i@UTeM
UTeM Mail
Thursday, 13 May 2021

Menuju ke arah prestij tinggi dan terus menyerlah di pentas dunia maka seluruh warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diajak bersama merealisasi tema perutusan Naib Canselor bagi tahun 2021 ini “Memperhebat Strategi, Memperkasa Legasi”.
 
Perutusan Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim telah diadakan secara atas talian pada pagi semalam selama 1 jam 15 minit menerusi Facebook rasmi UTeM dan diikuti lebih daripada 6,500 orang.
 
Mengulas mengenai perutusan tahun ini Dr Raha berkata, tema tahun ini adalah bersifat memacu potensi UTeM secara komprehensif di samping memperkasakan segenap dimensi kekuatan dan kelebihan yang telah dimiliki oleh universiti ini.
 
Jelas beliau, daripada aspek memperhebat strategi beliau menyeru seluruh warga UTeM menggembelingkan seluruh jentera agar mencapai 7 matlamat strategik UTeM 2021-2025 secara sepenuhnya yang terdiri daripada University of Choice dan Graduate of Choice.
 
Manakala 5 matlamat lagi adalah Solution Providers for Industrial and Societal Advancement, Competent and Robust Talent, Visible and Globally Prominent, Smart and Dynamic Campus serta Financially Sustainable.
 
Katanya, memperkasa legasi pula berkisar kepada keberadaan UTeM menzahirkan kepakaran yang dimiliki dengan memberikan impak dan manfaat besar kepada pihak industri dan komuniti.
 
“UTeM mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang penyelidikan dan inovasi dan hal ini memberikan refleksi langsung dalam memantapkan lagi ekosistem kemajuan komuniti serta industri global,” ujarnya.
 
Bercakap mengenai nilai organisasi, Dr Raha berkongsi antara intipati amanat Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini dan mengajak seluruh warga UTeM untuk mengamalkan konsep 5S yang disarankan iaitu speed, sinergy, solidarity, strategic dan standard.
 
Beliau turut menyeru agar seluruh tenaga akademik universiti ini agar sentiasa mempamerkan pakej kecemerlangan lengkap dan terus menyerlah menerusi konsep e-STAR yang iaitu extension, services, teaching and learning, admin dan research and development.
 
Dalam ruangan perutusan ini, Dr Raha turut merakamkan penghargaan dan pujian kepada seluruh warga UTeM daripada kalangan kakitangan dan penuntut yang telah mencapai banyak kejayaan dan kecemerlangan dalam pelbagai lapangan dan bidang.
 
Rangkuman kejayaan ini sekaligus telah melonjakkan jenama UTeM menyinar di peringkat nasional dan juga pentas dunia sepanjang lembaran tahun lalu dan sebelumnya.
 
Menyentuh mengenai situasi pandemik pada masa kini beliau menyarankan agar seluruh warga UTeM untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah diuar-uarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di samping membudayakan amalan 3W (wash, wear dan warn) dan mengelakkan konsep 3C (tempat sesak, tempat tertutup dan bercakap jarak dekat).

Berteraskan konsep cakna pelajar dan semarak perpaduan silang budaya maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sentiasa prihatin dan cakna terhadap kumpulan pelajarnya sepanjang masa.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, keprihatinan kami pihak pengurusan UTeM sentiasa berterusan dalam menjaga kebajikan dan hal ehwal pelajar dalam sebarang situasi dan keadaan.
 
Jelas beliau, sempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang telah disambut baru-baru ini maka pihak pengurusan pelajar UTeM menerusi pengurusan kediaman pelajar UTeM turut meraikan pelajar Tiong Hua yang tidak pulang ke kampung halaman.
 
Pengetua Kolej Kediaman Satria Tuah, UTeM, Dr Al Amin Mohamed Sultan berkata, kami mengambil inisiatif meraikan pelajar Tiong Hua yang tidak pulang beraya bersama pelajar-pelajar lain dari pelbagai bangsa dengan cara tersendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
 
Katanya, walaupun sambutan secara sederhana bersama dengan felo-felo dan pelajar yang tidak pulang beraya namun ianya dapat mengubat kerinduan keluarga dan memberikan makna besar kepada semua.
 
Di sini kami ibarat satu keluarga tidak kira apa jua bangsa di bawah satu bumbung UTeM kami sentiasa mengambil berat dan memupuk semangat persaudaraan yang tinggi,” ujarnya lagi.
 
