i@UTeM
UTeM Mail
Wednesday, 02 December 2020

Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dilantik sebagai Canselor UTeM yang ketiga

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang ketiga.
 
Pelantikan beliau itu adalah bagi menggantikan Canselor UTeM sebelumnya yang merupakan bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob.
 
Beliau telah dilantik sebagai Canselor UTeM oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuatkuasa selama 4 tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024.
 
Tun Mohd Ali yang merupakan anak jati Bukit Katil, Melaka telah dilahirkan pada 24 Ogos 1949 merupakan graduan Sarjana Muda Kemasyarakatan (Pembangunan Ekonomi), Universiti Sains Malaysia (USM) 1984 dan Sarjana Sastera, Universiti Malaya pada tahun 2013.
 
Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang ketujuh pada 4 Jun 2020 lalu manakala sebelumnya menabur bakti sebagai Ketua Menteri Melaka dari 1999 hingga 2013.
 
Sumbangan besar beliau terbukti sebagai individu yang membangunkan negeri Melaka dalam pelbagai aspek termasuklah meletakkan negeri ini sebagai antara destinasi pelancongan terkenal dunia.
 
Sebelumnya antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Menteri Pengangkutan pada tahun 1995 hingga 1998 dan Timbalan Menteri Kesihatan dari tahun 1998 hingga 1999 di peringkat kerajaan persekutuan.
 
Tun Mohd Ali turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan awam dan memulakan kerjaya awal sebagai Pegawai Kerani di Tenaga Nasional (TNB) dari 1969-1979, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Kemas Kedah pada 1979-1980.
Berkat komitmennya dalam tugas yang baik, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kemas Perlis selama setahun dari 1980 hingga1981.
 
Pemakluman pelantikan Canselor baharu UTeM ini telah disampaikan oleh barisan pihak pengurusan tertinggi UTeM yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Academician Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim di Pejabat TYT Melaka, hari ini.
 
Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Nurulfajar Abd Manap, Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat serta Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), Fazidah Ithnin.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!