i@UTeM
UTeM Mail
Tuesday, 11 May 2021

Melaka – Kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mengungguli Malaysia Technology Expo (MTE) Virtual 2021 dengan merangkul 20 pingat dan 2 anugerah khas.
 
MTE 2021 Virtual menyaksikan kumpulan pencipta inovasi dari seluruh dunia mengenengahkan hasil ciptaan produk inovasi mereka yang berimpak global dengan lebih 500 penyertaan telah berlangsung secara atas talian pada 22 hingga 26 Mac lalu.
 
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, ini merupakan salah satu kejayaan besar buat kami pada suku tahun pertama 2021 ini apabila kesemua 20 produk inovasi UTeM yang menyertai pertandingan ini berjaya merangkul pingat.
 
Jelasnya, kejayaan ini menjadi rantaian lonjakan jenama UTeM dan pengiktirafan berprestij kepada kumpulan penyelidik yang telah beraksi cemerlang serta komited menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi dunia.
 
“Kecemerlangan ini juga turut menzahirkan impak keberadaan UTeM yang memberikan sumbangan langsung kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan konsep TUNAI iaitu Technology at University Advancing Industry and Community,” ujar Dr Raha dalam kenyataannya baru-baru ini.
 
UTeM mencatatkan kejayaan cemerlang di MTE 2021 dengan pungutan pingat keseluruhan dengan 9 pingat emas, 9 pingat perak dan 2 pingat gangsa.
 
UTeM memenangi anugerah khas menerusi produk Intelligent Wearable Device for Blind Person yang diketuai Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kassim yang memenangi Special Foreign Award daripada International Federation of Inventors’ Association (IFIA).
 
Produk kedua yang memenangi anugerah khas yang dikenali Best Category Award pula menjadi milik produk inovasi LiFWeE diketuai Dr Zulkeflee Abdullah dan menariknya kedua-dua produk ini turut berjaya merangkul pingat emas.
 
Tujuh lagi pingat emas yang telah dimenangi UTeM adalah menerusi produk C2L diketuai Ts. Dr. Mohd Azli Salim dan ECOCO 2.0 - Green Solid Desiccant From Young Coconut Waste for Desiccant Dehumidifier diketuai Norain Idris.
 
OPTIDR-Simulator diketuai Ts. Dr. Mohamad Fani Sulaima, Diabetic Retinopathy Consultation System (DRCS) diketuai Ts. Dr. Sarni Suhaila Rahim, Precision Agriculture Recommender System (PARS) diketuai Prof. Madya Gs. Dr. Asmala Ahmad.
 
Dua produk lagi adalah HRPL: 6Lowpan Protocol Algorithm for IoT Smart Home System diketuai Dr. Nurul Azma Zakaria dan Automated Lightning Detection System for Flash Flood Monitoring diketuai Dr. Mohd Riduan Ahmad.
 
Sembilan pingat perak dimenangi menerusi produk I'm Pay (Islamic Marketplace Payment Gateway), Bicycle Storage Holder (BISH), Protecc - Innovating Care Through AI, Catchbus Malaysia, Double Brown, HVAC Virtual Laboratory (HV-Lab), Multi Function Detect and Count (D&C), 1-Step Alarm Flooring dan Visitor Screening and Sanitizing Station.
 
Sementara itu 2 pingat gangsa pula telah dimenangi menerusi produk Water Based Photovoltaic Thermal (Pvt) With New Dual Oscillating Absorber dan Boron Cutting Tool (BCT).
 
MTE 2021 Virtual itu merupakan anjuran PROTEMP Exhibition and Conferences dan disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan beberapa kementerian berkaitan.

Selari dengan perkembangan senario semasa maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengambil langkah proaktif dan terus menyerlah dengan melaksanakan program mobiliti pelajar antarabangsa secara atas talian.
 
Program berimpak global yang diselaraskan oleh Tokushima University-UTeM Academic Centre (TMAC) diadakan selama 9 hari baru-baru ini telah melibatkan 7 buah universiti antarabangsa.
 
Ianya melibatkan UTeM dan Universiti Tokushima bersama dengan 5 buah universiti dari Indonesia iaitu Universiti Brawijaya, Universiti Negeri Malang, Universiti Merdeka Malang, Universiti Stikes Kendal dan Universiti Islam Batik Surakarta.
 