Penuntut UTeM berbangsa Tiong Hua, Tang Yee Kin, 21 tahun, dari Cheras Kuala Lumpur berkata, ini adalah pengalaman bermakna buat beliau kerana pertama kali menyambut perayaan Tahun Baru Cina jauh dari keluarga.
 
Katanya, suasana sambutan pada tahun ini juga berbeza yang mana kita berada dalam musim pandemik Covid 19 lantaran negara pula bersama dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
“Saya mengambil peluang ini ucapkan terima kasih kepada pihak UTeM yang amat prihatin dan meraikan sama perayaan Tahun Baru Cina dalam suasana kekeluargaan yang sangat harmoni,” ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) dengan Kepujian.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyambut baik pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan 6 kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac 2021 bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM senada dengan tindakan itu bersama beberapa inisiatif memperincikan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih khusus untuk pelaksanaan pada kali ini demi memastikan kebajikan pelajar kami.
 
Jelas beliau, secara umumnya ianya berteraskan 6 kategori asas yang telah digariskan KPT seperti mahasiswa yang dibenarkan kembali ke kampus adalah program pengajian sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas; pelajar yang tidak mempunyai akses, persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian serta pelajar asasi atau setara dan diploma sedia ada di kampus.
 
Tiga lagi kategori yang terlibat adalah mahasiswa antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom; mahasiswa berkeperluan khas terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) serta mahasiswa yang menduduki peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), antarabangasa dan badan profesional.
 
Ujar beliau, amalan kami sebelum ini bagi konteks pergerakan masuk ke kampus adalah menerusi aplikasi eTAP yang mana pelajar perlu membuat permohonan menerusi sistem ini bersama saringan kesihatan dan pihak pengurusan terbabit akan membuat pengesahan dan kebenaran masuk ke kampus.
 
“Namun pada kali ini UTeM mengemaskini dan memperincikan semula sistem dan SOP ini kepada pelaksanaan sistem yang lebih luas lagi skopnya demi memastikan pelajar UTeM sentiasa berada dalam keadaan selamat.
 
“Ianya adalah ekoran situasi pandemik yang semakin meruncing dan persekitaran makin mencabar namun proses PdP secara hybrid ini perlu dilaksanakan dengan jayanya seiring dengan aspirasi KPT,” ujar beliau dalam kenyataannya baru-baru ini.
 
Dr Raha berkata, pemakluman khusus berhubung perincian SOP dan kaedah kemasukan pelajar ke UTeM akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
 
“Mahasiswa akan dimaklumkan mengenai proses permohonan kembali ke kampus berdasarkan syarat ditetapkan serta informasi pengendalian kursus bagi semester ini,” katanya.

Ahli perniagaan yang juga mantan peneraju utama Kumpulan Renong dan United Engineering Malaysia (UEM) Tan Sri Dato’ Seri Halim Saad dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Januari 2021 hingga 14 Januari 2024.
 
UTeM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Halim Saad, 68 tahun ini adalah bagi menggantikan Datuk Wira Ismail Saleh yang telah tamat tempoh pelantikan beliau.
 
“Pelantikan ini disempurnakan oleh Canselor UTeM, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam selari dengan momentum UTeM ke arah kecemerlangan pendidikan teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia serta Revolusi Industri 4.0,” menurut kenyataan itu.
 
Halim Saad memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pentadbiran dari Universiti Victoria, Wellington, New Zealand pada tahun 1976 manakala beliau turut menerima anugerah akademik kehormat dari beberapa buah universiti dari dalam dan luar negara.
 
Antaranya adalah Ijazah Kehormat Doktor Sains, Universi Putra Malaysia (1997), Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (1997), Anugerah Kehormat Khidmat Cemerlang, Universiti Victoria, Wellington, New Zealand (1999) dan Ijazah Kehormat Doktor Perdagangan dari universiti yang sama pada tahun 2015.
 
Beliau mula berkhidmat sebagai Penganalisis Kewangan di Ford Motor Co. Singapore pada tahun 1978 seterusnya melonjak kerjayanya kepada beberapa jawatan penting seperti Naib Pengerusi Eksekutif di UEM (1986-2001), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (1990-1993) dan The New Straits Times Press (M) Berhad (1990-1993).
 
Selain itu beliau turut menyumbang kepakaran sebagai Naib Pengerusi Eksekutif di Sistem Televisyen (M) Berhad (1990-1993), Kinta Kellas Public Listed Company (1990-2001), Faber Group Berhad (1990-2001) dan Renong Berhad (1990-2001).
 
Mengulas mengenai sumbangan dan jasa beliau kepada negara dalam sektor korporat antaranya adalah menubuhkan salah satu kumpulan perniagaan terbesar dan
memberikan impak langsung kepada negara suatu ketika dahului iaitu Kumpulan Renong / kumpulan UEM.
 
Dari aspek kejuruteraan dan pembinaan pula, antara sumbangan besar beliau adalah merancang dan melaksanakan lebuh raya milik swasta pertama dan terbesar di Asia Tenggara iaitu PLUS Highway Bhd pada tahun 1986 dan menyiapkan projek dalam tempoh masa efisien iaitu hanya 5 tahun setengah sahaja berbanding tempoh kontrak sebenarnya adalah 7 tahun.
 
Sementara itu dari aspek pendidikan pula beliau turut berjaya mencipta dimensi baru apabila menjadi pengasas dan menubuhkan Kolej Yayasan Saad (KYS) yang merupakan sekolah berasrama penuh swasta yang pertama dalam negara.
 
Selepas meninggalkan Kumpulan Renong / UEM pada tahun 2001, Halim Saad mengasas dan memiliki sepenuhnya Kumpulan Markmore yang mempunyai pelaburan dalam bidang penerokaan minyak dan gas konsesi pengeluaran, konsesi perlombongan, minyak hiliran dan gas, tenaga boleh diperbaharui, hartanah dan pusat membeli-belah.
 
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim dalam kenyataan sama berkata seluruh warga universiti merakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan beliau untuk bersama menjayakan kelestarian pembangunan universiti itu dalam segenap aspek.
 
Raha turut menyatakan pelantikan tersebut seiring dengan pemerkasaan prestij universiti itu dan bertepatan dalam mengangkat keunggulan dan keperibadian cemerlang warga UTeM.
 
UTeM turut mengambil peluang merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan oleh Datuk Wira Ismail Saleh sepanjang tempoh beliau bersama UTeM sebelum ini.

Kepakaran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diiktiraf apabila sekali lagi terpilih sebagai penganjur bersama Malaysia Technology Expo (MTE) Virtual 2021 yang akan diadakan secara atas talian pada 22 hingga 26 Mac nanti.
 
Berdasarkan kejayaan pada tahun lalu, UTeM sekali lagi menerajui jawatankuasa penjurian anugerah, International Innovation Awards yang mana sinonim dengan fungsi dan kepakaran UTeM sebagai sebuah Institusi Peneraju TVET dan selaras dengan hala tuju serta konsep teknologi di universiti memperkasakan industri dan komuniti atau dikenali sebagai TUNAI.
 
MTE 2021 Virtual pada kali ini terus menyaksikan kumpulan pencipta inovasi dari seluruh dunia mengenengahkan hasil ciptaan produk inovasi mereka yang berimpak global dengan lebih lima ratus penyertaan.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim merangkap Pengerusi bagi kategori Invention and innovation Awards berkata, secara fokusnya UTeM lebih tertumpu kepada aspek penjurian dan anugerah kepada para peserta yang mengambil bahagian kali ini.
 
Jelas beliau, dari aspek anugerah, MTE 2021 Virtual seperti biasa menawarkan pelbagai hadiah menarik yang terdiri daripada rantaian pingat emas, perak dan gangsa serta beberapa anugerah berprestij berupa anugerah khas dari dalam dan luar negara.
 
Katanya, dari segi kategori yang dipertandingkan pula meliputi lapan belas kategori semuanya yang mana antaranya adalah kategori elektrik, teknologi pendidikan dan pedagogi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan banyak lagi. Kategori Pengurusan Krisis merupakan kategori baru yang diwujudkan pada penganjuran kali ini bagi melihat teknologi inovasi yang dilaksanakan dalam aspek pengurusan bencana dan wabak pandemik.
 
“Menyentuh mengenai penjurian pula barisan panel juri adalah dari kalangan tenaga pakar dan profesional dalam bidang ini yang mana separuh dari mereka adalah dari kalangan ahli-ahli akademik dari universiti-universiti ternama dalam negara.
 
“Manakala sebahagiannya pula adalah terdiri daripada pakar-pakar dari agensi dan sektor industri yang berprofil tinggi dan begitu dikenali di peringkat nasional dan rangkaian global,” ujar nya lagi.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, dari segi kriteria penjurian dan agenda pula telah dibuat perancangan rapi dan tersusun agar pelaksanaanya nanti memenuhi kriteria dan matlamat penganjuran yang telah dihasratkan.
 
MTE 2021 Virtual ini merupakan anjuran PROTEMP Exhibition and Conferences dan disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan beberapa Kementerian berkaitan.

Page 5 of 99


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!