|
|
NAIB CANSELOR UTeM WAKIL MALAYSIA ADILI PERTANDINGAN AKHIR IMAGINE CUP 2012 |
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dilantik oleh Microsoft Corporation sebagai juri dalam pertandingan akhir mencipta perisian yang dikenali sebagai Imagine Cup. Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan dilantik mewakili Malaysia untuk mengadili pertandingan akhir peringkat dunia yang berlangsung pada 6-10 Julai ini di Sydney Australia. Pelantikan tersebut meletakkan nama beliau sebaris dengan tokoh-tokoh terkemuka antaranya Ed Happ, Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa, Guy Wolleart, Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Coca Cola dan Rob Miles, ikon pengaturcaraan komputer (programmer) dari University of Hull, UK yang turut dilantik menghakimi pertandingan tersebut. Ketika ditemui sebelum berlepas ke Sydney, Dr. Ahmad Yusoff berkata juri dilantik akan mengadili projek-projek perisian yang dicipta oleh peserta dari seluruh dunia berasaskan teknologi yang diperkenalkan oleh Microsoft. “Melalui pertandingan Imagine Cup, peserta menghasilkan pelbagai jenis perisian yang boleh menyelesaikan masalah sejagat selaras dengan matlamat milenium Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyenaraikan antara lainnya kebuluran, pendidikan, kesaksamaan jantina, kelestarian alam sekitar dan isu kesihatan,” kata beliau. Justeru, proses pengadilan akan dilaksanakan dengan teliti untuk mendapatkan perisian yang betul-betul menepati kriteria yang ditetapkan serta mampu memberi impak kepada manusia sejagat, jelasnya lagi. Dalam pada itu, Imagine Cup peringkat kebangsaan telah dimenangi oleh pasukan “The Rhapsody” dari Asia Pacific University College of Technology and Innovation (UCTI) menerusi perisian WizBoard yang memberi kemudahan kepada pendidik menyampaikan pengajaran tanpa sempadan melalui beberapa ciri unik yang dibangunkan di dalam perisian tersebut. The Rhapsody akan turut berada di Sydney untuk bertanding dengan pasukan lain dari serata dunia dalam misi untuk bergelar johan Imagine Cup 2012. |








































