Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama dengan syarikat multinasional terkemuka dari Jepun Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd baru-baru ini.

Majlis tersebut telah berlangsung di Bangunan Canselori Kampus Induk UTeM Durian Tunggal yang mana telah dihadiri oleh pihak pengurusan tertinggi oleh kedua-dua belah pihak.

Menurut Naib Canselor  UTeM Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib berkata, jalinan kerjasama strategik ini antaranya tertumpu kepada perkongsian ilmu dan kepakaran dalam bidang teknologi dan kejuruteraan seperti pembuatan kejat, sistem automasi, sistem teknologi maklumat & komunikasi, proses pembuatan serta sistem kawalan kualiti.

Katanya, menerusi jalinan ini maka pihak UTeM dan Konica Minolta bersama sama menikmati kemudahan dalam penggunaan fasiliti yang dimiliki oleh kedua-dua pihak serta memudahkan integrasi kerja-kerja penyelidikan dan latihan untuk staf dan pelajar.

“Di samping itu aktiviti-aktiviti bersama yang turut akan dilaksanakan adalah berkaitan pertukaran maklumat teknikal, pemindahan teknologi serta  penambahbaikan dan pembangunan bersama teknologi sedia ada dan yang baharu”, ujar beliau lagi.

Sepintas lalu Konica Minolta merupakan sebuah syarikat pembuatan berasaskan teknologi automasi dan digital pejabat yang ternama dari negara matahari terbit dengan tenaga kerja melebihi 40,000 orang di lebih 50 buah negara di seluruh dunia.

UTeM selaku universiti awam teknikal paling berprestij di negara ini pula terus meningkat nama dalam kerancakan dan sumbangan penyelidikan serta inovasi mampan kepada komuniti, industri dan negara.

Menerusi MoU ini UTeM sedia menzahirkan kepakaran yang dimiliki oleh barisan tenaga pengajarnya yang berkepakaran dalam bidang teknologi dan kejuruteraan untuk bersama-sama mengorak langkah penerokaan teknologi automasi yang lebih hebat lagi bersama dengan pihak Konica Minolta.

Dalam majlis jalinan MOU ini pihak Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusan Hideyuki Yoshida, Pengarah Pembangunan dan Jaminan Kualiti Shigeru Yamaguchi serta barisan pengurusan tertinggi daripada pihaknya.

Manakala pihak UTeM pula diwakili oleh Naib Canselor UTeM, Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) Prof Madya Dr Zamberi Jamaludin serta barisan Dekan-dekan fakulti UTeM serta pegawai-pegawai terbabit.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: