragawati harapan dan anugerah olahragawan harapan.
 
Antara kategori lain yang turut diberikan anugerah adalah kategori kepimpinan pasukan menerusi 7 anugerah dan pada kali ini turut disampaikan penghargaan khas yang dikenali sebagai anugerah khas juri.
 
Kesemua penerima anugerah pada majlis AGU 2019 ini menerima wang tunai, sijil dan juga trofi.
 
Dr Nurulfajar berkata, AGU ini menjadi platform bagi membentuk calon-calon pelajar yang akan diangkat ke Anugerah Tokoh Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi dan atlet terbaik universiti (lelaki dan wanita) di Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang diadakan pada setiap tahun.
 
Mengulas lanjut, beliau meletakkan harapan agar AGU ini juga dapat menyuntik semangat, kesedaran, motivasi serta melebarkan peluang kepada para mahasiswa untuk mengetengahkan potensi dan bakat yang ada.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!