i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 11 May 2021

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mencatatkan kejayaan terbaru apabila berjaya melonjakkan kedudukannya di tangga 109 UI GreenMetric World University Ranking on Sustainability 2020 (UIGM).
 
Kedudukan semasa UTeM ini adalah merupakan laporan terbaru yang dikeluarkan pihak UIGM baru-baru ini lalu meletakkan UTeM pada kedudukan 109 daripada 912 universiti di seluruh dunia.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM terus menyerlah pada kedudukan 109 pada bagi tahun 2020 ini sekaligus menzahirkan peningkatan dari tangga 114 pada tahun 2019 lepas.
 
Jelas beliau, keputusan ini merupakan peningkatan secara berterusan UTeM bagi 5 tahun berturut-turut yang mana UTeM menyertai UIGM ini pada tahun 2016 pada kedudukan 269, 2017 pada kedudukan 170 dan 2018 pada kedudukan 148.
 
Menurut Dr Raha, antara faktor pendorong ke arah peningkatan kedudukan ini menerusi sub kriteria kelestarian yang ditambahbaik dalam penilaian dan kriteria UIGM di samping sumbangan kolektif dengan aspirasi kampus lestari dari seluruh institusi dan fakulti di UTeM.
 
“Pencapaian terbaru ini dalam erti kata lain telah menempatkan UTeM dalam kalangan 10 universiti dalam negara yang terus komited melaksana dasar dan program mesra alam serta kampus lestari yang mampan.
 
“Di samping itu ianya juga menzahirkan keberhasilan perancangan dan pelaksanaan UTeM sekaligus mengharumkan nama UTeM dan negara di pentas dunia,” ujarnya lagi menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.
 
Sementara itu, Pengarah Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) UTeM, Profesor Madya Ts Juhari Ab Razak berkata, bagi meningkatkan lagi kedudukan selepas ini maka UTeM akan memberi lebih fokus aspek pengurusan air dan pengurusan sisa yang lebih bersepadu.
 
Katanya, aspek-aspek ini telah dikenalpasti dan ia memerlukan penggemblengan tenaga dan usaha semua pihak secara komprehensif agar misi ke arah menjadikan UTeM sebagai ikon kampus lestari rujukan dunia kesampaian.

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim telah diberi penghormatan menjadi panel bagi mewakili Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dalam forum di peringkat antarabangsa secara atas talian, baru-baru ini.
Forum berkisar kepimpinan wanita dalam pengajian tinggi antarabangsa ini merupakan anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
 
Dr. Raha menjelaskan ulasan beliau berkenaan forum tersebut adalah berhubung pandangan beliau mengenai strategi dan kaedah yang beliau aplikasikan untuk mengurus sebuah universiti teknikal yang berteraskan elemen utamanya kejuruteraan dan teknologi maklumat & komunikasi yang mana seperti diketahui umum majoritinya adalah golongan lelaki.
 
Beliau turut mengupas cabaran dan cara untuk mengatasi permasalahan sedia ada dan sebagai wanita pertama yang memegang teraju kepimpinan tertinggi sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal di Malaysia.
 
Tambah beliau, turut disentuh adalah perkongsian pendapat terhadap budaya dan fahaman orang terdahulu mengenai wanita yang kebiasaannya tidak seharusnya berkembang dan maju dan cara beliau mengatasi budaya dan fahaman tersebut sehingga beliau berada pada kedudukannya kini.
 
Mengulas lanjut dalam memberi ulasan berkaitan forum tersebut, beliau turut berkongsi mengenai hala tuju UTeM yang ingin dicapainya semasa di bawah payung pentadbiran beliau.
 
Forum tersebut telah berlangsung selama 2 jam yang mana ucapan pembukaan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
 
 
Forum itu turut disertai oleh 3 lagi ahli panel yang mewakili institusi pengajian tinggi negara masing-masing iaitu Presiden Ewha Womans University, Korea Selatan, Prof. Kim Heisook, Naib Canselor Massey University, New Zealand, Prof. Jan Thomas dan Presiden National Cheng Kung University, Taiwan, Prof. Huey-Jen Jenny Su manakala moderator adalah Penolong Naib Presiden dan Editor Kanan Astro Awani, Melisa Idris.

Kesemua produk inovasi dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya meraih pingat bagi penyertaan di eCarnival Research & Innovation (eCRI 2020).
 
Kejayaan ini membuahkan hasil UTeM membawa pulang 4 pingat iaitu 1 emas dan 3 perak pada eCRI 2020) anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang telah berlangsung dari 1 hingga 20 November 2020 lalu yang dilaksanakan secara atas talian.
 
Pertandingan ini telah disertai oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari dalam negara.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, mengikut rentak dan kesesuaian penganjuran maka bagi penyertaan ini UTeM hanya menghantar sebanyak 4 produk inovasi sahaja.
 
Jelasnya, namun UTeM tetap berpegang konsep bahawa setiap penyertaan mestilah dari kalangan produk yang berkualiti dan memberikan impak kepada masyarakat serta komuniti dunia.
 
“Justeru, berdasarkan keputusan ini terus menzahirkan kesemua produk inovasi UTeM adalah berpotensi dan terus diiktiraf dunia penyelidikan dan inovasi mampan ini,” ujarnya dalam kenyataan baru-baru ini.
 
Pada eCRI 2020 versi atas talian ini keempat-empat penyertaan UTeM adalah menerusi penyertaan dari kalangan penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).
 
