| (Full Article in Bahasa Melayu for Press Release) |
|
|
MAHASISWA UTeM MULAKAN MISI ‘GLOBAL PIONEERING PROGRAM’ KE KOREA SELATAN |
Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hari ini memulakan persediaan misi ‘Global Pioneering Program’ iaitu program lawatan sambil belajar ke universiti terkemuka di Korea Selatan. Kumpulan mahasiswa tersebut merupakan gabungan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Persatuan Mahasiswa Anak Sabah Sarawak yang mensasarkan tahun 2013 untuk menjejakkan kaki ke Seoul bagi menjayakan program itu. Menurut pengarah program, Muhammad Aizat Mustakim berkata, Global Pioneering Program dirangka untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kecemerlangan universiti di Korea Selatan terutama sekali dalam bidang kejuruteraan dan industri berteknologi tinggi. “Seoul National University dan Hanyang University merupakan destinasi kami untuk meneroka dan mempelajari budaya dan sistem pengajian tinggi Korea Selatan yang sememangnya menjadi rujukan dunia,” kata Aizat. Manakala Kedutaan Malaysia di Seoul turut berada di dalam senarai lawatan yang bertujuan menjalinkan hubungan erat sebagai wakil daripada UTeM. Lebih menarik apabila kebudayaan Sabah dan Sarawak akan dipersembahkan kepada masyarakat Korea sewaktu lawatan berlangsung. Jelas beliau lagi, program yang dirancang itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana semua kos berkaitan perjalanan, tempat tinggal dan sebagainya akan disediakan oleh peserta tanpa bergantung kepada universiti melalui aktiviti-aktiviti pengumpulan dana yang akan diadakan kelak. “Untuk menjayakan program ini, peserta akan mengadakan pelbagai aktiviti pengumpulan dana dan pengalaman yang akan dirasai oleh peserta akan berbeza kerana kejayaan misi terletak sepenuhnya di tangan peserta,” jelas Aizat lagi. Sepanjang tempoh persediaan itu, peserta akan mempraktikkan kemahiran komunikasi, pengurusan kewangan, pengurusan acara, hubungan antarabangsa serta kemahiran keusahawanan untuk meraih dana yang diperlukan. Dalam pada itu, Aizat turut mengalu-alukan tajaan ataupun sokongan daripada badan-badan korporat untuk menjayakan program yang bakal memberi faedah kepada mahasiswa terlibat. “Sokongan mahupun tajaan daripada pihak yang berminat amatlah dihargai kerana peluang ke Korea Selatan akan digunakan sepenuhnya oleh kami untuk menimba pengalaman berharga dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya. Justeru, mana-mana pihak yang berminat untuk menyokong program itu boleh menghubungi Aizat di talian 012-662 5110 atau Ketua Biro Tajaan, Muhammad Azfar Marizan di talian 012-936 7569. |







































