i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 11 May 2021

Melaka : Kolaborasi penyelidikan strategik antara Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Cybersecurity Malaysia (CSM) terus menjana hasil berimpak global. Dekan FTMK UTeM, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad berkata, FTMK UTeM dan CSM merupakan rakan kolaborasi sejak tahun 2014 lagi dan telah menghasilkan banyak perkara berimpak dalam bidang penyelidikan bersama ini. Jelasnya, antara kejayaan bersama yang memberikan impak bertaraf global dalam bidang penyelidikan cybersecurity ini antaranya menerusi projek perundingan YAKSHA yang melibatkan negara Eropah. Seterusnya projek perundingan programme systematic review on IoT, cloud computing dan blockchain forensic CSM, global-ACE Scheme dan juga pensijilan OIC. Di samping itu selari dengan objektif yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini merangkumi pembangunan sumber manusia dan program peningkatan karier serta kolaborasi penyelidikan dan penulisan dalam bidang cybersecurity. Terbaharu pihak CSM turut menyumbang 10 unit komputer riba Dell Latitude 3490 kepada FTMK baru-baru ini yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) CSM, Ts. Dr. Zahri Yunos. COO CSM, Dr. Zahri berkata, penyerahan 10 unit komputer riba ini adalah merupakan kesinambungan dari projek penyelidikan yang dijalankan di makmal Coordinated Malware Eradication & Remediation Project (CMERP), FTMK UTeM. “Dengan anggaran kos yang terlibat sebanyak RM40,000 dan konsep kebersamaan dalam pembangunan aktiviti penyelidikan keselamatan siber yang diterapkan, diharapkan kedua-dua pihak dapat menikmati kemudahan yang tersedia,” ujarnya lagi. Merujuk kepada komputer riba yang diterima ini Dr. Rabiah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak CSM yang sangat aktif memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk demi menjayakan projek-projek yang telah dirangka bersama CSM dan FTMK. Beliau juga berharap ahli fakulti dapat memanfaatkan sebaik mungkin segala kemudahan yang telah disediakan oleh pihak Universiti dan CSM sendiri dalam meningkatkan aktiviti penyelidikan serta meletakkan FTMK dan UTeM di persada dunia.

Melaka : Kewujudan universiti teknikal awam berprestij Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memberikan impak langsung kepada segenap golongan komuniti dalam negara.
 
Terbaharu UTeM telah menyampaikan sumbangan sebanyak 100 unit produk inovasi Origami Corner Chair (OCC) yang dibangunkan sendiri oleh kumpulan penyelidiknya kepada golongan yang memerlukan.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, produk inovasi OCC ini dibangunkan menerusi dana Malaysia Social Innovation (MySI) dari Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) pada waktu itu.
 
Katanya, kumpulan penyelidik UTeM dan melalui Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat telah berjaya memperoleh dana MySI pada tahun 2019 berjumlah RM61,204.00 lalu projek ini dijalankan dengan tajuk ‘Bantuan OCC kepada Kanak-kanak Cerebral Palsy’.
 
Jelasnya, OCC merupakan inovasi terbaharu dalam kategori alatan rehabilitasi kanak-kanak Cerebral Palsy (CP) yang mempunyai banyak penambahbaikan berbanding corner chair yang sedia ada di pasaran.
 
Katanya, OCC memberi manfaat kepada 2 pihak iaitu pesakit CP kanak-kanak dan penjaga/juruterapi yang menguruskan pesakit oleh kerana rekabentuknya yang unik.
 
“OCC ini mempunyai kelebihan yang jauh lebih baik kerana ianya memenuhi spesifikasi tambahan yang lebih mesra pengguna dan kos pembuatannya juga telah ditambahbaik,” ujarnya lagi dalam kenyataan baru-baru ini.
 
Pihak UTeM telah menyumbangkan sebanyak 100 unit OCC kepada golongan memerlukan menerusi sumbangan langsung kepada individu tersebut dan juga menerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negara, baru-baru ini.
 
