Tiga orang Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diberi penghormatan pemakaian pangkat sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kehormat Kor SUKSIS Universiti Awam.

Majlis anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan dan Keselamatan Komuniti dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersebut telah diadakan bertempat di Mawar Qaseh Lounge, Kolej Mawar, UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Menurut salah seorang Pegawai Kehormat Kor SUKSIS yang terlibat dengan pemakaian pangkat tersebut, Datuk Azhar Mohamad selaku Penasihat Undang-Undang UTeM menyatakan kesyukuran dan penghargaan di atas penghormatan yang diterima oleh beliau.

Tambah beliau lagi, penghormatan yang diterima tersebut menyemarakkan lagi semangat Pegawai Kehormat Kor SUKSIS UTeM agar terus berusaha memajukan dan melonjakkan pasukan Kor SUKSIS UTeM di persada kebangsaan dan dunia umumnya agar mampu berdiri sebaris bersama pasukan universiti yang lain.

Majlis tersebut telah menyaksikan pelantikan dan pemakaian pangkat kepada Datuk Azhar Mohamad sebagai Timbalan Komandan Kor SUKSIS UTeM yang membawa gelaran Superintendan Polis/Kehormat (SUPP/KS) bagi menggantikan pelantikan terdahulu yang digalas oleh Prof. Dato' Dr. Mohd Nor Husain yang telah bersara pada hujung tahun lepas.

Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Misdom Lan turut dilantik sebagai Ajutan Kor SUKSIS UTeM yang membawa gelaran Timbalan Superintendan Kehormat Kor SUKSIS (DSP/KS) menggantikan Zainudin Ahmad yang telah bersara wajib sebelum ini.

Penolong Pendaftar, Pejabat HEP Ahmad Fadzil Mohamad turut dilantik sebagai Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS UTeM yang membawa gelaran Penolong Superintendan Kehormat Kor SUKSIS (ASP/KS) menggantikan Nizam Mazlan yang juga telah berpindah ke Pusat Tanggungjawab UTeM yang lain.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Dato’ Sri Tajudin Md Isa merangkap Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti diiringi oleh  Prof. Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said selaku Timbalan Naib Canselor HEP UiTM Shah Alam dengan penganugerahan kepada 19 orang pegawai dari 14 universiti awam seluruh Malaysia.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: