Penerima manfaat bergambar selepas membeli kelengkapan raya
Sebahagian daripada wajah gembira penerima manfaat sewaktu membeli belah 2
Sebahagian daripada wajah gembira penerima manfaat sewaktu membeli belah 3
Sebahagian daripada wajah gembira penerima manfaat sewaktu membeli belah
Taklimat diberikan sebelum program bermula

Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia’ (Projek Iqra') telah menganjurkan Projek Shopping Raya 2018 bertempat di Mydin MITC Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.

Projek Shopping Raya 2018 yang telah menjadi acara tahunan bagi FTMK ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak kira-kira RM 8,250.00 dengan agihan kepada 55 orang penerima manfaat yang terdiri daripada golongan miskin dan asnaf di sekitar Melaka.

Projek ini juga telah berjaya mengumpulkan 42 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UTeM yang telah sudi meluangkan masa dan tenaga untuk bersama-sama membawa dan membantu penerima manfaat ini untuk membeli kelengkapan hari raya mereka.

Menurut Pengarah Program, Nor Hafeizah Hassan menyatakan bahawa projek yang merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) fakulti itu yang bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan seperti penerima manfaat hari ini, tanpa sebarang agenda yang lain selain daripada menggembirakan hati penerima.

Tambah beliau, Ramadan mengajar untuk memahami erti kepayahan yang dilalui oleh keluarga yang kurang berkemampuan, jadi projek Shopping Raya 2018 ini merupakan kesinambungan daripada program yang sama pada tahun-tahun lalu dengan niat untuk bersedekah, beramal jariah dan saling bantu-membantu mana-mana yang kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan hari raya.

“Kebanyakan penerima sumbangan adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak yang mana mereka mengerti akan kepayahan yang dilalui oleh keluarga mereka, justeru hanya memendam perasaan mereka inginkan baju baru untuk menyambut hari raya justeru program ini diwujudkan untuk memenuhi impian anak-anak kecil ini serta bila melihat senyuman yang terukir di bibir mereka sewaktu mencuba pakaian ianya sudah cukup menggembirakan hati kami sebagai sukarelawan dan penyumbang,” kata beliau lagi.

Projek shopping raya kali ini telah dijalankan di Mydin MITC, Melaka dan program bermula seawal 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang selepas kesemua persiapan raya untuk para penerima berjaya dilengkapkan.

Sekalung penghargaan turut diberikan kepada kesemua penyumbang dan sukarelawan yang bertungkus lumus serta sudi meluangkan masa dan tenaga untuk sama-sama membantu menjayakan projek shopping raya kali ini dan berharap agar program seperti ini diteruskan untuk tahun-tahun yang mendatang.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: