|
|
MPP UTeM KONGSI PENGALAMAN BERSAMA SISWA UMT |
| Jalinan keserakanan dalam kalangan mahasiswa antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merupakan platform yang dapat digunakan dalam perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman.
Sesi perkongsian ini dijayakan menerusi ruangan perbincangan dan sesi kunjungan dan lawatan antara sesebuah universiti dengan universiti yang lain. Terbaru Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM telah menerima lawatan seramai 39 orang pelajar dan seorang pegawai pengiring dari Jawatankuasa Blok At-Thabarani (ATB), Kolej Kediaman Abdul Rahman Limbong (KKARL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi mengadakan lawatan sambil belajar ke kampus induk UTeM Durian Tunggal baru-baru ini. Rombongan yang diketuai oleh Felo KKARL Aliashim Albani telah membawa rombongan pelajar berkenaan bagi mendapat pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas serta dapat berkenalan dan bertukar pandangan bersama dengan pemimpin kelab dan persatuan dari UTeM serta peranan dan fungi pejabat asrama di UTeM. Rombongan telah disambut dan diberi taklimat mengenai struktur organisasi Majlis Perwakilan Pelajar oleh Yang DiPertua (MPP) Ahmad Saufi Ahmad Jahawir serta beberapa orang exco MPP. Rombongan juga telah dibawa melawat di sekitar Pusat Persatuan Pelajar, Perpustakaan dan galeri UTeM serta sekitar kampus UTeM. Pada sebelah petangnya rombongan UMT ini telah berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di sekitar bandaraya bagi mengakhiri lawatan sehari ke Melaka. Aliashim Albani mengharapkan agar kedua-dua institusi pendidikan ini dapat bekerjasama dengan mengadakan berbagai aktiviti-aktiviti demi kebaikan bersama pada masa akan datang dan menjemput pelajar UTeM melawat ke UMT kelak. |








































