i@UTeM
UTeM Mail
Saturday, 16 January 2021

UTeM adalah Melaka dan Melaka adalah UTeM : UTeM Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir Negeri Melaka

Selari dengan slogan UTeM adalah Melaka dan Melaka adalah UTeM maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri Melaka pada 26 November lalu.
 
Sumbangan UTeM telah diagihkan kepada mangsa yang terlibat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tehel, Bemban, dan PPS Sekolah Kebangsaan Parit Gantong, Sungai Rambai.
 
Bantuan daripada UTeM ini dikelolakan menerusi Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UTeM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Melaka.
 
Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Madya Ir. Dr. Md. Nazri Othman berkata, kami pihak UTeM mengambil inisiatif membuat pengumpulan sumbangan barangan keperluan asas dari warga universiti bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di negeri Melaka.
 
Jelasnya, UTeM mengambil peluang ini menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum, sardin, biskut dan banyak lagi.
 
Katanya, sumbangan ini berjaya disampaikan terus kepada 23 keluarga yang terlibat bagi kedua-dua PPS yang disasarkan ini.
 
“Pada ruangan yang sama kami turut mendekati dan menyelami perasaan kumpulan mangsa sambil memberikan semangat bahawa agensi, kerajaan serta masyarakat sentiasa bersama mereka dalam situasi getir ini,” ujarnya dalam kenyataan baru-baru ini.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan UTeM sentiasa prihatin dan terus cakna dalam menzahirkan tanggungjawab sosial korporat kepada golongan komuniti di negeri ini dan Malaysia amnya secara berterusan.
 
Turut bersama dalam misi tersebut adalah Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti dan I-COE, UTeM, Profesor Madya Dr. Effendi Mohamad, pegawai-pegawai Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat, UTeM, Farudin Hanif Ya’amah dan Ahmad Hafiz Mohd Puad serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin Mohd Faizal Mat Yaacob.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!