Dengan perkembangan produk pengguna yang berkembang pesat, penjualan produk palsu juga menjadi isu yang membimbangkan dan tidak boleh diabaikan lagi. Oleh itu usaha untuk mengurangkan produk palsu diperlukan. Pemalsuan produk adalah suatu replika produk asal yang tidak sah. Baru-baru ini, berita tentang susu formula palsu yang dijual di Johor telah menarik perhatian negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengarahkan susu formula itu dikenal pasti dan ditarik balik daripada pasaran.

Tidak dinafikan bahawa kita dapat melihat peningkatan kes pemalsuan di seluruh dunia dan masalah ini menjadi semakin serius. Australia telah melaporkan kes-kes ekspatriat Cina yang mendapatkan jenama formula bayi Australia yang popular dan menjualnya ke China (Pembeli peribadi Cina yang meraut $100,000 setahun dengan menjual seperti 'emas putih', Sumber: News.com.au, 11 November, 2015).

Pertubuhan Kastam Dunia (WCO) dan Institut Penyelidikan Terhadap Ubat-Ubatan Palsu (IRACM) sedang bekerjasama dalam memerangi ubat-ubatan palsu di benua Afrika, dengan hampir 900 juta ubat palsu dan haram yang telah dirampas di sempadan benua itu (Sumber: Wcoomd.org, 20 Januari, 2017). Penggunaan produk palsu bukan sahaja mengancam kesihatan dan keselamatan pengguna di seluruh dunia, tetapi juga menggugat kerajaan, perniagaan dan komuniti hasil cukai, keuntungan dan pekerjaan sah. Malah, menurut Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC), kesan negatif pemalsuan dijangka merugikan lebih US$4.2 trilion dari ekonomi global dan meletakkan 5.4 juta pekerjaan berisiko menjelang 2022 (Sumber: Iccwbo.org, 13 Februari, 2017).

TEKNOLOGI QOI

QOI bermaksud teknologi Pengenalpastian Pantas Objek atau Quick Object Identifier. Teknologi ini bertujuan untuk menghapuskan perdagangan tiruan global dengan algoritma penyulitannya yang tidak tertanding. QOI adalah seperti kod QR atau Kod Capaian Pantas telah dihasilkan sebagai tanda Sijil Ketulenan (COA) untuk menunjukkan bahawa produk atau sijil itu adalah asli. Teknologi QOI tidak kompromi terhadap analisis corak matematik (penggodaman) dan memberikan perlindungan mutlak daripada pemalsuan. Maka pelanggan dengan mudah boleh menggunakan pengimbas QR pada telefon pintar mereka untuk mengesahkan ID sesuatu produk.

Untuk memastikan keselamatan yang lebih unggul, QOI menggunakan cap jari digital atau Fingerprint yang memerlukan perisian khas untuk menyahkodnya dengan menggunakan aplikasi TrueScan Reader. Aplikasi ini dibangunkan khas oleh sekumpulan penyelidik Universti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk telefon pintar Apple dan Android. Enkripsi yang tidak dapat ditembusi dapat menyediakan perlindungan tunggal di mana hanya TrueScan Reader sahaja yang mempunyai keupayaan untuk menyahkod maklumat cap jari digital tersebut. Ini akan menyulitkan pihak berkepentingan untuk menyalin maklumat QOI kepada produk palsu, kerana pembaca kod QR biasa tidak dapat membaca cap jari digital ini.

Berbeza dengan kod bar produk atau label kod QR yang diguna pakai sekarang, QOI memberikan ID unik untuk setiap produk walaupun produk-produk tersebut dibekalkan daripada kumpulan pengeluaran yang sama. Ini akan membolehkan pengesanan produk di mana maklumat mengenai lokasi semasa produk dan pengedarannya dapat dikenal pasti dan dipantau. Pengenalpastian produk palsu menggunakan QOI boleh membantu pelanggan dan jurujual syarikat mengimbas dan mengenal pasti ketulenan produk dengan menggunakan TrueScan App pada telefon pintar. Pengesanan pemalsuan ini akan memberitahu syarikat sekiranya penggunaan QOI yang sama dikesan dengan menghantar pesanan tolakan atau push notification pada telefon pintar mereka. Ia membolehkan syarikat atau wakil jualan di sesuatu kawasan untuk menyiasat lebih lanjut dan pantas mengenai produk yang mempunyai  label yang sama tersebut ialah palsu. Ini akan membantu untuk menjejaki pengeluar atau pengedar produk palsu.

