i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 11 May 2021

Pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Profesor Ir. Dr. Puvanasvaran A/L A. Perumal telah dianugerahkan “Productivity Champion 2020” daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 24 November 2020 lalu.
 
Anugerah ini telah disampaikan sempena dengan Hari Produktiviti Bersama Productivity Champions dan Rakan Kolaborasi di kalangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang diadakan secara atas talian pada 24 November 2020 lalu.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim menyatakan anugerah ini adalah satu pengiktirafan yang jelas menggambarkan kakitangan UTeM bersama menyumbang dan memberi impak besar kepada produktiviti perindustrian negara.
 
Jelas beliau, sebagai institusi kecemerlangan ilmu sudah tentulah kami turut sama berperanan besar dalam merancakkan pembangunan dan hubungan strategik rangkaian perindustrian negara serta komuniti.  
 
“Ini adalah selari dengan pegangan kami iaitu Technology at University Advancing Industry and Community atau lebih dikenali sebagai TUNAI dalam kalangan warga UTeM,” ujarnya sewaktu memberi kenyataan baru-baru ini.
 
Sementara itu Dr. Puvanasvaran berkata, antara kriteria yang melayakkan beliau menerima anugerah tersebut antaranya adalah sumbangan meningkatkan produktiviti industri pembuatan dalam negara menerusi kajian dan kolabrasi bersama industri antaranya seperti CTRM Aerocomposit Melaka, Syarikat Air Melaka Berhad, Autokin Sdn Bhd (Shah Alam), MARUWA Electronic Sdn Bhd, Infineon, Autokeen Sdn. Bhd dan Ideaspark Sdn.Bhd.  
 
Ujarnya, beliau bekerjasama rapat bersama pihak MPC dalam membangunkan serta memberi pandangan terhadap modul-modul untuk peningkatan produktiviti bagi para pengamal jurutera muda lepasan universiti.
 
“Di samping itu saya juga telah menerbitkan beberapa buah buku berkaitan dengan pembangunan ilmiah bagi membantu para pengamal jurutera untuk meningkatkan kefahaman mereka berkenaan alatan dan teknik yang bersesuaian digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh setiap industri di Malaysia,” ujarnya.
 
Mengulas lanjut memberi khidmat konsultasi dan perundingan yang berhubung kait dalam menyelesaikan masalah pembuatan produk dan pelaksanaan menggunakan alatan dan teknik yang bersesuaian. 
 
Productivity Champion ini adalah inisiatif MPC untuk memberi pengiktirafan kepada individu-individu yang secara aktif memacu agenda peningkatan produktiviti selari  di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020 yang berperanan untuk membangunkan pakar-pakar industri yang kompeten dan warga industri yang berkemahiran serta berinovasi tinggi.
 
Pengiktirafan kepada Productivity Champion ini  telah diperkenalkan mengikut kriteria dan penilaian oleh Sekretariat Majlis Produktiviti Negara (NPC) dan majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah MPC, Dato' Abdul Latif Haji Abu Seman.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melonjak naik kedudukan dalam senarai universiti terbaik Asia menurut laporan Quacquarelli Symonds (QS) yang mengumumkan senarai universiti terbaik di Asia, semalam.
 
Ianya adalah berdasarkan kriteria bertaraf dunia yang telah ditetapkan dalam QS World University Rankings: Asia 2021.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, berdasarkan laporan tersebut UTeM telah meningkatkan kedudukannya dalam kalangan 60 peratus teratas di kalangan universiti terbaik Asia.
 
Jelas beliau, ini merupakan tahun kedua UTeM menyertai senarai penarafan tersebut dan perkembangan pencapaian ini agak memberangsangkan.
 
Katanya, kedudukan terbaru ini mencatatkan bahawa universiti teknikal berprestij ini telah melonjakkan kedudukan pada tahap baru iaitu pada kedudukan 401-450 berbanding sebelumnya pada kedudukan 451-500.
 
“Penarafan QS ini menilai 11 komponen utama bagi sesebuah universiti meliputi aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, sitasi, pengantarabangsaan serta reputasi,” ujar beliau sewaktu memberi kenyataan semalam.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan UTeM bertekad untuk terus menyerlah dan menambahbaik kedudukan ini pada tahun mendatang walaupun dalam persekitaran global yang dipengaruhi pasca Covid 19.
 
“Ini adalah cabaran yang sedia kami galas demi memartabatkan UTeM di mata dunia selari dengan visinya iaitu menjadi universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia,” ujarnya.
 
Dr Raha menyatakan selari dengan persiapan komprehensif mendepani cabaran mendatang kami telah merangka beberapa inisiatif berimpak mencakupi segenap elemen termasuklah memperhebatkan pengisian dan penzahiran pelan strategik mampan universiti ini.

Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencapai kemenangan besar apabila berjaya merangkul tujuh belas pingat di 31st International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2020) versi atas talian.
 
ITEX 2020 ini merupakan anjuran Concept, Innovative & Strategy (C.I.S) Network Sdn. Bhd. dengan kerjasama Malaysian Invention & Design Society (MINDS) telah berlangsung secara atas talian bermula dari 12 hingga 21 November 2020 menerusi penjurian penuh berdasarkan pembentangan melalui video.
 
Pertandingan ini telah disertai oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari dalam negara serta membabitkan institusi pendidikan dari seluruh dunia melibatkan lebih 500 produk inovasi dipertandingkan.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM memperolehi kejayaan besar apabila kesemua tujuh belas penyertaannya telah merangkul pingat sekaligus memberi kemenangan total.
 
Jelas beliau, daripada tujuh belas pingat yang telah dimenangi, UTeM telah berjaya merangkul 10 pingat emas, 4 pingat perak dan 3 pingat gangsa sekaligus memberi gambaran hasil inovasi universiti ini terus diiktiraf di peringkat antarabangsa. 
 
Katanya, selari itu UTeM menetapkan penyertaan bagi penyelidikan yang berkualiti dan memberi fokus kepada kumpulan produk inovasi yang memberikan impak kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan konsep TUNAI iaitu Technology at University Advancing Industry and Community.
 
“Konsep penyertaan UTeM juga mengetengahkan produk yang dapat melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi nasional,” katanya.
 
Pada ITEX 2020 versi atas talian ini, 10 pingat emas yang dimenangi UTeM antaranya menerusi produk Removal Of Carbon Deposit Build Using HHO Engine diketuai oleh Prof. Dr. Noreffendy Tamaldin, Fault Diagnosis With Convolutional Neural Network diketuai oleh Dr. Amat Amir Basari dan 3 Dimensional 4h-Sic Mosfet (FINFET) diketuai Dr. Muhammad Idzdihar Idris.
 
A New Design Of Progressive Drill Reamer diketuai Prof. Madya Dr. Shukor Salleh,  Eco EDM Dielectric Fluid For Coating Purpose diketuai Prof. Madya Dr. Liew Pay Jun dan Ecoglow Tiles diketuai Dr. Mohd Sanusi Abdul Aziz. 
 
Empat produk lagi adalah A Smart Postural Angle Classification System diketuai Dr. Isa Halim, Individual Blended Learning Achievement Indicator diketuai Dr. Zurina Sa’aya,  Smart Portable Electrical Socket Wireless Bio-Cont diketuai Shamsul Fakhar Abd Gani dan Fish Deboning Machine For Butterfly Fillet diketuai Nurul Kausar Ab Majid. 
 
Empat produk inovasi UTeM yang telah berjaya mendapat pingat perak pula adalah
Optimized Cutting Tool For Composite Mat (OPT4COM), Organic Plastic Alternative (OPA),  Tuah Parcel Dropbox dan Myfeeling.
 
Sementara itu, 3 pingat gangsa pula diraih oleh produk inovasi Malaysian Sign Language Data Glove, Smart Reverse Vending Machine With Iot serta Learning Kit for Electronic Engineering.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mencipta sejarah baru apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Kejohanan sulung eSport Uni League 2020 apabila berjaya mendahului saingan hebat daripada 67 institusi pengajian tinggi lain.
 
Kejohanan ini merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan UTeM selaku tuan rumah bagi penganjuran kali ini.
 
Kejohanan ini telah bermula dari 30 Oktober dan berlangsung selama 3 minggu bagi pusingan awal, manakala perlawananan Grand Final berlangsung pada 21 hingga 22 November 2020 lalu melibatkan 7 acara dipertandingkan iaitu Arena of Valor (AOV), Mobile Legend Bang Bang (MLBB), DOTA 2, Player Unknown Battleground (PUBG Mobile), FIFA2020, PES 2020 dan Honor of King (HOK).
 
Semua acara dipertandingkan secara dalam talian bagi mematuhi keperluan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapka oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan penularan dan jangkitan wabak Covid-19.
 
Pasukan UTeM merangkul juara keseluruhan Kejohanan eSport Uni League- 2020 dan membawa pulang piala pusingan kejohanan di samping 3 kejayaan lain iaitu juara bagi acara AOV, tempat ketiga bagi acara HOK dan tempat keempat bagi acara PUBG Mobile.
 
Selaku juara bagi kategori AOV melayakkan pasukan UTeM membawa pulang wang tunai RM 3,000.00 bersama pingat manakala bagi kedudukan tempat ketiga pula melayakkan mereka menerima wang tunai RM1,000.00 bersama pingat dan tempat keempat pula turut memberikan hasil wang tunai RM 500.00 bersama pingat.
 
