i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 11 May 2021

Sekumpulan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dikenali sebagai kumpuan IEEE Cawangan UTeM telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila merangkul kedudukan naib johan dalam Pertandingan Membina Laman Sesawang Pelajar Global IEEE 2020, baru-baru ini.
 
Pertandingan ini merupakan anjuran Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) MGA Student Activities Committee yang bertujuan untuk mendedah dan mempromosikan laman web pelajar yang mampu memberi maklumat mengenai aktiviti, maklumat teknologi terkini, peluang belajar dan faedah-faedah IEEE.
 
Ianya juga merangkumi usaha kreativiti yang turut berobjektif bagi memudahkan pelajar dalam cawangan IEEE memperoleh maklumat.
 
Pertandingan ini telah mendapat penyertaan hebat lebih 25 pasukan daripada kalangan kumpulan mahasiswa institusi pengajian tinggi dari seluruh dunia dari 10 kawasan wilayah masing-masing. 
 
Kejayaan kumpulan IEEE Cawangan UTeM ini telah melayakkan mereka menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak 500 US Dollar bersama dengan sijil penghargaan atas kemenangan tersebut.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim gembira dengan perkembangan ini bilamana pensyarah dan pelajarnya berjaya mengaplikasikan ilmu dan kepakaran di pentas antarabangsa.
 
Katanya, pencapaian ini menggambarkan bahawa UTeM terus menyemarakkan budaya pembelajaran efektif serta penyuntikan konsep kreativiti dan inovasi yang diserapkan dalam kalangan pelajarnya.
 
Beliau berharap agar kumpulan pensyarah dan mahasiswa UTeM terus menyerlah jauh dalam pelbagai bidang lagi sekaligus menjulang nama universiti dan negara di pentas dunia.
 
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTeM yang merupakan penyelia kumpulan IEEE Cawangan UTeM, Prof Madya Dr Chong Shin Horng berkata, mereka telah mengambil masa sekurang-kurang 2 bulan untuk membina laman sesawang  IEEE Cawangan UTeM ini.
 
Jelasnya, bermula daripada peringkat pemohonan seterusnya proses menambah, menyusun serta mengemaskini maklumat dalam laman sesawang serta pelbagai cabaran dilalui bagi memastikan laman sesawang kami menjadi lebih informatif, menarik dan menjadi perhatian dunia.  
 
Katanya, mereka bersyukur kerana hasil kerja mereka mendapat tempat di hati barisan juri apabila kesemua kriteria yang merangkumi 6 kategori iaitu kandungan, kemampuan navigasi, keaslian, persembahan keseluruhan, kemudahalihan dan masa muat berjaya dipenuhi oleh mereka.
 
Pasukan IEEE Cawangan UTeM dianggotai seramai 4 orang pelajar UTeM iaitu 3 orang pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan kepujian iaitu Woo Xiu Juan, Ng Chi Yuan dan Yeap Sheng Yi manakala seorang lagi adalah Vikneswaran A/L Rajandaran yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan kepujian.
 
“Pengalaman dalam pertandingan ini amat berharga buat mereka bilamana bukan setakat kecekapan dalam menyediakan laman sesawang sahaja diuji malah medan ini membolehkan kita mengukur sejauhmana kemampuan dan keupayaan kami bersaing di pentas antarabangsa.
 
“Kami berharap apa yang telah dibangunkan ini menjadi salah satu platform yang terbaik untuk pelajar mendapatkan informasi dan pengalaman berkaitan teknologi terkini serta kemahiran insaniah yang berkaitan,” ujarnya lagi.
 
Secara umumnya juara bagi pertandingan ini telah dimenangi oleh mahasiswa dari Pueruana Cayetano Heredia University, Peru manakala 2 pasukan yang memenangi tempat ketiga dan keempat pula dimenangi mahasiswa dari Universidade do Porto, Portugal dan UPIITA, Mexico.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dikenali sebagai universiti awam teknikal berprestij di rantau ini dan terus bersinar dalam menghasilkan graduan berkompetensi tinggi memenuhi keperluan semasa majikan dunia.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM turut menjadi medan mencorak kecemerlangan seseorang mahasiswa mengukir kejayaan berganda bukan hanya dalam akademik malahan berkemahiran tinggi serta mudah ke peringkat pengajian seterusnya.  
 