Pingat emas telah dimenangi UTeM menerusi produk inovasi yang dikenali dengan nama Indung Madu Getah dan ketua penyelidiknya adalah Prof Madya Ir Dr Mohd Yuhazri Yaakob.
 
Sementara itu 3 produk inovasi yang telah memenangi pingat perak pula adalah An Optimization Tools of Refresh Rate Towards Dust Exposure of PA12 SLS Handling Process diketuai Amir Abdullah Muhamad Damanhuri.
 
Manakala 2 produk lagi adalah Water Quality Analysis Using Hydro Quality Survey Sensor diketuai Mohd Idain Fahmy Rosley dan HVAC Virtual Laboratory for Recirculation Air Conditioning System Training Unit Using Matlab / Simulink diketuai Mohd Faez Zainol.

Bersempena dengan kewujudan dan bersinarnya prestij Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah menjangkau 2 dekad usia, turut diadakan diadakan pelancaran Hari Alumni UTeM pada 1 Disember 2020 lalu.
 
Hari Alumni pada 1 Disember setiap tahun menjadi tarikh keramat buat semua kerana sama dengan tarikh penubuhan UTeM dan tema buat kali pertama ini adalah “Alumni Memperkasa Legasi UTeM”.
 
Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Prof Madya Ir Dr Md Nazri Othman berkata, antara pengisian Hari Alumni ini maka sebuah buku bertajuk “ Coretan Jiwa-Jiwa Alumni” (edisi 20 tahun UTeM) telah diterbitkan bagi menyantuni para alumni yang telah berjaya.
 
Jelasnya, buku ini memuatkan beberapa perkongsian tokoh alumni yang telah berjaya dalam segala lapangan serta turut dimuatkan berita bergambar aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh alumni bersama masyarakat dan jangkaan buku ini akan diterbitkan secara meluas pada tahun hadapan.
 
Katanya, antara pengisian lain turut diadakan sempena Hari Alumni adalah forum secara langsung menerusi Facebook bertajuk “From Zero To Hero” menampilkan barisan ikon alumni UTeM termasuk Azrul Aziz yang turut merupakan mantan Ahli Lembaga Pengarah UTeM dan Pengerusi Persatuan Alumni UTeM (AUTeM).
 
Sesi ini mendapat tontonan yang ramai dalam kalangan pelajar, staf, barisan alumni UTeM yang berada di seluruh dunia serta orang ramai turut mengikuti siaran tersebut bagi menghayati perjalanan dan pengisian hebat graduan UTeM.
 
Mengulas lanjut Dr Nazri berkata, pada keesokannya pula pihak fakulti UTeM turut menjayakan kesinambungan Hari Alumni secara bersepadu dengan menganjurkan beberapa program menarik secara atas talian seperti “Alumni Back to Campus”, “Sembang Santai Bersama Alumni FKEKK” dan “Alumni Career Talk”.
 
Mengulas peranan dan sumbangan alumni pula, Pengarah Pusat Alumni dan Kebolehpasaran Graduan, UTeM, Dr. Khairuddin Osman berkata, kerjasama yang terjalin antara alumni dan UTeM merupakan satu pertalian yang kukuh bagi mewujudkan jaringan sosial yang mantap dan membanggakan.
 
Katanya, alumni merupakan aset penting yang tidak ternilai harganya dan boleh menjamin kelestarian masa depan sesebuah universiti di samping menjadi role model atau duta universiti.
 
“Sumbangan tenaga dan buah fikiran alumni merupakan aset intelektual universiti untuk kepentingan serta pembangunan mahasiswa yang sedia ada dan alumni sentiasa berkongsi inspirasi serta input kepada Alma Mater agar terhasilnya dapatan yang pragmatik,” ujarnya lagi baru-baru ini

Selari dengan slogan UTeM adalah Melaka dan Melaka adalah UTeM maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri Melaka pada 26 November lalu.
 
Sumbangan UTeM telah diagihkan kepada mangsa yang terlibat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tehel, Bemban, dan PPS Sekolah Kebangsaan Parit Gantong, Sungai Rambai.
 
Bantuan daripada UTeM ini dikelolakan menerusi Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UTeM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Melaka.
 
Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Madya Ir. Dr. Md. Nazri Othman berkata, kami pihak UTeM mengambil inisiatif membuat pengumpulan sumbangan barangan keperluan asas dari warga universiti bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di negeri Melaka.
 
Jelasnya, UTeM mengambil peluang ini menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum, sardin, biskut dan banyak lagi.
 
Katanya, sumbangan ini berjaya disampaikan terus kepada 23 keluarga yang terlibat bagi kedua-dua PPS yang disasarkan ini.
 
“Pada ruangan yang sama kami turut mendekati dan menyelami perasaan kumpulan mangsa sambil memberikan semangat bahawa agensi, kerajaan serta masyarakat sentiasa bersama mereka dalam situasi getir ini,” ujarnya dalam kenyataan baru-baru ini.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan UTeM sentiasa prihatin dan terus cakna dalam menzahirkan tanggungjawab sosial korporat kepada golongan komuniti di negeri ini dan Malaysia amnya secara berterusan.
 
Turut bersama dalam misi tersebut adalah Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti dan I-COE, UTeM, Profesor Madya Dr. Effendi Mohamad, pegawai-pegawai Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat, UTeM, Farudin Hanif Ya’amah dan Ahmad Hafiz Mohd Puad serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin Mohd Faizal Mat Yaacob.

Page 8 of 99


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!