| (Full Article in Bahasa Melayu for Press Release) |
|
|
UTeM ADAKAN LAWATAN KESERAKANAN KE TAYLOR’S UNIVERSITY |
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah mengadakan lawatan keserakanan ke Taylor’s University di Subang Jaya untuk meninjau dan berkongsi pengalaman dalam menguruskan kampus mesra pelajar. Lawatan itu diketuai oleh Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, disertai oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Dr. Muhammad Ghazie Ismail serta beberapa pegawai kanan universiti itu. Menurut Dr. Ahmad Yusoff, lawatan bertujuan melihat dengan lebih jelas konsep kampus mesra pelajar di Taylor’s University yang terkenal dengan keindahan senibina moden serta mendapat pengiktirafan antarabangsa. “Lawatan ini amat bermakna kerana secara tidak langsung UTeM dapat berkongsi panduan berguna untuk menambahbaik kemudahan sedia ada agar keselesaan pelajar dapat ditingkatkan dari masa ke semasa,” jelas Dr. Ahmad Yusoff. Satu sesi perkongsian pengalaman dan perbincangan telah diadakan dengan pegawai-pegawai kanan antara kedua-dua universiti memfokuskan inisiatif strategik dalam hal berkaitan pengantarabangsaan, pengurusan pelajar serta program penyelidikan. Presiden merangkap Naib Canselor Taylor’s University, Prof. Dato’ Dr. Hassan Said turut hadir menyambut ketibaan delegasi UTeM serta menyampaikan taklimat mengenai latarbelakang serta sejarah pembangunan kampus universiti itu. Delegasi UTeM kemudiannya dibawa melawat kemudahan-kemudahan pembelajaran yang terdapat di kampus itu serta meninjau pusat komersil yang menjadi daya tarikan utama pelajar yang menyediakan pelbagai keperluan harian serta perkhidmatan lain. Dr. Ahmad Yusoff ketika ditemui menyifatkan lawatan yang diadakan berjaya memberi input positif kepada pihaknya untuk merancang dan menambahbaik keperluan pelajar agar dapat menampung permintaan di masa akan datang. |










































