Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memuji hubungan erat yang terjalin di antara Kesatuan Pegawai Am Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan pengurusan universiti itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Presidennya, Dato’ Omar Osman yang menghadiri sambutan hari raya Aidilfitri anjuran Kesatuan Pegawai Am UTeM dan Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Universiti Malaysia (GAKUM) di Kampus Induk UTeM baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Dato’ Omar melahirkan rasa gembira melihat kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pengurusan UTeM dengan kesatuan kakitangannya.
“Hubungan harmoni di antara pengurusan UTeM dan kesatuan kakitangannya wajar dijadikan contoh oleh semua kesatuan yang ada di negara ini agar sebarang permasalahan atau perbincangan berkaitan perkhidmatan dapat diselesaikan secara muafakat,” kata beliau.
Majlis itu telah dihadiri oleh seramai 500 perwakilan kesatuan kakitangan universiti dari seluruh negara yang bernaung di bawah GAKUM. Omar yang juga Pengerusi GAKUM menyeru penjawat awam terutamanya yang berkhidmat di IPTA agar menunjukkan keperibadian yang luhur dan tinggi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Dalam pada itu beliau juga menyeru penjawat awam menghayati erti kemerdekaan dengan sekurang-kurangnya mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kepada negara. Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan dalam ucapannya melahirkan penghargaan kepada GAKUM serta Kesatuan Pegawai Am UTeM di atas penganjuran sambutan Aidilfitri itu yang berjaya menghimpunkan sejumlah perwakilan kesatuan.
Jelasnya, perhimpunan sebegitu dapat mengeratkan hubungan sesama wakil kesatuan dan secara tidak langsung membentuk rangkaian kerjasama yang berkesan.
|