| (Full Article in Bahasa Melayu for Press Release) |
|
|
UTeM & BAKTI AKAN MENGANJURKAN PROGRAM SELANGKAH KE UNIVERSITI PADA HUJUNG MINGGU INI |
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) akan menganjurkan Program Selangkah Ke Universiti 2012 Peringkat Kebangsaan selama dua hari bermula pada 22 hingga 23 April 2012 ini bertempat di Kampus Induk UTeM Durian Tunggal. Program ini akan melibatkan penyertaan seramai 350 orang pelajar dari 32 buah sekolah menengah dari 7 buah kawasan Parlimen sekitar negeri Melaka dan Johor Utara antaranya Bukit Katil,Tangga Batu, Kota Melaka, Muar dan Pagoh. Menurut Pengarah Pejabat Perancangan dan Komunikasi Korporat (PPKK) UTeM, Fazidah Ithnin berkata, antara objektif utama program ini bakal diadakan adalah bertujuan memperkasa rakyat melalui usaha meningkatkan kesedaran pelajar sekolah luar bandar melalui inisiatif selangkah ke universiti. “Selangkah Ke Universiti merupakan program dua hari di mana pelajar sekolah dari beberapa kawasan Parlimen sekitar negeri Melaka dan Johor Utara akan dibawa ke universiti dan menjalani proses pendedahan suasana kampus yang bertujuan supaya mereka lebih mengenali kehidupan sebagai mahasiswa di universiti.” Tambah beliau lagi, program ini juga dilihat sebagai medan yang mampu memberi suntikan semangat kepada para pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dari tingkatan empat untuk terus belajar bersungguh-sungguh ke arah mencipta kejayaan dalam bidang akademik. Beberapa pengisian dan program telah disusun dan bakal dilaksanakan selama dua hari program ini yang akan berlangsung nanti antaranya adalah program ceramah, ceramah motivasi, sesi bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTeM serta lawatan kampus. Program ini bakal dirasmikan oleh Datuk Seri Utama Rosmah Mansor yang merupakan Yang di-Pertua BAKTI pada sebelah petang hari pertama program ini berlangsung bertempat di Dewan Besar Kampus Induk UTeM. Sementara itu antara kenamaan lain yang turut akan menghadiri majlis perasmian tersebut antaranya Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, wakil-wakil rakyat negeri Melaka serta Exco dan ahli BAKTI. |








































