i@UTeM
UTeM Mail
Wednesday, 02 December 2020

UTeM Iktiraf Sumbangan Ahli Akademik Terhadap Pembangunan Akademia, Industri serta Komuniti Negara dan Dunia

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengiktiraf pencapaian dan sumbangan yang telah dicapai oleh kakitangan akademiknya menerusi majlis Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2019.
 
AAU 2019 UTeM merupakan acara tahunan yang terus diadakan dan pada kali ini berkonsep norma baharu berlangsung di Dewan Auditorium Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
 
AAU 2019 merupakan program kemuncak yang mengiktiraf pencapaian dan sumbangan ahli akademik UTeM dalam pelbagai bidang, bukan sahaja dalam akademik dan penyelidikan semata-mata malah turut meliputi sumbangan terhadap pembangunan masyarakat dan negara.
 
Antara yang telah berjaya pada kali ini adalah Prof. Madya Dr. Rozaimi Ghazali (Anugerah Akademik Harapan); Dr. Zakiah Abdl Halim (Anugerah Pengajaran); Profesor Dr Ghazali Omar (Anugerah Penyelidikan); Prof Dr. Zahriladha Zakaria (Anugerah Penghasilan Makalah Jurnal) dan Prof Madya Ir Ts Dr Mohd Shukor Salleh (Anugerah Kualiti Makalah Jurnal).
 
Turut menerima anugerah adalah Prof Madya Dr Azma Putra (Anugerah Inovasi ePembelajaran) dan Kumpulan C2L dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Anugerah Khas Kumpulan).
 
Kesemua penerima dipilih berdasarkan kepada sumbangan terhadap pembangunan akademik khususnya dalam meningkatkan kecemerlangan bidang pengajaran, penyelidikan, penerbitan, inovasi, pengkomersialan serta sumbangan kepada masyarakat.
 
Kesemua penerima anugerah tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000 selain sijil penghargaan dan plak.
 
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, program itu diadakan bagi membolehkan universiti itu membentuk dan membudayakan ekosistem akademik agar lebih segar dan dinamik.
 
Katanya, saya amat yakin, UTeM sebagai sebuah universiti teknikal, mempunyai potensi yang amat besar untuk menggungguli bidang pendidikan tinggi teknikal atau TVET, di samping menjadi hub rujukan utama bagi kesejahteraan masyarakat, dan pembangunan industri serta negara.
 
“Sepertimana yang selalu saya kongsikan sebelum ini, hasrat universiti ini adalah untuk melahirkan lebih ramai ilmuan teknologi ataupun technology scholars yang berupaya menjadi penyumbang solusi atau solution providers yang dapat melengkapi ekosistem akademia, industri dan masyarakat, yang akhirnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara kita.
 
“Selain itu, sasaran universiti dalam merealisasikan agenda Seven Strategic Goals 2021 - 2025, pencapaian yang lebih cemerlang dalam MyRA, SETARA, QS Ranking dan Times Higher Education di samping pengukuhan aspek pengurusan dan pengoperasian universiti yang lebih cekap dan efisyen, memerlukan penglibatan yang lebih inklusif dari semua warga Universiti,” katanya lagi ketika berucap pada majlis tersebut.
 
Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga Utem khususnya ahli akademik yang memainkan peranan penting dan memberi sumbangan terbaik dalam aspek akademik, penyelidikan, pembangunan bakat insan cemerlang dan sebagainya,” katanya.
 
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof. Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap serta pengurusan tertinggi UTeM.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!