Pesakit telah disaring dari segi keperluan kepada produk dan keutamaan diberikan kepada golongan B40 dan penerima bagi kategori pesakit individu adalah seramai 81 orang dari seluruh negara.
 
Sebanyak 19 unit lagi disumbangkan pula kepada PPDK di Melaka dan juga NGO berkaitan CP iaitu Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum Malaysia (GAPS).
 
Projek pembangunan produk inovasi OCC ini diketuai oleh ketua penyelidik Mohd Azlan Mohamed dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) bersama ahli kumpulannya Mohd Kamal Musa dan Mohd Qadafie Ibrahim.
 
Produk ini telah dibangunkan oleh beliau sejak 2017 setelah penyelidik membuat lawatan ke rumah salah seorang pesakit CP di Melaka bersama kumpulan Charity beliau.
 
Di peringkat kajian awal sebelum ini, ketua penyelidik turut berhubung rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka, PPDK dan GAPS dalam mengumpul maklumat pesakit-pesakit CP terutamanya di Melaka. 
 
Patent rekabentuk produk ini telah difailkan pada 2019 dan produk ini  telah berjaya memperoleh beberapa anugerah rekabentuk antaranya di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2019, International Conference And Exposition On Invention (PECIPTA) 2019 dan International Festival Of Innovation On Green Technology (I-FINOG) 2019.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut gembira dengan rangkaian berita kejayaan sekumpulan anak tempatan menerusi MILDEF International Technologies (MILDEF) syarikat perkhidmatan automotif kegunaan industri pertahanan Malaysia membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4x4 untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
 
Kejayaan ini memberikan impak langsung kepada UTeM ekoran ketua jurutera yang terlibat dalam menjayakan projek ini merupakan alumni UTeM, Khairul Hazwan Mohd Rasit graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pihak UTeM teruja dengan pencapaian berprestij ini kerana menggambarkan penzahiran peranan UTeM melahirkan graduan unggul dalam bidang teknikal kepada negara dan dunia merupakan satu kenyataan.
 
Jelas beliau, graduan UTeM juga turut menjadi buruan majikan dan industri pelbagai sektor dari seluruh dunia dan perkara ini selari dengan kedudukan UTeM yang berada pada kedudukan tiga teratas bagi kadar kebolehpasaran graduan dalam kalangan universiti awam dalam negara.
 
“Di samping itu pelaksanaan strategi dan formula khas UTeM turut berkait rapat dengan kejayaan penghasilan graduan unggul universiti ini bilamana konteks pengisian daripada kerangka kerjasama strategik UTeM bersama rangkaian industri dunia,” ujarnya lagi.
 
Khairul Hazwan ketika ditemubual berkata, proses pengajian di UTeM adalah komprehensif dan beracuan Revolusi Industri 4.0 yang mana kami dibentuk dengan kemahiran perindustrian yang mana ianya amat membantu dalam proses merekabentuk dan pembuatan sesebuahproduk.
 
Ujarnya, hasil pembelajaran di UTeM juga membuatkan saya rasa seperti sudah berpengalaman dalam bidang perindustrian dan pengisian ini menjadi satu suntikan hebat kepada saya sebagai ketua jurutera bagi penghasilan kereta perisai pertama negara ini.
 
“Mengimbas kembali pengajian beliau di UTeM sepanjang 4 tahun dari tahun 2011 hingga 2015 menceritakan penuntut UTeM dilengkapkan dengan kepakaran teori dan kemahiran berkaitan jentera perindustrian terkini dan bertaraf global.
 
“Di samping itu para penuntut juga melalui tempoh masa yang agak panjang pembelajaran secara amali mesin berteknologi tinggi di samping pembelajaran daripada tenaga akademik UTeM yang berpengalaman luas dalam bidang industri multinasional dari seluruh dunia,” katanya lagi dalam kenyataan baru-baru ini.
 
Mengulas lanjut beliau merakamkan penghargaan buat UTeM yang telah mencorakkan beliau menjadi seorang jurutera profesional bertaraf dunia dan berharap UTeM terus terus melahirkan graduan unggul menyumbangkan kepakaran kepada negara dan dunia.


