i@UTeM
UTeM Mail
Wednesday, 02 December 2020

UTeM Kongsi Kepakaran Bangunkan Galeri Falak Berkonsep Interaktif Pertama Dalam Negara

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menzahirkan peranannya sebagai institusi kecemerlangan ilmu dalam konteks pembangunan teknikal yang memberi manfaat kepada pelajar serta komuniti sejagat.
 
Terbaru , UTeM berkongsi kepakaran bersama dengan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memartabatkan pendidikan ilmu Falak Syarie sekaligus berjaya menaik taraf Galeri Falak dan Teleskop Robotik di Kompleks Falak Al-Khawarizmi Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka.
 
Kejayaan ini telah dilaksanakan oleh sekumpulan tenaga pakar dari UTeM menerusi Jawatankuasa Teknikal Falak UTeM di bawah Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) bersama Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTeM.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM komited bagi berkongsi kepakaran yang kami miliki demi kepentingan dan pembangunan bersama dalam merentas disiplin ilmu.
 
Jelas beliau, kejayaan ini sekaligus menjadikan Kompleks Falak Al-Khawarizmi merupakan satu-satunya Kompleks Falak di Malaysia khususnya yang menggunakan konsep media interaktif dalam memberikan pendidikan falak kepada pengunjung.
 
Katanya, Konsep ini mampu menarik pelancong dan ianya mesra pengguna dengan hanya memerlukan telefon pintar untuk mengakses aplikasi yang disediakan di Galeri Falak dengan menggunakan Augmented Reality, Visual Reality dan hologram.
 
“Kewujudan UTeM di Melaka mampu membantu agensi berkaitan menggunakan kepakaran teknologi maklumat dan teknikal secara bersama dalam memartabatkan pendidikan ilmu falak di Malaysia,” jelas beliau sewaktu Majlis Perasmian Galeri Interaktif Planetarium Al Khawarizmi, Tanjung Bidara, semalam.
 
Pada majlis perasmian tersebut turut diadakan sesi pertukaran dokumen pemetraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan Jabatan Mufti Melaka di situ sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
UTeM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim manakala Jabatan Mufti Negeri Melaka yang diwakili oleh Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!