Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi melonjakkan nama universiti di peringkat kebangsaan apabila UTeM dinobatkan Best Institution Award dalam  Autodesk Malaysia Design Competition 2017 (AMDC) yang diumumkan terdahulu baru-baru ini sebelum kemuncak peringkat akhirnya dilangsungkan pada bulan Mei nanti. 

Pertandingan AMDC merupakan program tahunan anjuran Prestariang Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Syarikat Autodesk dimana ia merupakan sebuah platform untuk mempamerkan idea reka bentuk tema tertentu yang diberikan oleh penganjur dan dizahirkan kepada beberapa kategori seperti rekaan senibina, rekabentuk industri dan reka bentuk media kreatif.

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Dr Ruzrtamreen Jenal berkata, sebanyak empat kumpulan pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DMC) dan empat kumpulan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (BMCG) telah terpilih sebagai finalis AMDC2017 bagi kategori rekabentuk industri.

Tambah beliau lagi, turut terpilih sebagai finalis adalah dalam kalangan penasihat yang terdiri daripada Dr. Abdul Rahmah Dullah, Dr. Shafizal Mat dan Ir. Dr. Mohd Shukri Yob di dalam Autodesk Malaysia bagi kategori yang sama.

Kesemua finalis yang terpilih akan bertanding di peringkat akhir yang dijangka akan diadakan pada bulan Mei 2018 ini di mana kesemua finalis dikehendaki menghantar reka bentuk terakhir berserta dengan video pendek dan juga poster rekaan mereka sebagai syarat utama pertandingan.

“Semoga kejayaan para finalis ini dapat menyuntik semangat seluruh warga Universiti agar terus berdaya saing dan bergerak maju setanding dengan universiti berprestij yang lain”, ujar beliau sejurus menamatkan temubual.

Kriteria pemarkahan bagi menentukan pemenang yang ditetapkan oleh panel hakim adalah sebanyak 40% kepada keaslian reka bentuk, 15% berdasarkan reka betuk yang jelas dan mudah difahami, 30% menerusi reka bentuk 3D dalam perisian Autodesk dan 15% pada penyampaian video yang jelas dan khusus.

Terdahulu, AMDC bagi 2016 yang diadakan pada tahun lepas kejuaraan dirangkul sepenuhnya oleh UTeM yang mana tempat pertama bagi pertandingan tersebut telah menjadi milik pelajar dari Fakulti teknologi Kejuruteraan (FTK) manakala tempat kedua dan ketiga pula diraih oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal di samping kejayaan yang paling membanggakan adalah apabila UTeM dinobatkan sebagai Best Institution Award di dalam kejohanan tersebut.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: