i@UTeM
UTeM Mail

 

YBhg. Datuk Dr. Sabirin bin Ja'afar
 
YBhg. Datuk Dr. Sabirin bin Ja'afar

Datuk Dr Sabirin Bin Ja’afar PhD, DMSM dilahirkan pada tanggal 16 Julai 1963, di Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka. Mula bersekolah rendah dan sekolah agama rakyat di kampungnya tahun 1970 - 1975 dan kemudiannya terpilih memasuki sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Melaka (sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah), Ayer Keroh sebagai kumpulan pertama tahun 1976 - 1980. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran tingkatan 6 di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban tahun 1981-1982 sebelum terpilih sebagai kumpulan perintis Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tahun 1983 - 1987 dalam jurusan undang-undang.

Setelah lulus Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) tahun 1987 beliau menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan bermula sebagai majistret di Kuala Kubu Bharu dan Kajang sebelum bertugas sebagai Penolong Kanan Pendaftar, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Ketua Unit Penyelidikan, Mahkamah Persekutuan. Kemudiannya beliau memegang pelbagai jawatan seperti Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Timbalan Pendaftar dan Ketua Pentadbir Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang, Hakim Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur sebelum bertugas sebagai Pegawai Khas kepada YAA Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah, Ketua Hakim Negara. Setelah menamatkan ijazah PhD di United Kingdom beliau bertugas sebagai Pengarah Penguatkuasaan dan Undang-Undang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Penasihat Undang-Undang Kementerian Pertahanan dan selepas itu dipinjamkan ke badan antarabangsa sebagai Pengurus di Malaysia-Thailand Joint Authority sebelum bersara secara pilihan daripada perkhidmatan kerajaan tahun 2011.

Semasa dalam perkhidmatan Datuk Dr. Sabirin memberi kuliah sebagai pensyarah sambilan di peringkat Diploma Lanjutan Institut Teknologi Mara (ITM) selama satu semester tahun 1994. Beliau diterima masuk sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya tahun 1996. Pada tahun yang sama beliau melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di University of Wales, Cardiff, United Kingdom dalam bidang undang-undang maritim dan memenangi biasiswa Kerajaan British (Chevening Scholarship) untuk kursus PhD dalam polisi dan keselamatan maritim di Greenwich Maritime Institute, University of Greenwich, London tahun 2002 - 2006. Semasa kursus PhD beliau bekerja sebagai intern di International Maritime Organisation, United Nations, Embankment, London.

Setelah bersara secara pilihan daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 2011 beliau menyertai dunia akademik tahun 2011 – 2014 sebagai Profesor Undang-Undang dan Etika di International Business School (IBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sebagai pensyarah beliau memberi kuliah pelajar-pelajar  Master of Business Administration (MBA) di samping menyelia beberapa pelajar PhD.

Beliau membentangkan kertas kerja di dalam dan luar negara seperti di Universiti Riphah, Islamabad, Pakistan dan Universiti Tokai, Tokyo, Jepun dan Majlis Peguam. Beliau terlibat dalam program ceramah Institut Integriti Malaysia (IIM) ke seluruh negara di samping membuat kajian ilmiah indeks rasuah di Berlin dan Switzerland.

Pada tahun 2014, beliau dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk tempoh dua tahun. Setelah tamat tempoh, beliau menjadi peguam persendirian sebagai rakan kongsi di Tetuan Abdul Raman Saad & Associates di Johor Bahru selama setahun sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan politik sepenuh masa sehingga sekarang. Beliau dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) membawa gelaran “Datuk” oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil bin Yaakob pada 10 Oktober 2015.

Setelah meninggalkan jawatan kehakiman, Datuk Dr. Sabirin  bergiat  memimpin sebuah NGO, Muafakat Masjid Tanah 2018 yang memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti kebajikan rentas sempadan kaum dan politik. Datuk Dr. Sabirin juga aktif dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan pemuliharaan alam sekitar dan maritim. Beliau memberi nasihat kepada penduduk-penduduk pesisir pantai Pulau Pinang dalam isu penambakan laut dan isu perlombongan pasir di Sungai Linggi-Rembau di Melaka dan Negeri Sembilan.

Di peringkat antarabangsa beliau memberi nasihat dan bergerak aktif dalam aktiviti-aktiviti pertubuhan Seafarers’ Rights International (SRI) yang berpusat di London. Pertubuhan ini memperjuangkan kebajikan kelasi dan lain-lain pekerja di sektor maritim seperti nelayan seluruh dunia. Bulan Oktober 2018, beliau dijemput oleh SRI mewakili Malaysia dalam persidangan pertubuhan itu bagi peringkat Asia dan Pasifik di Manila.

Selepas PRU 14 Datuk Dr Sabirin dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Masjid Tanah, Pengerusi Lembaga Pencegahan Jenayah, Kementerian Dalam Negeri (POTA), Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Hobi beliau ialah membaca dalam pelbagai bidang terutama Sejarah, Tamadun Islam, hal ehwal maritim, politik antarabangsa dan ekonomi. Beliau juga menulis, menterjemah  dan telah menerbitkan buku serta menulis artikel dalam pelbagai isu. Hasil kajian beliau dalam pembelajaran Al Quran telah diterbitkan sebagai buku bertajuk, “Menyebar Kalam Tuhan: Cerita Qari, Qariah dan Al Hafiz Malaysia” (2018). “Dari Sudut Pandangan Islam” (terj) adalah karya bersama dengan Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Ab Kadir (1991). “Barang Yang Lepas Mesti Dikenang” adalah blog di mana beliau memahat tilikan dan pemerhatian ke atas peristiwa sekeliling. Dalam meneruskan minatnya dalam bidang akademik, beliau sekarang adalah penyelia luar PhD untuk Universiti Kebangsaan Malaysia.

Datuk Dr Sabirin mendirikan rumahtangga dengan Datin Rizq Fairuz Mohd Ramli, seorang pensyarah UIAM tahun 1990 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.


Masukkan e-mel anda untuk melanggan Peristiwa UTeM:

Berhubung Dengan Kami
   

Hakcipta © 2020 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Hakcipta Terpelihara.
Penafian | Privasi & Polisi Keselamatan | Hakcipta | Hubungi Kami

T
arikh akhir kemaskini : 7 April 2020

Jata Negara
Badge Qs 2020
Badge 4setara
Bagde Ui Greenmetric