Pasukan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengukir kecemerlangan apabila telah berjaya merangkul Anugerah Perak menerusi kategori Reka Bentuk Perindustrian, Paten Cap Dagangan dan Hak Cipta.

Kemenangan tersebut telah berjaya diraih dalam Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2018 Peringkat Nasional bertempat di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur semalam.

Anugerah Harta Intelek Negara 2018 Peringkat Nasional tersebut telah mempertandingkan empat kategori utama iaitu kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), Kategori Reka Bentuk Perindustrian, Paten Cap Dagangan dan Hak Cipta, Kategori Perekacipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau Setaraf) dan Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah).

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib melahirkan rasa kesyukuran dan gembira dengan pencapaian yang telah berjaya diraih oleh kesemua ahli pasukan penyelidik yang memperoleh kemenangan dalam majlis tersebut.

Katanya, kemenangan di peringkat nasional ini telah melonjakkan nama UTeM di peringkat nasional dan bertaraf dunia menerusi sumbangan penghasilan harta intelek yang telah  menzahirkan kepakaran teknologi semasa yang membantu kehidupan masyarakat dan komuniti dunia.

Ketua Kumpulan Penyelidik UTeM yang memenangi pingat perak menerusi produk mereka, SUCI UriS, Prof. Madya Ir. Dr. Hambali Arep@Ariff menyatakan bahawa kejayaan yang diperoleh mereka hari ini merupakan usaha berpasukan dengan niat membantu mempermudahkan urusan hadas kecil dan beristinjak dengan sah dan patuh syariah bagi golongan lelaki terutamanya sewaktu menunaikan haji dan umrah.

Tambah beliau lagi, produk yang telah mendapat kelulusan dari SIRIM Berhad  tersebut mempunyai empat komponen utama iaitu beg simpanan, bekas, beg urin dan pemegang khasyafah merupakan peralatan yang amat relevan dalam pelbagai keadaan kecemasan termasuklah kepada warga tua yang uzur untuk membuang air kecil tanpa perlu berkejar ke tandas, perjalanan yang jauh seperti dalam kenderaan seperti bas dan kereta api, pesakit yang berkerusi roda mahu pun pengembara yang aktif dalam pendakian gunung dan jungle tracking.

Dalam majlis tersebut, pasukan SUCI URiS yang dianggotai oleh lapan orang penyelidik UTeM iaitu Prof Madya Ir. Dr. Hambali Arep@Arif selaku ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Effendi Mohamad, Dr. Mohd Shukor Salleh, Wahyono Sapto Widod, Dr. Sazelin Arif, Dr. Ab Rahman Ibrahim, AB Rahman Mahmood dan Khairul Fadzli Samat telah menerima hadiah kemenangan berjumlah RM7,000.00 beserta piala dan sijil kemenangan yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 16 October 2018

026904987