Jelas beliau, persekitaran kondusif yang terdapat di UTeM antara faktor yang menjadikan mahasiswa universiti ini terus bersemangat dalam mengikuti pengajian secara lebih efektif.
 
Antara graduan UTeM yang ingin berkongsi kejayaan yang telah beliau kecapi di universiti ini adalah Amardeep Singh Dhillon A/L Gurdir Singh yang mana beliau pada peringkat awal menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cemerlang yang hanya berbekalkan 2A sahaja.
 
Seterusnya beliau menyambung pengajian di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) dan mendapat peluang melanjutkan pengajian di UTeM yang terus membuka lembaran baru yang lebih bersinar buat beliau.
 
Dengan kesedaran dan ingin berubah lebih maju maka beliau mula mengorak langkah dan mencorak cita-cita ingin cemerlang dalam pengajian beliau dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) dengan kepujian.
 
Katanya, persekitaran pengajian di UTeM yang kondusif dan sentiasa memudahkan  beliau mengikuti sesi perkuliahan di samping praktikal dengan menggunakan peralatan canggih fasiliti makmal berteknologi tinggi.
 
Ujarnya, barisan pensyarah yang berpengalaman luas dalam bidang industri serta banyak membantu antara faktor yang turut mengasah beliau menjadi penuntut yang lengkap dengan kepakaran dalam bidang teknologi kejuruteraan eletronik ini.
 
“Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh pengajian saya di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UTeM membuahkan hasil yang membanggakan apabila berjaya bergraduat dengan keputusan ijazah kelas pertama dan melayakkan beliau menerima Anugerah Naib Canselor sewaktu konvokesyen tahun 2019 lalu.
 
Berbekalkan kejayaan cemerlang Ijazah Sarjana Muda kelas pertama di UTeM itu terus melayakkan beliau mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah bidang Kejuruteraan Sistem Elektrik dan Komputer di Universiti Monash Malaysia tanpa perlu melengkapkan program Ijazah Sarjana terlebih dahulu.
 
Mengimbas kembali perjalanan masa lalu, Amardeep Singh Dhillon pernah merasakan bahawa masa depannya suram bila memikirkan bahawa keputusan SPM beliau yang tidak cemerlang.
 
Namun kini beliau gembira walau hanya keputusan 2A di peringkat SPM kini beliau sedang mengikuti pengajian peringkat tertinggi apatah pula menerusi program Fast Track PhD yang menjadi idaman ramai dalam kalangan graduan.
 
“Saya berada pada hari ini kerana keluarga saya yang mana ketika berusia 7 tahun, ayah saya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang teruk lalu hanya terbaring di katil dan tidak berdaya.  
 
“Kami sekeluarga menempuh situasi yang amat sukar setelah kejadian itu di samping  saling menyokong antara satu sama lain, ibulah tempat bergantung dan mendorong saya hingga berjaya dan saya hadiahkan kejayaan ini buat ibu dan ayah,” ujarnya
 
Dia menambah bahawa jika anda pernah menghadapi situasi atau nasib yang tidak menguntungkan maka janganlah berdiam diri tetapi anda harus bangun mencipta tekad, azam dan impian dan kejarlah ia sehingga berjaya.
 
Sekali lagi beliau menyatakan bahawa mendapat keputusan yang tidak cemerlang di peringkat awal bukanlah menjadi penentu kepada segala tetapi apa yang anda lakukan selepas itu di samping kerja keras dengan penuh dedikasi akan membuka lembaran kejayaan berganda buat menyinari masa depan.
 
Sekiranya anda merasa kecewa, Amardeep menasihatkan agar anda berhenti sejenak dan kaji di mana kesilapan itu dan perbaikilah ia agar kesilapan yang sama tidak diulangi pada masa akan datang.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dan bersinar dalam arena penyelidikan dan inovasi peringkat nasional dan global apabila telah berjaya menerima geran penyelidikan sebanyak lebih daripada RM 5 juta, baru-baru ini.
 
