Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menghasilkan sekumpulan graduan sulong bagi program Ijazah Berkembar sempena dengan Majlis Konvokesyen UTeM ke 15 yang telah diadakan baru-baru ini bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, Program Ijazah Berkembar tersebut merupakan kerjasama strategik antara Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), UTeM dengan Fakulti Mekanikal dan Kejuruteraan Bio Proses, Hochschule Hannover – University of Applied Sciences and Arts (HsH),Jerman.

Katanya, program ini menawarkan mahasiswa UTeM ini memperolehi dua ijazah serentak iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan, UTeM dan Ijazah Sarjana Muda Mekanikal HSH Jerman.

Menurut beliau, kaedah pengajian yang telah dilalui graduan sulong program ijazah berkembar ini adalah 3+1+1 iaitu 3 tahun pengajian di UTeM, 1 tahun di HSH Jerman dan kembali ke UTeM menyempurnakan setahun pengajian lagi.

“Setelah setahun pengajian di HSH ketiga-tiga mereka telah pun berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Mekanikal dari HSH Jermanuntuk sesi 2017/2018 yang lalu dan kembali ke UTeM melengkapkan 1 tahun pengajian lagi bagi sesi 2018/2019 pula,” ujar beliau lagi.

Setelah lengkap 5 tahun pengajian bagi kedua-dua universiti maka ketiga-tiga graduan tersebut telah berjaya bergraduat dengan status Ijazah berkembar yang mana mereka menerima pula Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian di UTeM baru-baru ini.

Ketiga-tiga graduan sulong program ijazah berkembar berkenaan adalah Khairun Nadiah Kamaruzaman, Khor Huai Khang serta Ain Fatehah Mohd Hisham.

Mengulas lanjut  Dr Raha berkata, UTeM turut berjaya menghasilkan seorang lagi graduan Ijazah berkembar bagi Doktor Falsafah Kejuruteraan Pembuatan di UTeM dan Ijazah Doktor Kejuruteraan bagi Life and Materials System Engineering di Universiti Tokushima, Jepun.

Ulasnya, graduan Ijazah Berkembar Doktor Falsafah ini Edynoor Osman berjaya melengkapkan tempoh pengajiannya mulai 18 Februari 2015 sehingga 30 Oktober 2019 lalu secara separuh masa.

“Dalam tempoh pengajian berkenaan  graduan ini telah berjaya melengkapkan 2 tesis yang berbeza serta lengkap menjalani viva sekaligus melayakkan beliau menerima kedua-dua PhD dari UTeM dan Universiti Tokushima,” katanya lagi.

PENYELIDIKAN & INOVASI

Terokai Penyelidikan dan Inovasi bersama UTeM

Lanjut

Masukkan alamat email anda untuk langganan Aktiviti UTeM: