i@UTeM
UTeM Mail
Wednesday, 02 December 2020

Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa baharu UTeM

Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa,  Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh 3 tahun berkuatkuasa 1 Oktober 2020 sehingga 30 September 2023 menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
 
Pelantikan ini menggantikan mantan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa sebelumnya, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad yang memegang jawatan tersebut bermula dari 1 Januari 2015 sehingga 31 Disember 2019 sebelum bersara dari perkhidmatan awam. 
 
Dr. Zulkifilie sebelum ini telah memegang portfolio Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM bermula 15 November 2018 dan menamatkan tugas tersebut pada 30 September 2020 yang lalu.
 
Dari perspektif akademik, Dr Zulkifilie memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian pada tahun 1989 dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan perjalanan akademik beliau diteruskan dengan jayanya di kemuncak apabila beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah di Liverpool John Moores University, United Kingdom dalam bidang Power Electronics and Drives pada tahun 1999.
 
Dalam konteks kerjaya beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang industri yang mana beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Piawaian Perindustrian Malaysia (SIRIM) dari tahun 1991 sehingga 2006. 
 
Seterusnya beliau memulakan kerjaya di UTeM pada 2007 sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTeM manakala bagi tahun 2008 hingga 2009 pula beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik) seterusnya beliau memegang tampuk kepimpinan FKE sebagai Dekan dari tahun 2010 hingga 2014.
 
Berdasarkan reputasi dan kecemerlangan, beliau seterusnya diberikan kepercayaan bagi memacu pentadbiran sebagai Dekan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UTeM pada tahun 2016 sehinggalah beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM.
 
Kepimpinan beliau sebagai Dekan PPS UTeM terus memberikan impak dalam meneraju serta memajukan PPS sebagai Pusat Pengajian yang maju dan berdaya saing dalam konteks pembangunan pengajian siswazah yang merangkumi pelbagai cabang pengajian seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengurusan teknologi.
 
Kejayaan beliau turut terukir cemerlang dalam konteks pentas penyelidikan dan inovasi UTeM di peringkat nasional dan antarabangsa apabila beliau dan UTeM telah meraih dan menjayakan beberapa geran berprofil tinggi berimpak global dari KPT dan seluruh dunia.
 
Di samping itu beliau turut berjaya mengkomersialkan produk hasil rekaan beliau seperti e-Jari Biometrics Access System kepada SIRIM Berhad dengan nilai RM850,000 bagi kegunaan SIRIM serta sebuah produk beliau lagi adalah Fuel Saver e Fast bagi tujuan kegunaan ramai dalam usaha penjimatan petrol dan peningkatan prestasi enjin kenderaan.
 
Bintang beliau terus bersinar apabila pernah memengangi lebih dari 10 Anugerah Inovasi dan Penyelidikan peringkat antarabangsa termasuklah Anugerah Inovasi Jabatan Perkhidmatan Awam yang mana beliau berjaya merangkul Anugerah Penyelidik Terbaik sebelum ini.
 
UTeM turut mengambil peluang merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad di atas sumbangan beliau sepanjang berkhidmat dengan UTeM.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!