| (Full Article in Bahasa Melayu for Press Release) |
|
|
PUSAT ISLAM UTeM ANJUR PAKEJ PENGISIAN RAMADHAN |
Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah merancang dan bakal mengadakan beberapa program menarik berupa ‘Pakej Ihya’ Ramadhan’ sebagai pengisian bermakna sepanjang bulan yang penuh kemuliaan ini. Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Radzuan Nordin berkata, antara objektif utama diadakan pengisian Pakej Ramadhan ini antaranya adalah untuk mengimarahkan kehadiran bulan Ramadhan. Jelas beliau, program Ihya’ Ramadhan ini merupakan pengisian aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan bersama oleh kakitangan UTeM secara fokusnya untuk meraih ganjaran-ganjaran pahala sempena dengan pengisian dalam bulan yang penuh keberkatan ini. “Justeru beberapa aktiviti yang telah dirancang dan akan dilaksanakan secara bersepadu antaranya seperti Tazkirah Ramadhan 1433H yang akan diadakan pada setiap hari bekerja selepas waktu solat Zohor di Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM”. “Tazkirah Ramadhan ini akan disampaikan oleh Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan fakulti, Pengarah-pengarah Pusat Tanggungjawab (PTj), Para pensyarah serta pegawai-pegawai dari Pusat Islam UTeM secara berjadual” ujar beliau. Kata beliau, pada sebelah malam akan diadakan solat tarawikh berjemaah bagi setiap malam dalam bulan Ramadhan ini manakala bagi 10 malam terakhir bulan ini akan diisi dengan program qiamullail selepas solat tarawikh. Ujar beliau lagi, di samping itu aktiviti memasak dan mengedarkan bubur lambuk juga turut akan dijalankan sepanjang Ramadhan ini kecuali pada hari Jumaat dan hari cuti. Aktiviti ini akan disempurnakan oleh setiap PTj di UTeM mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sehubungan itu majlis berbuka puasa di Masjid Sayyidina Abu Bakar juga turut akan diadakan mengikut giliran PTj dan PTj yang menerima giliran berbuka puasa akan menyediakan juadah kepada jemaah yang berada di masjid semasa waktu berbuka puasa tersebut. Tambah beliau lagi, membayar zakat fitrah merupakan tanggungjawab umat islam yang wajib disempurnakan justeru beberapa Kaunter Zakat Fitrah turut akan dibuka bermula dari awal Ramadhan sewaktu hari bekerja sehingga pagi Hari Raya Eidul Fitri sebelum solat sunat hari raya disamping penggiliran Kaunter Zakat Fitrah di bangunan PTJ turut akan dilaksanakan. Justeru itu beliau mengharapkan agar kakitangan UTeM serta umat islam sekitar turut akan menyertai dan menjayakan program yang menjanjikan ganjaran dan keberkatan serta bersama-sama mengimarahkan bulan yang penuh kemualiaan ini. |







































