Berteraskan inisiatif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) maka Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempunyai cara tersendiri dalam melaksanakan agenda berimpak ini bersama komuniti setempat di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.

Seramai sebelas orang staf Penerbit Universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang seni grafik dan reka bentuk telah bergotong-royong menghasilkan sebuah mural di bangunan  Sekolah Kebangsaan Gangsa.

Menurut Pengarah Penerbit Universiti, Nurhafidz Abdul Sahak ketika ditemui berkata, program CSR yang dianjurkan kali ini agak berbeza kerana menggabungkan unsur kreativiti sambil berinteraksi bersama pelajar dan guru-guru di sekolah berkenaan.

“Sewaktu menghasilkan mural, pelajar diberi peluang untuk mencuba serta mempelajari teknik-teknik yang digunakan dan ini secara tidak langsung menyemai minat dan kreativiti mereka untuk menceburkan diri dalam bidang seni grafik,” jelas Nurhafidz.

Katanya lagi, mural bertemakan penerokaan angkasa lepas itu bakal memberi inspirasi kepada pelajar sekolah berkenaan untuk memperkasakan bidang sains dan teknologi seterusnya mencapai cita-cita yang mereka impikan.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gangsa, Hj. Zakaria Ghazalli pula menyambut baik inisiatif yang dibawakan oleh UTeM dalam menjadikan persekitaran sekolah yang kondusif dan ceria itu.

“Pihak sekolah amat berterima kasih kepada Penerbit UTeM kerana sudi meluangkan masa dan kepakaran serta memberikan pengalaman istimewa kepada pelajar kami terlibat sama dalam menghasilkan mural yang sangat menarik ini,” kata beliau lagi.

Sementara itu Ketua Pegawai Maklumat (CIO) UTeM, Mohd Isa Mohd Dom yang turut hadir dalam program tersebut melahirkan rasa gembira berikutan sambutan yang ditunjukkan oleh pelajar sekolah berkenaan.

Beliau berharap agar pelaksanaan program CSR seumpama itu dapat memberi manfaat kepada komuniti sekitar UTeM khususnya dalam menyemarakkan kecintaan terhadap ilmu pengetahuan menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang.

Mural berukuran 10 kaki x 20 kaki itu berjaya disiapkan dalam masa dua hari dan menjadi daya tarikan terbaru di sekolah berkenaan dalam masa yang sama ianya turut menzahirkan kebersamaan UTeM bersama dengan warga pelajar, guru-guru dan komuniti setempat.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: