i@UTeM
UTeM Mail
Thursday, 25 February 2021

Geran Sepadan MTUN : UTeM Terokai Penyelidikan Pembangunan Jentera Penyelenggaraan Loji Penapisan Minyak dan Gas

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerokai penyelidikan bagi membangunkan jentera berat bagi penyelenggaraan loji penapisan minyak dan gas bertaraf global.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, projek penyelidikan ini menjadi salah satu pencapaian berprestij UTeM apabila diberi kepercayaan bagi menjayakan projek membangunkan jentera berat yang berperanan besar dalam penyelenggaraan sesebuah loji penapisan minyak dan gas dalam negara.
 
Jelas beliau, penyelidikan ini merupakan perkongsian kepakaran oleh kumpulan penyelidik UTeM bersama dengan syarikat HRSB Holdings Sdn Bhd yang telah dimeterai Memorandum Perjanjian (MoA) baru-baru ini.
 
Katanya, projek ini dibiayai menerusi peruntukan geran sepadan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang bernilai RM400,000.00 yang mana sejumlah RM200,000.00 dibiayai daripada HRSB Holdings dan RM200,000.00 daripada UTeM.
 
Dr Raha berkata, produk penyelidikan yang diberi nama “Extendable Bundle Puller” ini berfungsi untuk mengeluarkan tiub dalam sistem penyejukan loji yang perlu diselenggara secara berkala untuk memoptimumkan operasi sistem bagi sesebuah loji penapisan minyak dan gas.
 
“Sebelum ini, pihak HRSB Holdings Sdn Bhd membeli produk tersebut daripada luar negara untuk menjalankan kerja-kerja penyelanggaraan di loji penapisan minyak dan gas.
 
“Namun kini pihaknya memberikan kepercayaan kepada kumpulan penyelidik UTeM bagi membangunkan sendiri dan secara tidak langsung dapat memajukan industri jentera berat untuk penyelenggaraan loji penapisan minyak dan gas dalam negara kita,” ujarnya dalam kenyataan baru-baru ini.
 
Ujarnya lagi, projek ini akan dijalankan dalam jangka masa 18 bulan oleh kumpulan penyelidik UTeM dari Pusat Penyelidikan Termaju (AMC) bersama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).
 
“Misi penyelidikan berimpak dunia yang membuka dimensi baru bagi jentera berat penyelenggaraan loji penapisan minyak dan gas ini ini diketuai oleh ketua penyelidik Ir Dr Mohd Shukri Yob bersama ahli kumpulan penyelidik berpengalaman UTeM,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
 
Mengulas lanjut Dr Raha meletakkan harapan dan keyakinan bahawa pasukan penyelidik UTeM dapat menzahirkan kepakaran dimiliki bagi mencapai objektif penyelidikan berimpak ini.
 
Terdahulu pihak UTeM telahpun mengikat kerjasama strategik bersama dengan pihak HRSB Holdings Sdn Bhd menerusi pemetraian MoA pada 18 Disember 2020 lalu bertempat di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal.
 
HRSB Holdings diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangannya Noranis Bohari manakala pihak UTeM pula turut dihadiri oleh Profesor Dr Ghazali Omar yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UTeM.
 
HRSB Holdings Sdn Bhd merupakan syarikat milik penuh bumiputera yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang berkaitan dengan industri minyak dan gas bertempat di Masjid Tanah, Melaka.
 
Syarikat berprestij ini mempunyai kepakaran dalam pengurusan projek, penyelenggaraan loji, kerja-kerja pemulihan serta perkhidmatan dan latihan perancah dalam sektor minyak dan gas.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!