Pautan lain:

Malaysia Gazette
https://malaysiagazette.com/2021/02/25/alumni-utem-ketua-jurutera-bangunkan-kereta-perisai-bertaraf-dunia/

GPS Bestari
https://www.gpsbestari.com/berita/melaka/alumni-utem-ketua-jurutera-bangunkan-kereta-perisai-mobiliti-tinggi-4x4-bertaraf-dunia-1.938537

Malaysia News
https://malaysianews.today/2021/02/25/ketua-jurutera-mildef-hmav4x4-produk-utem/

Head Topics
https://headtopics.com/my/ketua-jurutera-mildef-hmav4x4-produk-utem-utusan-digital-18855959


Melaka : Yang Dipertua (YDP) Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam telah dimasyhurkan sebagai Canselor ketiga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
 
Pelantikan Mohd Ali, 72, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkuatkuasa selama 4 tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024.
 
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mewakili Tuanku Abdullah menyerahkan watikah pelantikan pada upacara pemasyhuran yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama YDP Negeri Melaka, Ayer Keroh, semalam.
 
Mohd Ali menggantikan Canselor terdahulu yang juga bekas YDP Negeri Melaka keenam, Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob.
 
Turut hadir pada upacara pemasyhuran itu ialah isteri Mohd Ali, Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali, Pro Canselor UTeM, Tan Sri Halim Saad dan Datuk Dr Sabirin Ja'afar, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali serta Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim.
 
Mohd Ali dalam ucapannya berkata, UTeM merupakan universiti teknikal pertama yang diwujudkan di Malaysia pada 1 Disember 2000 untuk memartabatkan ilmu melalui pendidikan, penyelidikan dan kesarjanaan teknikal yang inovatif dan kreatif.
 
“Sehubungan dengan ini, UTeM perlu berada dalam arus perdana pendidikan tinggi negara sebagai daya penggerak utama membentuk hala tuju baharu masyarakat Malaysia ke arah transformasi ekonomi dan sosial khususnya dalam era ledakan Industri 4.0 dan ekonomi digital.
 
“Saya juga melihat UTeM sentiasa komited membantu negara dan negeri Melaka dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi berpacukan industri.
 
“Pelaksanaan peta strategi pemerkasaan TVET dijangka mampu menghasilkan graduan TVET yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan untuk membangunkan negeri dan negara amnya,” katanya.
 
Ujarnya, dalam konteks arus perdana pembangunan negara pula, UTeM dilibatkan oleh pembuat dasar di semua peringkat dalam merencana hala tuju strategik negara, terutama yang melibatkan bidang kejuruteraan, teknologi serta TVET.
 
“Kerjasama pintar dan jaringan bersama kesemua pemegang taruh (stakeholder) seperti industri, kerajaan persekutuan dan negeri, serta komuniti perlu terus dipertingkatkan lantas mampu merealisasikan agenda global iaitu matlamat pembangunan kelestarian (Sustainable Development Goals pada tahun 2030.
 
“UTeM turut mendukung aspirasi dan agenda kerajaan negeri selaku entiti penyelidikan untuk melestarikan Melaka sebagai negeri maju bilamana keberadaan UTeM di Melaka dihasratkan berlakunya proses perkongsian serta pemindahan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat umum dalam membangunkan negeri tercinta,” katanya dalam ucapan yang disampaikan.

BH Online
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/793235/mohd-ali-dimasyhur-canselor-utem-ketiga

BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1938386

Kosmo!
https://www.kosmo.com.my/2021/03/06/tun-mohd-ali-dimasyhur-canselor-ketiga-utem/

myMetro
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/681182/mohd-ali-dimasyhur-canselor-utem

KoolFM
https://www.koolfm.com.my/mohd-ali-dimasyhur-canselor-utem-ketiga/

Malaysia Gazette
https://malaysiagazette.com/2021/03/06/tun-ali-rustam-dimasyhur-canselor-ketiga-utem/

Melaka Hari Ini
https://www.melakahariini.my/mohd-ali-dimasyhur-sebagai-canselor-utem-ketiga/

The Malaysian Insight
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/303822

theSundaily
https://www.thesundaily.my/local/mohd-ali-is-third-utem-chancellor-EH7090446

ismaweb
https://ismaweb.net/2021/03/06/ali-rustam-dimasyhur-sebagai-canselor-utem-ke-3/

Melaka – Kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul kejayaan besar dengan menggondol 28 pingat dan 1 anugerah khas menerusi Ekspo Maya Rekacipta dan Pameran Penyelidikan (EREKA 2021).
 
EREKA 2021 merupakan anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang telah mula berlangsung pada 18 Januari hingga 18 Februari 2021 ini diadakan secara atas talian selari norma baharu musim pandemik.
 
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, ini merupakan salah satu kejayaan besar buat kami pada awal tahun ini apabila kesemua 28 produk inovasi yang menyertai pertandingan ini telah membawa pulang pingat.
 
Jelasnya, kejayaan ini sekaligus melonjakkan jenama UTeM dan memberikan pengiktirafan kepada kumpulan penyelidik yang telah bertungkus lumus dalam menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi.
 
Katanya, kejayaan ini juga turut menzahirkan impak keberadaan UTeM yang memberikan sumbangan langsung kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan konsep TUNAI iaitu Technology at University Advancing Industry and Community.
 
Pada EREKA 2021, UTeM telah meraih 10 pingat emas antaranya menerusi produk CHELONIAN diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Yuhazri Yaakob, Kenaf/PLA Biodegradable Filament diketuai Dr. Nadlene Razali, BioBiG- Biodiesel Biji Getah diketuai Mahanum Mohd Zamberi dan Bio-Dur Packaging diketuai Dr. Ridhwan Jumaidin.
 
OSHER diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Yuhazri Yaakob, Green-It! Duct Liner for HVAC Ducting diketuai Norain Idris dan Fish Deboning Machine For Fish Fillet diketuai Rohaina Jaafar.
 
Tiga lagi produk inovasi adalah A High Sensitivity Microwave Resonator Sensor for Material Characterization diketuai Dr. Maizatul Alice Binti Meor Said, IoT Covid-19 Medical Trolley TroVid diketuai Muhammad Fareq Ibrahim dan Educational Application Using Deep Learning Approach diketuai Dr. Haslinah Mohd Nasir.
Lima belas produk inovasi UTeM yang berjaya merangkul pingat perak antaranya Graphene Nanoparticle Conductive Ink for Future Wearable and Healthcare Application, Automotive Electronic Packaging Safety using Graphene Stretchable Conductive Ink, Self-Healing Polymeric Coatings (SeHPC), Paddy Seed Planter Robot(PSPRobot) dan Satay Xpress (Satay Skewing Machine).
 
Tetris Ergo Furniture (TEFur), Lower Limb Exoskeleton for Prolonged Standing Task, Development of Real-Time based Smart Assistance Interfaces Audio Receiver for Blind People by using Object Recognition Method, Interactive Voice Recognition Based Smart Mirror for Commercial Guest Room dan e-Warmer Jacket.
 
Lima produk lagi adalah A Real-Time Mobile Heart Monitoring Sytem for Detecting Abnormal Heart Rate, Smart Carbon Monoxide (CO) Detector – SmaCO, A Hybrid Insider Threat Detection Scheme (AHITDeS) using the integration of misuse and anomaly detection in Manufacturing Network Systems, PSMS: IoT-Based Petanque Sport Management System dan Premise Visitor Monitoring System.
 
Sementara itu, pingat gangsa pula diraih oleh produk inovasi Door Lock System For Homestay Business With Android Application, Smart Home Automation dan Parcel Delivery Application with Route Optimization based on Android Platform.
 
Menariknya produk inovasi UTeM CHELONIAN berjaya merangkul anugerah berganda yang mana bukan hanya pingat emas malah turut berjaya memenangi anugerah khas.

Page 4 of 99


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!