Bagi kategori AOV dianggotai oleh 5 orang mahasiswa UTeM yang terdiri Muhammad Ilyas Azahir, Wan Muhammad Firdaus Abdul Latip, Faisal Hakim Mohd Suhaidi, Muhammad Firdaus Azman dan Muhammad Ezzat Ainuddin Mohd Hussin.
 
Sementara itu bagi kategori HOK pula adalah terdiri daripada Simon Teo Yip Quan, Lee Zher Ye, Yee Yen Hoe, Chuan Chuan You, Lee Mun Heng dan Loh Ee Hong manakala bagi kategori PUBG Mobile terdiri daripada Ariz Mustaffar, Muhammad
Shamil Shaiful, Muhamad Haziq Haikal Kamarudin, Danial Irfan Abd Halim dan Wan Ashraf Idham Wan Abdullah.
 
Pasukan kontinjen UTeM telah diuruskan dengan baik yang diketuai oleh Pengarah Pusat Sukan UTeM, Prof Madya Dr. Mohd Sanusi Azmi dan dibantu oleh Pegawai Belia dan Sukan Kanan, UTeM, Siti Sarah Bujang.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini menyerlahkan kecemerlangan mahasiswa universiti ini yang dikenali sebagai TUAH UTeM dalam arena sukan era masa kini yang telah mula mendapat perhatian ramai dalam dan luar negara.
 
Katanya, Kejohanan E Sukan Uni League 2020 ini juga turut menjadi medan terbaik bagi mahasiswa memulakan langkah pertama ke dunia e sukan pada tahap yang lebih tinggi atau profesional.
 
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap menyatakan kejohanan ini telah berjaya memupuk semangat kesukanan era baharu.
 
Beliau berharap kejohanan sebegini terus berjaya mencapai objektif yang dihasratkan dan dapat mencari seterusnya membentuk barisan pelapis pemain di peringkat universiti bagi mewakili negara di Kejohanan Sukan Universiti Asean nanti.
 
Secara umumnya, naib juara keseluruhan Kejohanan eSport Uni League 2020 adalah menjadi milik Universiti Malaysia Pahang (UMP) manakala tempat ketiga pula telah dimenangi Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR).

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengiktiraf dan menghargai kakitangannya yang menyumbang kepada pembangunan sukan menerusi Anugerah Sukan Staf yang diadakan bertempat di Bangunan Canselori UTeM, Durian Tunggal pada 4 November 2020 lalu.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, Anugerah Sukan Staf merupakan medan pengiktirafan kepada staf UTeM yang telah bergiat aktif dan mencapai kejayaan dalam aktiviti sukan yang disertai serta melonjakkan nama UTeM di persada sukan peringkat nasional dan antarabangsa.
Jelas beliau, sebanyak 8 kategori telah dipertandingkan pada acara tersebut iaitu Anugerah Olahragawan, Anugerah Olahragawati, Anugerah Atlet Harapan, Anugerah Pasukan Cemerlang, Anugerah Pasukan Harapan, Anugerah Pengurus Cemerlang, Anugerah Kelab Kecemerlangan dan Anugerah Penggiat Sukan.
 
Katanya, anugerah ini yang dianjurkan oleh Pusat Sukan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar selaras dengan matlamat universiti bagi membentuk warga UTeM yang sihat dan produktif serta mengaplikasikan konsep 1 Staf 1 Sukan yang dipupuk kepada staf UTeM.
 
"Program ini juga turut membuka peluang kepada staf untuk bersaing secara sihat dan terlibat secara langusng dalam aktiviti pembangunan sukan staf bagi melahirkan insan yang seimbang dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawan, inovasi, keusahawanan, pengucapan awam dan juga pelbagai lagi," ujarnya lagi.
 
Menerusi program ini menyaksikan Azhar Ab Aziz merangkul Anugerah Olahragawan dan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM500.00 bersama piala dan sjil penghargaan manakala Anugerah Olahragawati pula dirangkul oleh Radhiah Abd Rahman dengan hadiah kemenangan yang sama.
 
Pada majlis yang sama, Anugerah Atlet Harapan telah dimenangi oleh Mohamad Haniff Harun manakala Anugerah Pasukan Cemerlang pula telah dirangkul oleh Pasukan Bola Sepak Veteran.
 
Sementara itu, bagi Anugerah Pasukan Harapan telah menjadi milik kumpulan olahraga (kuartet 4x100 meter) manakala Anugerah Kelab Cemerlang telah dimenangi oleh kumpulan berbasikal.
 
Bagi kategori Anugerah Pengurus Cemerlang pula menjadi milik Mohd Zaki Abu bakar (petanque) manakala Anugerah Penggiat Sukan pula telah dimenangi oleh Zainal Bidin yang mana para pemenang tersebut membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM400.00 di samping piala dan sijil penghargaan

Page 9 of 99


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!