i@UTeM
UTeM Mail
Wednesday, 02 December 2020

UTeM jayakan Tanggungjawab Sosial kongsi kepakaran kepada pengusaha PKS majukan perniagaan menerusi aplikasi digital

Selari dengan kemajuan gelombang Revolusi Industri 4.0 maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif berkongsi kepakaran dengan menganjurkan kursus pengendalian aplikasi digital kepada kumpulan pengusaha Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) bagi memajukan perniagaan mereka.
 
Program berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Khidmat Masyarakat, Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK) dan Jabatan Pengkomputeran Pintar & Analitik, FTMK, UTeM bertempat di Makmal Kepintaran Buatan FTMK & Platform online Ms Teams, Kampus Induk, Durian Tunggal pada 30 September hingga 8 Oktober 2020.
 
Dekan FTMK, Profesor Dr Rabiah Ahmad berkata, kursus ini merupakan inisiatif bagi menyumbang kepada komuniti Melaka khususnya kepada pengusaha-pengusaha PKS dan ianya diberikan secara percuma.
 
Jelasnya, kursus ini mendedahkan pengusaha-pengusaha kecil atau yang baru bermula dengan perniagaan supaya dapat memanfaatkan aplikasi digital untuk meningkatkan lagi perusahaan mereka.
 
Katanya, antara modul yang ditawarkan mengikut permintaan dari hasil tinjauan adalah analisa data, penggunaan Ms Excel, Ms Word, Ms PowerPoint, pemasaran atas talian,enggunaan aplikasi media sosial dalam perusahaan dan penggunaan platform e-dagang.
 
“Pelaksanaan kursus ini dilaksanakan secara berdepan dan turut diadakan secara atas talian yang mana para peserta dapat berinteraksi terus dengan penceramah dan mendalami topik yang disampaikan,” ujarnya lagi.
 
Sementara itu, Pengarah Program, Dr. Noor Fazilla Abd Yusof menyatakan program ini telah disertai lebih daripada seratus orang peserta dari kalangan pengusaha PKS negeri Melaka.
 
Ujarnya, antara impak program ini adalah berjaya meningkatkan bilangan pengusaha yang mempunyai kemahiran teknologi digital yang relevan di samping menaik taraf pengetahuan dan kemahiran pengusaha yang diperlukan.
 
“Antara lain ianya turut membentuk kemahiran penyelesaian masalah dan komunikasi pengusaha-pengusaha ke arah keperluan kemahiran teknikal baharu dalam bidang teknologi digital,” katanya lagi.
 
Para penceramah adalah terdiri daripada barisan pensyarah dari FTMK dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, UTeM.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!