Selain daripada kelebihan QOI yang dinyatakan, kod QOI itu sendiri tidak dapat dihasilkan semula, dan ia memerlukan API (Interface Programming Application) QOI yang direka khas untuk menghasilkannya. Kami membina API kami secara khusus untuk mengelakkan pemalsuan. Teknologi QOI sangat unggul dari segi kelajuan, kebolehpercayaan, kapasiti maklumat, keselamatan, dan kos. Penggunaan teknologi real time berfungsi sebaik sahaja produk diimbas, untuk memastikan tiada penjualan palsu atau haram berlaku. Ini bermakna pelanggan, peruncit, pembekal, penguatkuasa undang-undang, penyiasat korporat boleh mengenal pasti produk tulen atau palsu di mana sahaja, hanya menggunakan  aplikasi TrueScan .

Dengan ini, teknologi QOI mempunyai potensi pasaran yang besar dan mampu merevolusikan industri makanan, pakaian atau rangkain industri runcit yang lain. Malah, bukan hanya terhad kepada produk runcit, teknologi anti-pemalsuan dan juga boleh digunakan untuk tujuan pengesahan sesuatu dokumen. Sebagai contoh, teknologi QOI boleh digunakan untuk membendung isu-isu kesahihan seperti penggunaan sijil akademik palsu dan gelaran diraja palsu, seperti gelaran Datuk, Tan Sri, dan lain-lain.

Ijazah atau sijil palsu sering menjadi isu tetapi kes-kes penipuan baru-baru ini menunjukkan bahawa pengunaannya menjadi semakin meluas. Walaupun kita menyedari masalah ini kian lama, namun ia kini semakin meningkat dan perlu ditangani segera. Semakan melalui carian Google menunjukkan 9.97 juta hasil carian mempamerkan pelbagai cara untuk mendapatkan sijil palsu. Kementerian Pengajian Tinggi telah membuat laporan polis terhadap sindiket pengeluaran sijil palsu yang telah diedarkan di beberapa universiti tempatan, selepas wartawan menemui sijil yang dijual di universiti-universiti ini dalam lingkungan RM1,000 hingga RM3,000 (Sumber: Kosmo.com.my, 2 Oktober, 2017). Hasil penyiasatan wartawan Kosmo, sijil ini dicetak dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu serta sukar dikesan keasliannya kerana ciri-ciri yang sama dengan asli. Ini mengakibatkan kelayakan sebenar seseorang merupakan asas masyarakat yang berdasarkan merit dan insiden sedemikian menggugat kepercayaan kepada sistem kita.

Dua aplikasi yang sudahpun digunakan dan mendapat manfaat daripada teknologi QOI termasuk Ideaku App dan platform MTUNConnectTM. Ideaku App menggunakan QOI untuk pendaftaran harta intelek (IP) digital. Keaslian adalah aspek utama kerana setiap IP menerima QOI unik dihasilkan dengan tandatangan cap jari digital yang mengandungi cap waktu dan lokasi di mana IP tersebut didaftarkan. Di samping itu, kami juga percaya bahawa lejar desentralisasi awam seperti blockchain sangat sesuai untuk hak cipta dan menyimpan karya asal seperti sastera, muzik, bunyi, seni, filem dan penyiaran, dari mana-mana pihak berkuasa pusat. Salinan pemilikan sah masih dapat dikesan dari karya asal di blockchain.

Platform MTUNConnectTM pula menggunakan QOI untuk perkhidmatan rujukan akademik melalui pengkomersialan dan penerbitan produk R&D. Ia membantu universiti mendaftar, melindungi IP penyelidikan dan mengkomersilkan produk mereka di pasaran yang boleh dicapai melalui portal mtunconnect.com.  Portal ini telah dibangunkan oleh Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia atau kenali juga sebagai Malaysia Technical University , kerjasama  antara  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Platform ini menggunakan QOI melalui pendigitalan produk R&D. Ini mencipta lembaran baru dalam bidang penerbitan R&D disamping meluaskan pengkomersialan produk penyelidikan universiti.  Platform ini juga  membolehkan perkongsian pantas melalui rangkaian sosial. Dengan ini, inovasi penyelidikan dapat dipromosikan dengan lebih berkesan, pantas dan  meningkatkan peluang untuk mendapatkan perhatian atau sasaran pelabur berpotensi. Para pelabur juga akan mendapat berita inovasi terkini dengan pantas melalui aplikasi MTUNConnectTM. Oleh itu, kami yakin platform MTUNConnectTM dapat berfungsi sebagai 'one-stop centre' atau pusat pemindahan inovasi akademik dari idea ke pasaran.

Teknologi QOI dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Projek ini diketuai oleh Profesor Dr. Goh Ong Sing, Penolong Naib Canselor (Industri dan komuniti), UTeM. Projek ini juga merupakan kerjasama bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Big Data Technology Pty Ltd, Australia yang bekerja rapat dengan akademia dan industri untuk mengenal pasti dan membangunkan teknologi baru untuk masa depan.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: