Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyahut seruan kerajaan dalam memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
Lantaran itu, Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat universiti telah dilancarkan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan di Dataran Canselori Kampus Induk Durian Tunggal hari ini. Pada majlis tersebut Ahmad Yusoff telah melekatkan Jalur Gemilang di kenderaan rasmi universiti sebagai simbolik kepada pelancaran kempen.
Ketika ditemui beliau berkata, hari kemerdekaan negara wajar diraikan dengan penuh semangat patriotisme dan semua pihak memainkan peranan yang penting ke arah matlamat itu.
“Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya rasa bangga serta bersyukur terhadap keharmonian negara dan mengibarkan Jalur Gemilang adalah salah satu cara menunjukkan rasa cinta kepada tanahair,” kata Ahmad Yusoff.
Beliau juga menyeru warga UTeM agar meningkatkan lagi semangat kenegaraan dan memupuk perasaan cintakan negara di samping menghayati pengorbanan pejuang terdahulu yang telah berkorban demi kesenangan generasi hari ini.
Jelasnya lagi, “Sebagai universiti teknikal pertama di negara ini, sememangnya UTeM melaksanakan pelbagai inisiatif selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan tenaga professional yang bakal menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Kira-kira 200 orang staf UTeM termasuk pegawai-pegawai kanan dari pelbagai jabatan hadir menyaksikan majlis yang bersejarah itu.
Dalam pada itu, UTeM telah pun mula menghiasi jalan-jalan utama dan bangunan di Kampus Induk dengan Jalur Gemilang serta mengagih-agihkan 2,000 bendera kepada stafnya bagi menjayakan kempen tersebut. |