Kejayaan terbaru UTeM memperolehi geran penyelidikan ini menerusi Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Geran Padanan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dan New Car Assessment Program for Southeast Asia Countries (ASEAN NCAP).
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM telah berjaya memperolehi geran FRGS dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berjumlah RM 4.6 juta merangkumi 50 topik penyelidikan.
 
Jelas beliau, ini merupakan kejayaan besar apabila lebih 44% permohonan daripada 113 permohonan yang asal telah berjaya mendapat geran ini merangkumi beberapa domain utama penyelidikan.
 
Katanya, domain penyelidikan yang berjaya adalah terdiri daripada 17 topik bagi penyelidikan elektrik dan elektronik, 15 topik mekanikal dan pembuatan, 5 topik tenaga & teknologi hijau, 3 topik insfrastruktur dan pengangkutan dan 2 topik kepintaran buatan.
 
“Sementara itu 1 topik penyelidikan bagi setiap sub domain seperti psikologi, fizik, data, matematik dan statistik, pengkomputeran dan komunikasi termaju.,” ujarnya lagi.
 
Dr Raha berkata, pihak UTeM turut berjaya menerima geran penyelidikan yang dikenali sebagai Geran Padanan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia yang berjumlah sebanyak RM 460,000.00 merangkumi 3 topik penyelidikan dengan kolaborasi industri.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan bahawa penyelidik UTeM diiktiraf di peringkat dunia apabila mereka telah berjaya memperolehi geranan penyelidikan bagi New Car Assessment Program for Southeast Asia Countries atau Asean NCAP.
 
Ujar beliau, geran penyelidikan bagi Asean NCAP ini berjumlah RM 119,424.00 merangkumi 7 topik penyelidikan berimpak dalam kluster ini sekaligus memberi impak langsung kepada semua.

Kepakaran penyelidikan dan inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diperakui dunia apabila Reruai Saringan Covid 19 yang dibangunkan oleh penyelidik universiti ini telah memenangi pingat emas dan anugerah khas di Malaysia Technology Expo (MTE) 2020, baru-baru ini.
 
MTE 2020, Edisi Khas, Anugerah Inovasi Antarabangsa Covid 19 yang telah diadakan secara atas talian pada 30 September sehingga 2 November 2020.
 
Ianya bertujuan bagi menghargai dan meraikan semua inovasi sebagai respon terhadap pandemik Covid 19 merangkumi pelbagai kategori yang berperanan dalam usaha tindak balas dan pemulihan di peringkat global.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini menggambarkan peranan UTeM bersama dengan kominiti dalam negara dan peringkat dunia bersama mengekang pandemik ini.
 
Jelas beliau, produk ini bertujuan kegunaan para doktor untuk menyaring pesakit yg disyaki dijangkiti Covid 19di Hospital Melaka.
 
Katanya, reruai ini dapat mengurangkan beban doktor di samping selamat digunakan kerana ianya dilengkapi dengan penapis ULPA yang dipercayai mempunyai tahap kefisienan tinggi menapis zarah bersize 0.12 micron.
 
Katanya, reruai ini dilengkapi dengan mikrofon tanpa wayar untuk komunikasi antara doktor dan pesakit serta turut dilengkapi dengan lampu dan penghawa dingin untuk keselesaan doktor menjalankan tugas.
 
“Projek ini dibangunkan oleh UTeM dengan kerjasama rakan industri, AFA Technologies Sdn. Bhd. dan ALPRO Engineering Sdn. Bhd. dengan nasihat dari Hospital Melaka dan pembangunan reruai ini telah mengambil masa selama 3 bulan,”ujarnya lagi.
 
Projek ini dibangunkan oleh penyelidik UTeM yang diketuai Pengarah Pusat Hubungan Industri UTeM, Profesor Madya Dr Kok Swee Leong dan Prof. Dr Zahriladha Zakaria.
 
