Pic 1
Pic 2
Pic 3
Pic 4
Pic 5
Pic 6

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) telah menganjurkan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran (World #QuranHour) Mahasiswa bersama Ketua Menteri Melaka Haji Adly Zahari bertempat di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM Durian Tunggal, semalam.

Majlis yang berobjektifkan penyatupaduan umat islam melalui himpunan Tadarus Al-Quran tersebut telah dijalankan secara serentak pada 22 Ramadan 1439H dari seluruh dunia termasuklah Malaysia yang mana UTeM telah menjadi salah satu di antara pusat penganjuran program ini.

Program yang sedia menjadi acara tahunan bagi UTeM kali ini berjaya menarik kira-kira 1,000 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi awam dan swasta seperti UTeM, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Kolej Universiti Islam Melaka dan Melaka International College of Science and Technology (MiCoST).

Program turut diserikan dengan kehadiran para pelajar dari Madrasah Ar Rasyyidin, Alor Gajah, Sekolah Menengah Agama JAIM As-Syakirin, Selandar dan juga Madrasah Al-Qurra, Alor Gajah disamping turut dihadiri oleh komuniti setempat sekitar Alor Gajah dan Ayer Keroh.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib dalam ucapan beliau menyatakan bahawa majlis yang diadakan ini adalah sejajar dengan inisiatif murni yang diperkenalkan oleh WUIF yang mana World Quran Hour yang berlangsung pada tahun ini memberi pengertian mendalam berikutan penganjurannya dalam bulan Ramadan yang turut dikenali sebagai   bulan Al-Quran.

Katanya, majlis ini juga diadakan dalam fasa sepuluh malam terakhir Ramadan diaman ia merupakan peluang terbaik untuk semua umat islam bersungguh-sungguh mengejar ganjaran hebat yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW.

Majlis tersebut telah bermula dengan acara Tadarus Al-Quran tepat pada jam 5:00 petang sehingga jam 6:00 petang diikuti Majlis Khatam Al-Quran serta penyampaian sumbangan kepada pelajar yang terdiri daripada asnaf UTeM.

World #QuranHour merupakan sebuah kempen berimpak tinggi bertujuan menggalakkan setiap individu berinteraksi dengan Al-Quran dalam usaha menjadikan nilai-nilai mulia daripada Al-Quran bagi membentuk jiwa berbudi dan penyayang sehingga menjadi cara hidup seharian setiap insan.

Kempen ini turut menjadi inspirasi agar manusia mampu melonjakkan potensi diri berlandaskan Al-Quran serta turut memberi kesan positif kepada masyarakat amnya  dalam memartabatkan Al-Quran dalam kehidupan sejagat.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: