Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut serta menjayakan Karnival 1 MinDef anjuran Kementerian Pertahanan Malaysia yang diadakan selama 3 hari di Stadium Mersing, Johor baru-baru ini.
UTeM merupakan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terlibat dalam karnival berkonsepkan pameran yang disertai oleh semua perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi-agensi Awam di bawah Kementerian Pertahanan di samping beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain.
Di atas platform karnival ini UTeM terus melaksanakan agenda mendekati masyarakat terutama golongan masyarakat luar bandar di sekitar Mersing bagi menyampaikan maklumat terperinci berkenaan universiti.
Penyertaan UTeM amat dinanti-nantikan oleh seluruh warga Mersing yang ingin mengenali dengan lebih dekat lagi IPTA teknikal pertama di Malaysia ini yang berfokuskan dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengurusan teknologi serta teknologi kejuruteraan.
Peluang melanjutkan pengajian di UTeM sentiasa terbuka kepada seluruh masyarakat Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan bagi menyambung pengajian di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).
Gerai pameran UTeM terus menjadi tumpuan orang ramai termasuklah golongan pelajar yang berinteraksi secara langsung dengan petugas-petugas UTeM yang terus membantu memberi penerangan. Karnival ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Mersing.
Sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung telah memuatkan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik untuk tatapan warga Mersing antaranya adalah seperti persembahan udara daripada pesawat Krisakti, payung terjun Gerak Khas, Hot Air Balloon, persembahan dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan banyak lagi. |