Menariknya di samping memenangi pingat emas, produk ini turut diiktiraf apbila turut terpilih bagi menerima anugerah Anugerah Khas (Euro Haller Business Award).
 
Dr Raha berkata, Satu lagi produk UTeM yang turut menyertai MTE 2020 adalah pelindung muka yang yang dikenali sebagai UTeM Face Shield yang dihasilkan sendiri di makmal Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembutan (FTKMP), UTeM.
 
Projek penghasilan produk UTeM Face Shield ini diketuai oleh Prof Madya Ir Dr Mohd Yuhazri Yaakob berjaya memenangi Anugerah Merit pada penyertaannya di MTE 2020 ini.

Sekumpulan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dikenali sebagai TUAH FKEKK bangga apabila satelit yang dibangunkan mereka telah berjaya merangkul kemenangan berganda dalam Malaysia SiswaSAT Competition2020.
 
Kejayaan berganda itu adalah apabila TUAH FKEEK, UTeM berjaya merangkul tempat ketiga secara keseluruhan pertandingan dan turut memenangi kategori Kerjasama Pasukan Terbaik.
 
Kedua-dua kejayaan tersebut melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,500.00 yang mana RM3,000.00 bagi hadiah ketiga manakala RM 500.00 bagi Kerjasama Pasukan Terbaik.
 
Di samping itu, mereka turut menerima Sijil Pertandingan Kebangsaan Rekabentuk dan Pembangunan Model Nano Satelit Peringkat Siswazah (SiswaSAT) 2020.
 
Pengumuman keputusan pertandingan ini telah diumumkan pada 23 Oktober lalu yang mana pertandingan ini telah bermula sejak 9 Mac sehingga 16 Oktober 2020 dianjurkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim gembira dengan perkembangan ini bilamana pensyarah dan pelajarnya berjaya mengaplikasikan ilmu dan kepakaran di pentas nasional.
 
Katanya, pencapaian ini menggambarkan bahawa UTeM terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi secara berterusan di segenap peringkat akar umbi dari kalangan pensyarah dan juga pelajarnya.
 
Beliau berharap agar kumpulan pensyarah dan mahasiswa UTeM terus menyerlah jauh dalam arena penyelidikan dan inovasi bukan hanya di peringkat nasional malahan di mata dunia sekaligus memberikan sumbangan impak kepada komuniti global.
 
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), UTeM yang merupakan penyelia kumpulan TUAH FKEKK, Siti Aisyah Anas berkata, mereka telah harungi cabaran dalam pertandingan ini selama berbulan-bulan dalam membangunakan satelit mereka yang dikenali sebagai ‘TUAHSAT’.
 
Jelasnya, cabaran dilalui sejak dari peringkat awal merekabentuk model satelit berskala nano dengan sistem operasi seperti satelit sebenar yang digunakan di angkasa lepas.
 
Pasukan TUAH FKEKK dianggotai seramai 6 orang pelajar tahun kedua dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian iaitu Muhammad Safie Sijamsir, Syafiq Abdul Halim, Muhammad Izzat Haziq Osman, Siti Nur Syafiqah Mohamed Kamar, Muhamad Amirul Amin Wira  dan Muhd Sabri Abdul Rahman..
 
“Pengalaman dalam pertandingan ini amat berharga buat mereka bilamana bukan setakat kepakaran teknikal sahaja yang diuji malah mereka turut dinilai dalam aspek penyediaan dokumen lengkap pembentangan kajian secara terperinci.
 
“Kami bersyukur dengan kejayan ini namun kami akan terus berusaha untuk tingkatkan kepakaran serta ilmu dalam bidang teknikal ini seterusnya menyasarkan untuk beraksi cemerlang di pentas dunia pula pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
 
SiswaSAT 2020 mengenengahkan sebanyak 22 pasukan dari kalangan rangkaian institusi pengajian tinggi dari seluruh negara dalam pembinaan model satelit berskala nano yang boleh beroperasi seperti satelit sebenar.

Page 10 of 99


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!