Pengarah Program, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh berkata, antara objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar UTeM berinteraksi di samping perkongsian inovasi bersama mahasiswa universiti antarabangsa.
 
Jelasnya, program ini menjadi platform bagi mereka dari negara yang berbeza menjalinkan hubungan kerjasama rapat serta meningkatkan kemahiran holistik mereka sepanjang pengajian di universiti masing-masing.
 
“Peluang ini juga mendedahkan mereka kepada konteks silang budaya dunia yang unik dengan kepelbagaian budaya-budaya murni serta amalan-amalan terbaik masyarakat pelbagai negara,” ujarnya lagi.
 
Program mobiliti antarabangsa secara atas talian ini mempunyai temanya tersendiri iaitu “Pertanian: Bagaimana melestarikannya dengan Industri Revolusi 4.0?”.
 
Sepanjang program ini berlangsung 24 orang peserta yang mengikuti program ini turut berpeluang mengikuti pembentangan penyelidikan unggul yang dijalankan oleh Profesor Yasuno Takeshi dari Universiti Tokushima.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim, program mobiliti yang berimpak tinggi seperti ini wajar di teruskan bagi meningkatkan budaya innovasi di kalangan mahasiswa dan mahasiswi UTeM.
 
Tambahnya, program ini juga selari dengan kerancakan dan acuan dalam memastikan kelangsungan teknologi bagi Revolusi Industri 4.0 pada masa kini.

Melaka, 16 Mac 2021 : Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima kunjungan hormat Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi bersama delegasinya sekaligus mengukuhkan jalinan kerjasama strategik yang sedia terjalin sebelum ini.  
 
Lawatan ini turut memberikan gambaran penghormatan besar buat UTeM yang merupakan universiti awam teknikal pengajian TVET aras tinggi bertaraf dunia yang terus mencipta nama di persada global. 
 
Oka Hiroshi disambut mesra oleh pengurusan tertinggi UTeM yang diketuai Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim.  
 
Dr. Raha berkata, antara pengisian lawatan rasmi tersebut adalah berkisar perbincangan lanjut dan usaha pengukuhan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dengan pelaksanaan beberapa strategi dan pengisian berimpak tinggi.  
 
Katanya, dalam pertemuan ini tersebut turut menyentuh mengenai aspek kemajuan akademik serta penyelidikan dan inovasi bersama melibatkan kedua-dua buah negara.  
 
Jelas beliau, beberapa agenda lain turut dibincang oleh kedua pihak antaranya Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths: (JENESYS Programme) yang mana pelajar dan pensyarah akan ditaja mengikuti kursus selama dua minggu di Jepun.   
 
Mengulas lanjut Dr Raha menyatakan kedua-dua pihak turut berpeluang mengkaji hasrat bersama merealisasikan program penyelidikan inovasi aras tinggi merentas sempadan global. 
 
 
Sementara itu, Oka Hiroshi dalam ucapan aluannya melahirkan rasa kagum terhadap kemajuan dan kemodenan fasiliti serta persekitaran kondusif UTeM di samping beliau amat menghargai akan kerjasama hubungan strategik yang sedia terjalin antara UTeM dan Jepun.  
 
Semasa lawatan ini juga turut diadakan persidangan video secara langsung bersama Tokushima Universiti melalui saluran webex yang mana universiti ini telah menjalinkan kerjasama strategik bersama UTeM dan telah sama-sama menjayakan banyak agenda bersama antaranya mobiliti pelajar, kolaborasi penyelidikan, program double degree, staf mobiliti dan persidangan antarabangsa.  
 
Turut hadir di majlis ini Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Professor Dr. Ghazali Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof. Dr. Nurulfajar Abd Manap dan pengurusan tertinggi UTeM.

Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya memenangi geran penyelidikan Eco Champion Awards 2021 daripada World Wide Fun for Nature (WWF) Malaysia, baru-baru ini.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kemenangan ini merupakan pengiktirafan oleh pihak WWF Malaysia terhadap kumpulan penyelidik UTeM yang menjalankan akitiviti berkaitan inisiatif hijau dan alam sekitar kepada komuniti setempat.
 
Jelas beliau, kumpulan penyelidik UTeM mengambil inisiatif membangunkan sistem pemantauan kualiti air tawar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) yang efektif dan berkos rendah.
 
Ujarnya, usaha ini adalah untuk membantu pihak berkuasa memantau dan mengawasi kualiti air tawar secara jauh dan mengesan sebarang pencemaran air tawar yang sedang berlaku dengan lebih awal.
 
Kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Ranjit Singh a/l Sarban Singh bersama ahlinya Ir. Siti Aisyah Anas serta Muhammad Faiz Mohd Kamal yang merupakan pelajar pascasiswazah.
 
Mengulas mengenai perjalanan penglibatan mereka dalam pertandingan Eco Champion Awards 2021 Dr Ranjit berkata, fasa pertandingan awalnya mereka telah menyempurnakan kertas cadangan projek pada 15 Disember 2020 lalu.
 
Penghasilan video pendek dilengkapkan sebelumnya bagi menerangkan tentang cadangan projek disempurnakan pada 27 Januari seterusnya
hasil keputusan penilaian mengumumkan projek cadangan mereka telah berjaya terpilih dan memenangi geran khas bernilai RM 3,000.00 ini.
 
Jelas beliau, dengan geran yang telah dimenangi maka program selanjutnya akan dijayakan seperti pembangunan sistem, pengujian sistem dan penyediaan laporan dalam tempoh projek sebenar bermula 31 Mac hingga 10 Jun 2021 selama 10 minggu.
 
Ekoran larangan pergerakkan rentas negeri disebabkan oleh pandemik Covid-19 melambatkan perlaksanaan pengujian sistem yang sepatutnya dijalankan di kawasan air tawar sekitar Lembah Klang justeru tu, sistem dibangunkan akan diuji di sungai Melaka terlebih dahulu bagi tujuan verifikasi awal terhadap kebolehfungsian sistem dalam memantau kualiti air tawar.
 
Harapan kami agar apa yang kami usahakan ini berjaya menghasilkan sistem yang dapat mengesan parameter air fizikokimia menggunakan sensor yang berkos rendah dan menguji tahap keberkesanan sistem dalam mengesan pencemaran air tawar.
 
Mengulas lanjut Ranjit berharap kumpulan dapat mengadakan kerjasama secara berterusan dengan WWF-Malaysia dengan menjalankan akitiviti berkaitan inisiatif hijau dan alam sekitar kepada komuniti setempat.

Seramai 5,058 orang pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berkeperluan telah diluluskan untuk kembali ke Kampus menerusi 2 fasa.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM melaksanakan 2 fasa yang mana fasa pertama adalah bermula dari 11 hingga 14 Mac 2021 yang melibatkan seramai 2,517 orang pelajar.
 
Sementara itu fasa kedua pula melibatkan pelajar seramai 2,541 orang akan bergerak pulang ke kampus sehingga 29 Mac ini.
 
Jelas beliau, kesemua pelajar tersebut dikehendaki menginap di Pusat Pengasingan dalam kampus di Kolej Kediaman Satria serta diasingkan sebilik seorang bagi menjalani tempoh pengasingan selama sepuluh 10 hari.
 
Ujar beliau, secara prinsipnya kesemua mereka adalah terdiri daripada golongan 6 kategori yang ditetapkan dan secara khususnya adalah seperti berkeperluan akses internet dan sumber.
 
“Seterusnya pelajar Diploma Tahun 1 dan 2 yang layak, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda, pelajar kursus Integrated Design Project (IDP) Sarjana Muda serta pelajar yang menlani pembelajaran makmal atau bengkel berkaitan.
 
“Selain daripada itu, pelajar Pascasiswazah yang berkeperluan juga diberi kebenaran kembali ke Kampus secara fizikal,” ujar beliau sewaktu melawat sebahagian pelajar yang mula pulang ke kampus semalam.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, secara umumnya proses kemasukan pelajar adalah berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagai langkah kawalan.
 
Katanya, bagi melancarkan proses kemasukan ini pihak HEP turut dibantu oleh sukarelawan pelajar seramai 50 orang yang diketuai oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2020/2021.
 
Menyentuh tentang perkhidmatan bas kepada pelajar yg memerlukan untuk pulang ke kampus beliau menyatakan pihak UTeM menyediakan pengangkutan mengambil pelajar yang tiba dari Sabah, Sarawak dan juga Semanjung dari lapangan terbang terus ke Kampus secara berjadual.

Page 3 of 99


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!